Jumaat, 16 Disember 2011

Islam bukan agama orang Melayu sahaja

SEBAGAI insan bergelar Muslim, sewajarnya kita wajib bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana termasuk hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup yang sempurna dan menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Ini kerana tidak semua manusia beragama Islam atau menerima Islam sebagai pegangan hidup untuk meraih kejayaan di akhirat kelak.

Justeru, kebetulan Allah jadikan kebanyakan daripada kita sebagai orang Melayu, maka adat biasa menghukum bahawa kita sekali gus beragama Islam, tetapi apakah benar fakta tersebut?

Begitu juga kalau kita menelaah bangsa Arab khususnya di negaranegara Timur Tengah atau teluk, kebanyakan mereka beragama Islam, ada juga orang Arab tidak Islam, dan ramai juga yang berfahaman anti-Islam, maka benarlah bahawa bukan semua orang Melayu itu Islam, dan bukan juga orang Arab itu Islam, maka Islam adalah hak semua bangsa di dunia.

Menurut kaca mata Islam, bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya Muhammad tidak pernah sama sekali meletakkan syarat bahawa orang yang hanya beragama Islam adalah Arab atau Melayu sahaja, akan tetapi Allah SWT meletakkan syarat paling utama amalan seseorang hamba itu diterima di sisi-Nya ialah bertakwa kepada-Nya dengan sebenar-benar takwa, iaitu melaksanakan segala suruhan dan perintah-Nya, serta meninggalkan segala tegahan dan larangannya dengan penuh rasa tunduk yang tidak berbelah bahagi.

Itulah hebatnya Islam, ia menjadi hak milik kepada sesiapa sahaja di kalangan manusia di dunia ini, tanpa mengira jantina, umur, bangsa, kedudukan dalam masyarakat, tua atau muda, semuanya adalah sama kecuali yang membezakan mereka adalah tahap takwa di sisi Allah SWT.

Justeru, orang Melayu tidak boleh mendabik dada bahawa mereka adalah bangsa yang hebat kerana menjadi orang Islam.

Memang benar Islamlah yang telah menjadikan kita hebat, hebat apabila kita benar-benar merealisasikan segenap tuntutan agama dengan bersolat jemaah di masjid/surau, menghadiri kelas-kelas pengajian fardu ain, mendiskusikan pengajian ilmu hadis, tafsir, fiqh, sirah Nabi dan membaca al-Quran serta memerhatikan segenap isi-isi kandungannya dan sebagainya.

Ini kerana ramai di kalangan orang Melayu Islam hanya menjadi Muslim kerana faktor keturunan atau baka, kerana namanama mereka tercatat dalam kad pengenalan dan sijil lahir sebagai anak-anak orang Islam, tetapi pada hakikatnya set minda mereka tidak terhimpun langsung informasi mengenai agama Islam. Jika diajukan kepada mereka tentang persoalan agama yang datang dari bukan Islam, mereka akan cari jalan bagaimana untuk mengelak atau menjawab jawapan yang tidak menepati acuan Islam itu sendiri.

Melayu perlu depani ajaran Islam.

Benarkah orang Melayu Islam dalam negara kita ini merealisasikan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka? Inilah soalan yang sukar untuk dijawab. Namun apabila kita melihat secara jujur apa yang berlaku di kalangan mereka tidak 100 peratus mereka menjadi pengamal kepada ajaran Islam sebenar.

Ini kerana ramai di kalangan orang Melayu yang menjadi penagih dadah tegar (bukan untuk mengaibkan kelemahan sendiri), mat rempit, peragut dan lainlain, tetapi ia adalah hakikat untuk direnung bersama oleh semua peringkat kepimpinan, sama ada di peringkat kepimpinan negara, institusi masjid, Kementerian Pelajaran dan siapa pun mereka.

Di bidang hiburan pula, orang Melayu/Islam juga menjuarai kebanyakan program-program realiti, termasuk Akademi Fantasia, Raja Lawak, Maha Raja Lawak Mega, Mentor, Anda hanya ada 60 saat, Anak Wayang, Jom Heboh dan bermacam-macam lagi jenis hiburan yang dikuasai anak-anak remaja Melayu dengan penampilan yang tidak melambangkan sebagai Muslim/Muslimah contoh kepada yang lain.

Persoalannya di sini, apakah kita hanya boleh berbangga kebetulan nama kita Islam seperti menggunakan nama-nama Allah 99 itu, nama para anbiya, nama para sahabat dan lain-lain.

Sesungguhnya Islam sama sekali tidak pernah mengajar penganutnya mempertahankan nama sahaja tanpa beramal dengan isi kandungannya. Kalau keyakinan orang Melayu pada hari ini meyakini bahawa nama mereka adalah Islam dan layak boleh masuk syurga adalah satu pandangan yang cukup meleset dan tersasar jauh daripada ajaran Islam.

Ini kerana di zaman baginda Rasulullah s.a.w., jelas terbukti ramai di kalangan individu yang bernama Islam pun masuk neraka Allah seperti Abdullah bin Ubai bin Salul (munafiq paling besar dan berbahaya), Abdullah Bin Saba’ (Yahudi yang cukup licik) dan lain-lain dijanjikan neraka dan mati bukan dalam mengucap dua kalimah syahadah.

Di bidang persada politik pula, para pemimpin daripada parti Melayu sering menjuarai isu-isu Islam dengan kononnya sanggup membela Islam dalam perhimpunan-perhimpunan saban tahun diadakan, terdapat wanitanya yang gagal untuk ke Dewan Rakyat bagi menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan rasuah, tetapi dalam perhimpunan partinya, ia melenting hingga menyinsing lengan baju untuk menyatakan komitmennya memerangi rasuah. Apakah tindakan itu boleh kita katakan sebagai hipokrit? Cubalah kita cari jawapannya.

Mari sama-sama kita tanyakan diri kita sendiri, apakah benar kita menjadi pengamal segenap ajaran Islam yang terkandung dalam institusi pendidikan, kemasyarakatan, kepimpinan negara, akhlak bermuamalah sesama Muslim dan bukan Islam hingga kita boleh dijadikan sebagai role model sama seperti yang pernah ditonjolkan oleh para sahabat baginda s.a.w. satu ketika dahulu.

Ataupun kita menjadi penghalang kemasukan bangsa-bangsa lain selain Melayu di Malaysia ini ke dalam agama Islam. Pernahkah kita mengislamkan tetangga kita, rakan-rakan rapat kita yang bukan Melayu ke dalam Islam, kalau kita kata orang Melayu semuanya Islam. Kita takut di akhirat nanti Allah menempelak kita kerana tidak bersungguh-sungguh mempromosi Islam kepada mereka yang berhak untuk menjadi orang Islam.

Justeru, sepatutnya bidang penyiaran khususnya kaca televisyen, radio, surat khabar yang menjadi tumpuan umum ditugaskan semaksimum mungkin untuk mengisi rancanganrancangan berbentuk pendidikan akhlak yang dijelmakan daripada inspirasi al-Quran, hadis serta sirah Nabi Muhammad s.a.w. bagaimana baginda berjaya mengislamkan bangsa-bangsa manusia di Madinah menjadi muslim yang komited kepada agama yang dikenali sebagai masyarakat majmuk. 

Mudah-mudahan kita tingkatkan usaha untuk menjadi individu-individu muslim yang beramal dengan Islam dalam segenap tuntutan ajaran agama, di samping menonjolkan penampilan muslim yang komited kepada agama, agar ia tidak menjadi ‘back fire’ kepada diri kita pada hari kiamat kerana tindakan kita itu seolah-olah telah memfitnah Islam. Samasamalah kita fikirkan.



source: http://www.kedahlanie.info/2011/12/islam-bukan-agama-orang-melayu-sahaja.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan