Selasa, 8 Januari 2013

Bolasepak Kedah - Sejarah 21 Tahun Yang Lepas Akan Berulang


SEJARAH yang dilakarkan 21 tahun lalu akan menjadi cabaran utama pasukan Kedah yang beraksi pada Liga Perdana musim ini. Kejayaan pasukan Kedah pada tahun 1992 menjuarai Liga Perdana musim itu dengan rekod cemerlang tidak kalah akan menjadi cabaran utama pasukan musim 2013 bagi mengulanginya ataupun menandingi kegemilangan pasukan yang dibimbing oleh arwah Datuk Paduka Ahmad Basri Haji Akil.
Tahun 1991 pasukan Kedah telah disingkirkan ke Liga Perdana dan pada tahun 1992 berjaya menjuarai pertandingan itu dengan tidak mengalami sebarang kekalahan dan mereka juga berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi kecundang kepada Pahang dengan jaringan tunggal oleh lawan mereka.
Pada tahun 1992 pasukan yang dilatih oleh Robert Alberts dan dibantu oleh Mohd Azraai Khor Abdullah, manakala pasukan musim 2013 ini dilatih oleh Mario Tot dibantu oleh Antonio Sisic yang berasal dari Croatia, jurulatih penjaga gawang Talib Saidi berasal dari Perak, jurulatih fizikal Mat Zali Lazim serta seorang pengurus yang sudah sinonim dengan permainan bola sepak dan senario bola sepak tempatan, Datuk Jeffery Low Hang Chow iaitu Naib Presiden KFA turut dibantu oleh Amirul Nizam Mahadzir.

Kedua-dua pasukan ini iaitu Kedah musim 1991 dan 2012 disingkirkan ke Liga Perdana bukan kerana kekurangan kemampuan tetapi masalah dalaman dan kedua-dua pasukan ini memiliki barisan pemain yang mantap mampu mengukirkan kejayaan tetapi apa yang telah berlaku kini sudah menjadi sejarah.
Pertama kali sejak beberapa musim lalu jawatankuasa KFA membuat beberapa keputusan bijak yang yang pasti akan manfaatkan pasukan serta menceriakan ribuan pengikut Pasukan Hijau Kuning seluruh Malaysia dan juga memuaskan hati mereka sendiri dengan kejayaan pasukan musim 2013 mencapai matlamatnya melayakkan diri beraksi pada Liga Super musim depan ataupun melebihinya.
Kejayaan mendapatkan khidmat beberapa muka baru yang tidak ternama tetapi menepati keperluan ketara pasukan Kedah memantapkan lagi prestasi Pasukan Hijau Kuning dan kembalinya Nelson Sam Martin yang bukan nama asing kepada ribuan peminat setia pasukan Kedah serta penyerang Chayene Santos dari Brazil yang sudah beraksi di Thailand sejak beberapa tahun lalu pasti akan menjadikan impian KFA menjadi kenyataan pada akhir musim ini.
Kini sudah pasti ribuan peminat setia Pasukan Hijau Kuning tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana musim ini yang akan membuka tirai pada 8 Januari depan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Tuah, Melaka dan beraksi buat pertama kali di Stadium Darulaman pada 11 Januari iaitu hari Jumaat menentang KL Pos Malaysia .
Beberapa perlawanan ujian yang dilalui oleh pasukan Kedah berjaya membuktikan kemampuan dan kewibawaan sebenar mereka dengan kejayaan mereka mengikat Kelantan juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu tanpa jaringan di Stadium Darulaman serta keputusan seri 0-0 ketika bertemu Selangor juga di Alor Star.
Ketika ini dua tonggak import Kedah, Nelson dan juga Santos belum mencapai tahap kecergasan yang diperlukan bagi mengharungi 90 minit perlawanan bola sepak tetapi ketika Liga Perdana membuka tirainya pada 7 Januari depan, InsyaAllah mereka pasti akan lebih bersedia dan ribuan peminat setia Pasukan Hijau kuning boleh fikirkan sendiri apa yang mampu dilakukan oleh mereka.
Kini apa yang tinggal ialah bagi pemain-pemain Kedah untuk membuktikan kewibawaan mereka di atas padang bagi membalas kepercayaan KFA yang telah menyediakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah mereka iaitu RM8 juta mengharungu musim 2013.
Tidak ada sesuatu yang lebih baik dan berbaloi untuk membalas segala kepercayaan KFA daripada memastikan Kedah beraksi pada Liga Super musim depan dan kalau ditakdirkan dengan membawa pulang beberapa piala daripada tiga pertandingan yang disediakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).





sumber: http://www.kedahlanie.info/2013/01/bolasepak-kedah-sejarah-21-tahun-yang.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan