Isnin, 7 Januari 2013

Review: MU vs West Ham United (FA Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Cleverley 23'
van Persie 90+1'

WEST HAM UNITED 2
Collins 27' 59'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

JAMES COLLINS


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

RVP >> Chicharito
Valencia >>  Scholes
Giggs >> Smalling


Ulasan perlawanan:

RVP membuktikan kemampuannya apabila sekali lagi menjadi penyelamat MU dengan menjaringkan gol penyamaan di minit kecederaan bagi membolehkan MU mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan West Ham United (WHU) di Upton Park.

Bagi perlawanan pusingan ketiga Piala FA ini, SAF menurunkan kesebelasan utama MU yang boleh dikatakan kuat bagi menunjukkan bahawa MU tidak memandang mudah saingan yang akan diberikan oleh WHU. Selain itu, MU juga dilihat berusaha untuk memenangi Piala FA selepas kali terakhir menjulang piala tersebut pada tahun 2004.

SAF melakukan beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama MU. Masih lagi mengekalkan formasi standard iaitu 4-4-2, Buttner akhirnya diberikan peluang beraksi bagi menggantikan Evra yang direhatkan. Vidic dan Smalling kembali ke barisan pertahanan bagi menyertai Evans yang mengekalkan posisi dalam kesebelasan utama.

Agak menarik apabila SAF memilih Rafael untuk beraksi di bahagian kanan. Selain itu, Cleverley, Scholes dan Kagawa turut membarisi bahagian tengah MU yang tampak beraksi secara kompak yang lebih menumpukan perhatian di kawasan tengah berbanding di sebelah tepi. Bahagian serangan, MU mengharapkan gandingan Welbeck dan Chicharito untuk memburu gol.

MU bermula dengan baik sebaik sahaja perlawanan berlangsung. Walaubagaimanapun, WHU dilihat mempunyai strategi yang baik untuk menghampakan MU, tambahan pula beraksi di halaman sendiri. MU terlebih dahulu membuka jaringan apabila Cleverley membuat rembatan lencong menarik bagi menewaskan Jaaskelainen. Gol tersebut berpunca daripada hantaran Chicharito yang bijak membuat larian melepasi kawalan pertahanan WHU.

Namun, WHU menunjukkan kebangkitan yang menakjubkan terutamanya bagi pemain yang baru dimilikinya iaitu Joe Cole yang tampak kembali ke prestasi sebenar selepas berhijrah dari Liverpool. Cole kerap melakukan larian dan hantaran silang dari sebelah tepi yang gagal dihalang kemas oleh pertahanan MU.

Akibatnya, WHU memperoleh gol penyamaan menerusi gol tandukan Collins yang bijak menyambut hantaran silang Cole. Walaupun menanduk dari jarak yang agak jauh, Collins berjaya membuatkan bola tandukannya sukar untuk dijangkau oleh DDG yang hanya mampu untuk melihat. Separuh masa pertama kesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan WHU cuba memberikan tekanan kepada MU dan hasilknya, WHU berjaya mendapatkan gol sekali lagi menerusi tandukan Collins yang dibantu oleh hantaran silang Cole. Cole memainkan peranan dengan cukup berkesan dalam menjana serangan WHU tetapi terpaksa dikeluarkan selepas mengalami pendarahan hidung.

MU yang ketinggalan 1-2 menyebabkan SAF membuat pertukaran pemain dengan memasukkan RVP dan Valencia bagi menggantikan Scholes dan Chicharito. Tindakan SAF itu sedikit sebanyak mengubah corak permainan MU yang menjadi sedikit menyerang dan mula melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol WHU.

Kagawa yang sepatutnya menggerakkan serangan MU tidak memberikan impak yang berkesan kerana kerap diasak dan diberikan tekanan secara fizikal oleh pemain WHU. Ini menyebabkan Kagawa gagal mengawal bola dengan lama dan sekaligus menyukarkan Kagawa dalam membuat hantaran kepada rakan.

Kemasukan Giggs yang menggantikan Smalling benar-benar menampakkan hasil apabila serangan MU tampak lebih tajam. Namun, segala usaha MU tidak membuahkan sebarang hasil sehinggalah pada masa kecederaan apabila hantaran jauh Giggs tepat kepada RVP. Walaupun dikawal oleh pertahanan WHU, RVP bijak menampan bola dan berjaya melepasi kawalan pertahanan WHU sebelum merembat dengan kaki kanan menerjah penjuru kanan gawang gol WHU.

Gol penyamaan tersebut diraikan dan itu menunjukkan bahawa MU sememangnya bersemangat tinggi dalam menafikan kekalahan terhadap pasukan. Walaupun MU seboleh-bolehnya cuba mengelakkan diri dari beraksi dalam perlawanan ulangan, keputusan 2-2 yang dicatatkan di Upton Park membuktikan keinginan MU meneruskan cabaran dalam mengharungi saingan Piala FA musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan