Khamis, 31 Januari 2013

Zaha masuk, siapa yang keluar?


Sepertimana yang telah diketahui, pemain muda sensasi England, Wilfried Zaha telah menandatangani kontrak untuk bersama MU selepas kelabnya, Crystal Palaca bersetuju dengan yuran perpindahan sekitar 15 juta pound yang dikemukakan oleh MU.

Walaubagaimanapun, Zaha tidak akan menyertai MU pada bulan Januari ini kerana berdasarkan persetujuan kedua-dua kelab, Zaha akan dipinjamkan semula kepada Crystal Palace bagi membantu mereka mendapatkan slot untuk layak beraksi di BPL musim hadapan. Urusan perpindahan Zaha ke MU dilihat sebagai keputusan terbaik bagi ketiga-tiga pihak iaitu MU, Crystal Palace dan Zaha sendiri.

 
Zaha - Permata baru MU

MU memperoleh pemain muda berbakat, Crystal Palace menerima yuran perpindahan yang tinggi bagi seorang pemain muda dan masih dapat menggunakan khidmat Zaha sehingga musim berakhir manakala Zaha pula mencapai impian untuk menampilkan aksi dalam kelab dalam BPL.

Jadi, kemasukan Zaha ternyata sesuatu yang amat menggembirakan para peminat MU. Ini adalah kerana MU boleh dikatakan sudah lama tidak berbelanja untuk mendapatkan produk pemain muda England yang berbakat. Kali terakhir MU melakukan pembelian sebegitu adalah ketika mendapatkan Rooney dari Everton. Mungkin pembelian Jones dari Blackburn Rovers juga boleh diambil kira sebagai pembelian mendapatkan pemain muda berbakat England.

Jika perpindahan ini menggembirakan peminat MU, bagaimana pula dengan pemain MU? Aku agak teruja untuk melihat bagaimana SAF ingin membawa masuk Zaha ke dalam skuad MU tatkala ketika ini MU telahpun mempunyai beberapa pemain sayap iaitu Valencia, Young, Nani dan Giggs. Kagawa dan Welbeck juga boleh beraksi di bahagian sayap jika diperlukan.

SAF dijangkakan akan menjual seorang pemain sayap bagi memberikan ruang kepada Zaha. Berdasarkan prestasi semasa, pastinya yang akan dijual adalah Valencia. Prestasi Valencia pada musim ini amat mengecewakan. Valencia gagal mengembalikan kepercayaan SAF yang telah memberikan jersi nombor 7 kepadanya di awal musim.

Mampukah Valencia mengembalikan semula prestasi terbaiknya?

Mungkin pada awal musim, SAF merasakan Valencia mampu untuk meneruskan aksi cemerlang sepertimana yang ditunjukkan pada musim lepas. Walaubagaimanapun, Valencia boleh dikatakan mengalami kemerosotan prestasi secara misteri apabila dilihat teragak-agak dalam membuat larian, kurang keyakinan untuk menggelecek pertahanan lawan dan hantaran silang yang kebanyakannya meliar atau melambung tinggi.

Valencia bukannya tidak bagus tetapi gara-gara memiliki corak permainan yang 'direct', apabila beraksi dengan buruk, permainan Valencia mudah dibaca oleh pihak lawan. Ini cukup berbeza dengan Nani mahupun Young yang boleh melakukan 'cut inside', tidak bergantung kepada larian tepi sahaja seperti Valencia. Ketiadaan versataliti ini menyebabkan Valencia jarang diturunkan dalam kesebelasan utama. Tambahan pula, pada musim ini, SAF kerap mencuba beberapa formasi lain seperti 4-4-2 berlian dan 4-2-3-1 bagi perlawanan tertentu dan tidak terlalu menggunakan formasi standard 4-4-2.

Dengan MU akan mengharungi cabaran getir bermula pada bulan Februari  apabila kancah UCL kembali mengangkat tirai bagi pusingan kalah mati, MU memerlukan kesemua pemainnya memberikan persembahan yang baik setiap kali diberikan peluang beraksi. Skuad semasa MU musim ini dilihat agak stabil di semua bahagian dan secara tidak langsung, memberikan peluang kepada MU untuk menjulang beberapa kejuaraan musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan