Isnin, 16 Januari 2012

Review: MU vs Bolton Wanderers


Keputusan perlawanan:

Manchester United 3
Paul Scholes
Danny Welbeck
Michael Carrick

Bolton Wanderers 0


Ulasan perlawanan:

Scholes menjaringkan satu gol selepas membuat kejutan kembali dari persaraan sementara Carrick dan Welbeck masing-masing turut menyumbangkan satu gol untuk memberikan MU kemenangan 3-0 ke atas Bolton Wanderers (BW). Gol Scholes tersebut merupakan gol pertama yang dijaringkannya dalam tempoh dua tahun selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2009 selain merupakan gol ke151nya sepanjang kariernya bersama MU.

MU sepatutnya memperoleh jumlah jaringan yang lebih besar tetapi peluang tersebut dinafikan oleh kerana kecekapan penjaga gol BW, Bogdan. Bogdan beraksi dengan begitu cemerlang menghalang percubaan MU termasuk berjaya menyelamatkan sepakan penalti Rooney. Namun, Bogdan akhirnya bolos buat kali pertama dalam perlawanan di OT itu selepas Scholes pantas merembat masuk bola ke dalam gawang gol setelah menerima umpanan Rooney. Gol scholes telah memberikan kelegaan kepada MU yang gagal memecahkan benteng pertahanan BW tatkala perlawanan menghampiri masa rehat.

Pada separuh masa kedua, MU kembali memperkukuhkan corak permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol BW. MU benar-benar mengancam dari sebelah kanan menerusi gandingan Rafael dan Valencia. Mereka berdua kerap melancarkan serangan pantas terutamanya Valencia yang kelihatan sukar dibendung oleh pertahanan BW. Valencia lebih menyerlah berbanding Nani di posisi sayap kerana acapkali melakukan hantaran silang yang berkesan.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan dan melakukan serangan, MU gagal menambahkan jaringan sehinggalah pada minit ke74 di mana Welbeck menyudahkan hantaran Rooney untuk gol kedua MU. Gol Welbeck itu sekaligus menidakkan semangat juang pemain BW yang sebelum itu berusaha untuk memburu gol penyamaan. Carrick melengkapkan malam kegemilangan MU di OT apabila bola rembatan jarak jauhnya menerjah jaring gol BW bagi menjaringkan gol ketiga MU.

MU dilihat agak stabil di bahagian pertahanan menerusi gandingan Ferdinand dan Evans. Mungkin Evans ingin mendapatkan semula kepercayaan SAF selepas membuat sedikit masalah sehingga dikenakan tindakan oleh SAF. Selain itu, Lindegaard juga memberikan ketenangan dan keyakinan kepada barisan pertahanan menerusi komunikasi dan arahan yang efektif walaupun jarang diuji oleh penyerang BW. Rafael mencuri tumpuan bukan sahaja mampu mengekang Petrov malah cemerlang dalam memberikan bantuan kepada Valencia. Evra pula menampilkan persembahan yang meyakinkan.

Scholes dan Carrick membuktikan bahawa mereka merupakan pasangan yang paling berkesan untuk bahagian tengah MU. Scholes seolah-olah menjelmakan kembali prestasi ketika di zaman mudanya apabila bijak mencari ruang kosong ketika menjaringkan gol pertama MU. Carrick dilihat semakin menonjol dan berani untuk membuat percubaan. Larian deras Valencia menjadi aset penting buat MU ketika ini. Sumbangan Valencia tampak lebih memberikan peluang kepada MU untuk menjaringkan gol berbanding Nani yang agak tenggelam.

Jika Rooney berjaya menyempurnakan sepakan penalti, sudah pasti Rooney layak ditabalkan pemain terbaik perlawanan kerana turut membantu menghasilkan dua lagi gol MU. Rooney dilihat lebih selesa beraksi di samping Welbeck seterusnya membolehkan kedua-dua mereka mencipta peluang untuk menjaringkan gol.. Welbeck membalas kepercayaan SAF apabila telah menjaringkan tiga gol dalam tiga permulaan dari kesebelasan utama.


Pemain terbaik perlawanan:

Antonio Valencia


Gambar perlawanan:

 Rooney gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penaltinya

 Scholes menolak bola masuk ke dalam gawang BW untuk gol pertama MU

 Gol kedua MU diperoleh selepas Welbeck menyudahkan hantaran Rooney

Carrick menjaringkan gol ketiga MU menerusi rembatan jarak jauh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan