Khamis, 19 Januari 2012

PKNS, Kedah terikat tanpa jaringan

KUALA LUMPUR, (Arena.my) - Perlawanan yang membosankan sepanjang 90 minit antara pendatang baru Liga Super, Selangor PKNS menentang skuad jelapang padi, Kedah di Stadium MBPJ terikat tanpa sebarang jaringan.


Ketumpulan barisan serangan jelas kelihatan dalam kedua-dua pasukan apabila peluang demi peluang yang terhidang gagal disempurnakan dengan baik.

Seawal minit keempat, PKNS mungkin boleh menjarakkan diri daripada Kedah, sekiranya keadaan kelam kabut didepan pintu gol pada ketika itu disudahkan dengan jaringan. Pemain yang berada di depan gawang Kedah lambat untuk bertindak balas.

Dua minit kemudiannya, penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Khairul Akhyar berjaya melepaskan diri daripada barisan pertahanan Kedah, sebelum membuat lambungan sehingga penjaga gol, Abdul Hadi terpaksa melayangkan badan bagi menyelamatkan bola.

Sedar dengan tekanan diberikan PKNS, Kedah mula mengatur rentak dan banyak melakukan serangan, namun barisan PKNS dilihat begitu ampuh menangkis serangan.

Biarpun perlawanan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan, namun asakan PKNS dilihat lebih tajam pada separuh masa pertama dan kerap kali hampir-hampir membuahkan gol.

Abdul Hadi harus dipuji dalam aksi kali ini, apabila dia banyak meneyelamatkan serangan lawan. Di minit ke-52,  Rudie Ramli merebat deras tepat ke punjuru kanan gol, namun Hadi cepat membaca dengan menepis bola keluar.

Di minit ke-61, Akhyar sekali gagal menyempurnakan peluang keemasan apabila rembatanya jauh tersasar ketika dia tidak dikawal.

Kebuntuan memburu gol, membuatkan jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha melepaskan Baddrol Bakhtiar untuk menggantikan Daniel Soares Neves pada minit ke-72. Biarpun kemasukannya tidak merubah kedudukan perlawanan, namun ia menampakkan peribahan corak permainan Kedah.

Lima belas minit sebelum perlawanan tamat, Mohd Zarif berjaya melepasi benteng pertahanan Kedah dengan larian pantasnya, bagaimanapun lambungan kemasnya kearah pintu gol di persia-siakan Mohd Nazrin.

Di minit ke-84, tandukan Abdul Latiff ketika menyambut sepakan penjuru nyata mencemaskan skuad PKNS kerana bola hanya terkena palang gol.

Keputusan seri kedua-dua pasukan menyaksikan Kedah dan PKNS masih menghuni kelompok terbawah Liga Super dengan berkongsi pungutan mata sebanyak dua.



source: http://www.arena.my/Arena/ArenaBolaSepak/ArenaBolaSepakArticle/tabid/447/Default.aspx?newsId=201289

Tiada ulasan:

Catat Ulasan