Isnin, 16 Januari 2012

KEDAH 0 – 0 LIONS XII : Meyakinkan tapi belum memadai


ALOR SETAR – Aksi yang meyakinkan ditunjukkan oleh anak-anak buah Mohd Nidzam Adha Yusof di Stadium Darulaman menentang pasukan seberang tambak, LIONS XII sebentar tadi nyata belum memadai apabila kedua-dua pasukan hanya terikat seri tanpa jaringan. Walaubagaimanapun persembahan Kedah bolehlah dianggap memuaskan dengan menguasai sebahagian besar permainan. Tapi itu belum cukup untuk membenam Lions XII dan sekaligus menghampakan ribuan penyokong setia Sang Kenari yang mengharapkan kemenangan sulung di gelanggang sendiri. Perlawanan yang dihadiri oleh kira-kira 8,000 penyokong itu berlangsung di dalam keadaan yang cukup harmoni apabila tiada layangan kad diberikan kepada mana-mana pemain. Kedah beraksi tanpa pemain import mereka, Danilo Vivaldo yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali, nyata masih utuh di bahagian pertahanan apabila tenang dan bijak dalam mengendalikan setiap asakan daripada pasukan pelawat.


Tampil dengan semangat tidak mahu tewas sekali lagi terutama di hadapan penyokong sendiri, Nidzam Adha melakukan beberapa rombakan di beberapa posisi. Di posisi penjaga gol, Abdul Hadi Abdul Hamid sekali lagi diberi tanggungjawab untuk memikul tugas sebagai benteng terakhir pasukan. Manakala barisan pertahanan pula dibarisi oleh Fazliata Taib di bahagian kanan, Azmizi Azmi dan Mohd Fauzie Nan di bahagian tengah dan Sabree Abu di bahagian pertahanan kiri. Pemain tunggal berbangsa Cina, See Kok Luen diletakkan di dalam senarai kesebelasan utama pada malam ini bergandingan bersama Amar Rohidan di bahagian midfield. Sayap kanan pula dipikul oleh Mohd Faizal Abu Bakar manakala sayap kiri digalas oleh Mohd Fiqry Md.Isa. Khyril Muhymeen Zambri bergandingan bersama pemain import dari Brazil, Daniel Baroni di bahagian penyerang. Kelibat Baddrol Bakhtiar juga mencuri tumpuan peminat. Beliau diletakkan di bangku simpanan bersama V.Thirumurugan, Khairul Helmi Johari, Muhaimin Mohd Ramlee (PG), Mohd Syamim Alif, Ahmad Basri Abdul Wahid dan Mohd Shazwan.

Kedah bermula dengan agak perlahan di awal babak pertama. Lions XII lebih banyak mendominasi permainan sehingga minit ke 20. Kedah kelihatan sepert lambat panas dan terpaksa mengekang asakan demi asakan pelawat. Kekentalan benteng pertahanan yang diketuai oleh Mohd Fauzie Nan banyak menyelamatkan pintu gol Kedah daripada dibocori oleh gol awal pasukan pelawat. Ketangkasan Hadi juga banyak membantu Kedah terutamanya di dalam situasi bola-mati. Di dalam 20 minit yang pertama, Lions XII lebih banyak memperoleh peluang menerusi situasi bola-mati samada sepakan penjuru atau pun sepakan percuma. Tekanan demi tekanan yang diberikan oleh mereka banyak membuatkan tuan rumah menghadiahkan mereka sepakan penjuru dan sepakan percuma. Minit ke 19, Kedah hampir di depan apabila rembatan dari luar kotak penalti oleh Daniel Baroni hanya sedikit sipi dari tiang gol Lions XII. Ianya berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh beliau kemudiannya ditanduk keluar oleh pertahanan pelawat dan melantun semula di depan beliau. Tanpa membuang masa, Baroni terus merembat bola ke arah gol pelawat namun hanya sedikit sipi. 2 minit berselang giliran Lions XII pula mengancam gol Kedah yang hampir-hampir memberikan gol sulung perlawanan apabila tandukan Agu Casmir hanya sedikit melewati palang gol Kedah di mana Abdul Hadi sudah pun keluar dari kedudukannya. Terselamat pintu gol Kedah. Kedah kemudiannya terus menguasai permainan sambil dibantu oleh nyanyian semangat tanpa henti oleh Ultras Kedah di bahagian tempat duduk penjuru stadium.

Pada minit ke 37, Kedah sepatutnya sudah di depan apabila peluang terbaik mereka gagal dimanfaatkan oleh Baroni. Khyril Muhymeen bijak mencari kedudukan Baroni yang nyata tidak dikawal dan terus melorongkan bola leret kepada Baroni. Situasi 50-50 berlaku dan Baroni dengan pantas menjolok bola bagi melepasi siku penjaga gol Lions XII yang sudah pun merebahkan badan untuk menyelamatkan keadaan. Namun akhirnya Baroni dipersalahkan di dalam situasi 50-50 tersebut. Ia pasti menjadi gol sulung Kedah di dalam Liga Super 2012 sekiranya beliau melakukan “placing” atau pun merembat ke penjuru gol. Hampa seluruh penyokong Hijau Kuning. Kedah kembali menyusun gerakan mereka dan kali ini mempelbagaikan rentak permainan. Kedua-dua sayap digunakan dengan sepenuh efektif di samping gerakan solo Khyril Muhymeen untuk cuba memecahmasuk pertahanan pelawat. Kedah juga dilihat lebih banyak menekan pemain-pemain lawan untuk memaksa mereka melakukan kesilapan mudah. Pengadil akhirnya meniupkan wisel penamat bagi separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan Kedah yang berterusan. Sebelum sepak mula separuh masa kedua, Ketua Jurulatih Lions XII yang juga bekas bintang Kedah di era awal 90an, V.Sundramoorthy membuat pertukaran dengan mengeluarkan Mohd Raihan dan memasukkan Shakur Hamzah bagi menguatkan barisan midfield mereka. Tidak banyak gerakan penyudah yang menarik yang berlaku di separuh masa kedua ini. Yang jelas penguasaan bola lebih banyak memihak kepada Kedah. Antara aspek positif yang ditonjolkan oleh Kedah adalah kualiti hantaran dilihat semakin baik walaupun terdapat beberapa kesilapan mudah dilakukan. Hantaran pendek Kedah juga memaksa Lions XII hanya sekadar mengejar bola dan melihat pertukaran hantaran di antara pemain-pemain Kedah. Lions XII lebih banyak melakukan serangan menerusi kaedah “Counter-Attack”. Penguasaan Amar dan Kok Luen di bahagian midfield banyak membantu Kedah dalam mengekalkan penguasaan bola. Nidzam Adha melakukan pertukaran pemain yang pertama apabila mengeluarkan Mohd Fiqry yang mengalami kecederaan “Hamstring” dan memasukkan V.Thirumurugan walaupun beliau belum cergas sepenuhnya. Ini bermakna, Thiru kembali bermain di posisi asal beliau iaitu pertahanan kanan manakala Fazliata di letakkan sebagai sayap kanan.

Melihatkan Kok Luen yang dilihat keletihan dan acapkali melakukan kesilapan mudah, beliau dikeluarkan dan digantikan oleh Abdul Latif Suhaimi. Beliau bergandingan dengan K.Muhymeen dan Baroni kembali ke posisi asalnya iaitu “Attacking Midfielder”. Pada minit ke 70, bola rembatan Baroni jelas mengenai tangan pemain Lions XII di dalam kotak penalti Lions. Beberapa pemain Kedah memprotes situasi tersebut kepada pengadil, malangnya pengadil perlawanan tidak melayan protes. Ia mencetuskan kemarahan pemain Kedah terutamanya Baroni yang begitu berang dengan reaksi pengadil. Permainan kembali berjalan dengan seimbang selepas insiden tersebut. Menyedari bahawa tidak banyak gerakan yang boleh dilakukan oleh Fazliata lantas memaksa Nidzam Adha menggantikan beliau dengan pemain muda Mohd Syamim Alif pada minit ke 73. Kemasukan bekas produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini sedikit sebanyak menghasilkan pilihan baru buat Nidzam Adha dalam usaha menjana serangan dari sebelah tepi. Larian deras beliau banyak mengkucar-kacirkan pertahanan kiri Lions XII dan beliau berjaya menghasilkan beberapa hantaran lintang ke dalam kotak penalti pelawat. Kedah menguasai permainan dan sering menekan pelawat untuk melakukan kesilapan. Lions XII pula dilihat seakan-akan selesa dengan kedudukan semasa dan membuatkan mereka untuk cuba melengah-lengahkan permainan dengan siri kecederaan demi kecederaan dan hanya sekali sekala melakukan serangan “Counter-Attack”. Pengadil perlawanan akhirnya meniup wisel penamat perlawanan dan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata. Ia adalah mata pertama buat kedua-dua pasukan selepas mereka tewas di dalam perlawanan pertama sebelum ini. Keputusan akhir Kedah dan Lions XII terikat tanpa jaringan di Stadium Darulaman.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan