Khamis, 31 Januari 2013

Review: MU vs Southampton (BPL)


Keputusan perlawanan: 

MANCHESTER UNITED 2
Rooney 8', 27'

SOUTHAMPTON 1
Rodriguez 3'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Ferdinand >> Smalling
Rafael >> Anderson
Nani >> Kagawa


Ulasan perlawanan:

Dua gol Rooney pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga kepada MU apabila menumpaskan Southampton dengan keputusan 2-1. Walaubagaimanapun, MU terpaksa bekerja keras pada separuh masa kedua bagi memperolehkan kemenangan kerana Southampton boleh dikatakan menguasai permainan dan membuat beberapa serangan bagi memburu gol penyamaan.

Kemenangan ke atas Southampton awal pagi tadi membolehkan MU menjarakkan diri dengan pasukan di tangga kedua iaitu Man City dengan kelebihan tujuh mata. MU ternyata menjadi satu-satunya pasukan yang gembira dalam pertengahan minggu ini apabila mengecapikan kemenangan tatkala pasukan pencabar lain hanya mampu seri dalam perlawanan masing-masing.

MU dikejutkan dengan gol awal Southampton apabila Carrick melakukan kesilapan dengan melakukan hantaran ke belakang yang lemah kepada DDG. Penyerang Southampton, Rodriguez tidak melepaskan peluang keemasan tersebut bagi memintas bola sebelum bijak menggelecek DDG. Walaupun berada dalam kedudukan sudut yang sedikit sukar, Rodriguez tenang menolak masuk bola ke dalam gawang MU untuk memberikan gol pendahuluan kepada Southampton.

Sejurus gol tersebut, MU memperkemaskan permainan dan menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan. Carrick yang cuba membuat lorongan kepada Rooney tetapi terkena pertahanan Southampton. Bola kemudiannya singgah di kaki Kagawa yang pantas menyungkit bola ke arah Rooney yang ketika itu membuat larian melepasi kawalan pertahanan Southampton. Dengan hanya berhadapan dengan penjaga gol Southampton, Rooney melepaskan rembatan leret untuk gol pertama MU.

Gol tersebut menaikkan lagi semangat dan selera MU untuk terus melancarkan serangan. Banyak gerakan cantik berjaya dihasilkan tetapi kecekapan Boruc dan palang gol menidakkan MU untuk menambahkan jaringan.

MU dihadiahkan sepakan percuma di sebelah kanan yang diambil oleh RVP. Sepakannya menuju ke 'far post' disambut baik oleh Evra untuk menanduk bola semula dalam kotak gol yang kemudiannya memberikan peluang mudah kepada Rooney untuk menolak masuk bola bagi gol kedua MU. Separuh masa pertama tamat dengan kelebihan kepada MU 2-1.

Southampton mempamerkan corak permainan yang cukup berbeza pada separuh masa kedua. MU jelas tampak tertekan dan memaksa SAF untuk melakukan beberapa pertukaran pemain dengan tumpuan untuk memperkuatkan bahagian pertahanan. Smalling yang tidak menunjukkan persembahan yang baik digantikan dengan Ferdinand. Anderson turut dikeluarkan dan digantikan dengan Rafael seterusnya membolehkan Jones ditolak ke bahagian tengah.

Pertukaran pemain tersebut memberikan sedikit penambahan kepada bahagian pertahanan MU yang diasak dengan kerap. Kagawa yang tampak keletihan digantikan dengan Nani. MU terus kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan bagi memastikan tiga mata penuh berjaya dicapai.

MU boleh dikatakan mempunyai serangan yang ampuh kerana apabila RVP tidak begitu menyinar ataupun tidak menjaringkan gol, MU mempunyai pemain lain yang mampu untuk menyumbangkan gol. Ketika ini, RVP, Rooney dan Chicharito benar-benar memberikan kelebihan yang cukup bermakna kepada MU. MU akan bertemu semula dengan Fulham hujung minggu ini dalam aksi BPL selepas kedua-dua pasukan telahpun bersemuka pada minggu lepas dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan