Isnin, 9 Januari 2012

Review: MU vs Man City - FA Cup


Keputusan perlawanan:

Manchester United 3
Wayne Rooney 10', 40'
Danny Welbeck 30'

Manchester City 2
Aleksandar Kolarov  48'
Sergio Aguero 65'



Ulasan perlawanan:

Rooney menjaringkan dua gol dan MU berjaya menidakkan kebangkitan yang ditunjukkan oleh Man City (MC) yang beraksi dengan sepuluh pemain selama 80 minit perlawanan bagi mencatatkan kemenangan berharga dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA. Ini adalah kerana MU berjaya menyingkirkan MC yang merupakan juara pada musim lepas dan sekurang2nya menebuskan kembali kekalahan teruk yang dialami sebelum ini di tangan MC.

Jika dibuat perbandingan, MU lebih tertekan sebelum pertemuan dengan MC kerana bukan sahaja MU terpaksa mencari semula rentak kemenangan selepas mengalami dua kekalahan secara berturut2, MU juga akan beraksi di halaman lawan tatkala skuad menghadapi masalah kecederaan pemain yang agak teruk.

Mungkin disebabkan tekanan tersebut, memaksa SAF untuk memanggil semula otai MU, Scholes bagi kembali menyarung but walaupun telah bersara pada musim ini. Scholes telah menyatakan hasrat untuk kembali beraksi bersama MU pada bulan lepas tetapi menanti keputusan SAF untuk mengajaknya. Ternyata hasratnya menjadi kenyataan apabila SAF memintanya untuk beraksi semula dan peluang tersebut tidak ditolak oleh Scholes.

SAF mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama MU yang tewas kepada NU bagi menentang MC di Stadium Etihad. Welbeck menjadi taruhan SAF untuk berpasangan dengan Rooney di bahagian serangan manakala Valencia kembali beraksi di sayap kanan selepas MU menerima semula kehadiran Smalling di bahagian pertahanan. DDG sekali lagi direhatkan bagi memberikan peluang beraksi kepada Lindegaard untuk mengawasi gawang gol MU.

Perubahan kecil yang dilakukan oleh SAF terhadap kesebelasan utama MU ini membuahkan hasil apabila MU memperoleh gol sulung menerusi Rooney yang menanduk masuk bola hantaran Valencia. Sejurus gol tersebut, permainan kedua2 pasukan menjadi rancak. MU yang bertukar2 hantaran dengan pantas telah menyebabkan barisan pertahanan MC kelihatan sedikit kucar-kacir. Akibatnya, kapten MC terpaksa dilayangkan kad merah selepas melakukan tujahan dua kaki terhadap Nani. Selepas insiden tersebut, dengan kelebihan seorang pemain, MU mula mengancam pintu gol MC.

MU berjaya menambahkan jaringan apabila Welbeck bijak merembat masuk bola semasa situasi kelam kabut dalam kotak penalti MC. Welbeck juga menjadi penyebab kepada sepakan penalti yang dihadiahkan kepada MU. Walaupun sepakan penalti Rooney berjaya diselamatkan oleh penjaga gol MC, namun bola yang terlantun pantas disambar oleh Rooney untuk menjadikan keputusan semasa 3-0.

Pengurus MC mengambil tindakan drastik dengan mengeluarkan Johnson dan Silva. Mereka berdua digantikan dengan Savic dan Zabaleta dengan tujuan bagi memperkuatkan barisan tengah dan pertahanan. Kemasukan Savic dan Zabaleta telah membolehkan MC mengimbangi permainan MU. Tambahan pula, MU gagal beraksi dengan baik sepertimana yang telah ditunjukkan pada separuh masa pertama.

Aksi longlai MU dieksploitasikan dengan baik oleh MC menerusi serangan2 pantas dan bola tinggi. MC bijak melancarkan serangan di bahagian kanan memandangkan Evra kerap berada di luar posisi dan kalah dalam situasi bola tinggi. Usaha gigih MC memberikan pulangan yang cukup berharga apabila berjaya mendapatkan dua gol walaupun beraksi dengan sepuluh pemain.

Kesilapan berisan pertahanan MU menghadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti membolehkan MC mendapatkan gol pertama menerusi sepakan menarik Kolarov. Gol kedua MC berpunca dari kesilapan Scholes yang mudah kehilangan kawalan bola seterusnya memberikan ruang kepada Milner untuk membuat hantaran dari sebelah kanan sebelum bola disambut baik oleh Aguero. Lindegaard berjaya menepis rembatan pertama Aguero tetapi gagal menafikan Aguero untuk menjaringkan gol menerusi rembatan kedua.

Selepas terhasilnya dua gol tersebut, MC terus bersemangat untuk menyamakan kedudukan sementara MU beraksi secara bertahan dan kerap melakukan kesilapan demi kesilapan. Corak permainan yang ditunjukkan oleh MU pada ketika ini amat teruk tetapi mujur MC gagal untuk mempergunakan peluang tersebut bagi mendapatkan gol.

Secara keseluruhannya, walaupun mencatatkan kemenangan yang memberikan makna yang cukup besar, MU masih perlu memperbaiki kelemahan yang berjaya ditonjolkan oleh MC. Keputusan untuk memanggil semula Scholes dilihat keputusan yang bijak pada masa yang betul. Walaubagaimanapun, kemenangan ke atas MC di halaman lawan, sekurang2nya perlu diraikan memandangkan MU terpaksa menghadapi kekecewaan tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.



Pemain terbaik perlawanan:

Wayne Rooney


Gambar perlawanan: 

 Rooney menanduk masuk gol pertama MU

 Layangan kad merah kepada Kompany yang membuat tujahan dua kaki terhadap Nani

Gol kedua MU menerusi rembatan menarik Welbeck

 Rooney pantas untuk menanduk bola untuk gol ketiga MU selepas sepakan penaltinya ditampan oleh penjaga gol MC

 Kolarov memberikan sinar harapan buat MC dengan gol sepakan percumanya

Aguero menjaringkan gol kedua MC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan