Ahad, 27 Januari 2013

Review: MU vs Fulham (FA Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
Giggs 3' (pen)
Rooney 50'
Chicharito 52', 66'

FULHAM 1
Hughes 77'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

CHICHARITO


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Scholes >> Carrick
Valencia >> Giggs
Kagawa >> Anderson


Ulasan perlawanan:

MU melangkah ke pusingan ke-5 dengan penuh bergaya selepas berjaya mengetepikan cabaran Fulham di OT. MU mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Fulham dengan para penonton di OT menyaksikan empat gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan, MU terus melancarkan beberapa pergerakan pantas dengan cuba merobek pertahanan Fulham yang masih tercari rentak. Hasilnya, MU dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan selepas bola sepakan sudut Rooney terkena tangan pertahanan Fulham. Giggs yang mengambil tugas menyempurnakan sepakan penalti dari Rooney ternyata tidak menghampakan dengan mudah menewaskan penjaga gol Fulham untuk memberikan MU gol pendahuluan.

Gol tersebut membakar semangat pemain MU untuk menambahkan jaringan. Namun begitu, Fulham terus kental bertahan dalam menidakkan segala usaha MU. Pujian perlu diberikan kepada Giggs kerana beberapa kali bijak membuat lorongan yang mencipta peluang buat MU untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol Fulham.

Gandingan Rooney dan Chicharito benar-benar memberikan kelebihan buat MU apabila pergerakan mereka kerap mengucar-kacirkan pertahanan Fulham. Walaubagaimanapun, kekurangan ketajaman membuat penyudahan menyebabkan Rooney dan Chicharito gagal untuk menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua mempamerkan episod yang cukup berbeza apabila MU dilihat memperkemaskan permainan bagi memastikan kemenangan berjaya diperoleh. Usaha gigih mereka membuahkan hasil apabila Anderson bijak mengesan larian Rooney sebelum membuat lorongan cantik. Walaupun dikawal oleh pertahanan Fulham, Rooney pantas membuat gelecekan sebelum melepaskan rembatan deras untuk gol kedua MU.

MU terus mengganas apabila dua minit selepas gol Rooney, Chicharito pula mencatatkan namanya selaku penjaring gol ketiga MU. MU terus menggandakan asakan dan sekali lagi Chicharito menyumbat gol keempat MU menerusi rembatannya yang terbias melepasi jangkauan penjaga gol Fulham.

Dengan kelebihan empat gol, MU memperlahankan rentak permainan. Fulham pula sekali sekala cuba mengancam pintu gol MU. Menerusi sepakan sudut Karagounis, Hughes yang tidak dikawal kemas mudah menanduk masuk untuk gol saguhati Fulham.

MU melakukan pertukaran dengan membawa keluar Carrick, Anderson dan Giggs dan memasukkan Scholes, Valencia dan Kagawa. Pertukaran tersebut lebih kepada penggantian pemain sahaja dan tidak melibatkan perubahan besar taktikal MU. 

Walaupun jarang diturunkan sebagai pasangan musim ini, Jones dan Smalling menunjukkan persefahaman yang cukup bagus. Mereka berdua tidak kekok untuk mengekang larian Berbatov dan memintas kebanyakan hantaran Fulham dengan berkesan.

Dengan aksi yang cukup memberangsangkan pada perlawanan menentang Fulham, MU pastinya menaruh harapan untuk menjulang kejuaraan Piala FA musim ini. Tambahan pula, MU dilihat mempunyai pasukan yang cukup besar untuk bersaing dalam semua pertandingan. Yang pasti, MU tidak hanya bergantung kepada satu atau dua pemain sahaja untuk mencatatkan kemenangan seperitmana yang telah digembar-gemburkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan