Rabu, 2 Januari 2013

Review: MU vs Wigan Athletic


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
Chicharito 36', 64'
van Persie 43', 88'

WIGAN ATHLETIC 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

ROBIN VAN PERSIE


Kesebelasan utama MU:



Pertukaran pemain:

Kagawa >> Carrick
Welbeck >> Young
Smalling >> Ferdinand


Ulasan perlawanan:

Chicharito dan RVP masing-masing meledakkan dua gol bagi membolehkan MU mendapatkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Wigan Athletic (WA) seterusnya mengekalkan perbezaan tujuh mata dengan Man City yang turut mengecapi kemenangan 3-0 di halaman sendiri menentang Stoke City.

MU memulakan tahun baru 2013 dengan langkah kanan dengan mengutip mata penuh dari DW Stadium. Kemenangan 4-0 yang dicatatkan malam tadi mengulangi keputusan yang diperoleh pada bulan September lalu. Selain itu, MU berjaya mendapatkan 'clean sheet' dalam dua perlawanan berturut-turut dan ini semestinya melegakan SAF yang sebelum ini dikatakan pening kepala untuk memastikan pertahanan MU tidak melepaskan banyak gol dalam satu-satu perlawanan.

WA dan MU bermula dengan baik sebaik sahaja perlawanan dimulakan. Tatkala MU berusaha untuk mencari rentak, WA mengambil peluang tersebut untuk menguasai permainan. Namun begitu, penguasaan bola yang diperoleh WA tidak diterjemahkan kepada mencipta peluang menghasilkan gol. 

MU kemudiannya memperkemaskan permainan dan mula untuk mengancam WA. Banyak sepakan sudut yang diberikan kepada MU selepas beberapa kali percubaan mahupun hantaran silang berjaya dipatahkan oleh WA. Salah satu sepakan sudut MU telah memberikan peluang kepada MU untuk membuka jaringan di mana kegagalan WA untuk mengeluarkan bola dari situasi merbahaya dengan kemas membolehkan Chicharito menolak masuk bola ke dalam gawang kosong selepas Al-Habsi menepis rembatan Evra.

Sejurus gol pertama tersebut, MU menggandakan usaha untuk menambahkan jaringan. Bahagian pertahanan MU yang ditunjangi oleh Ferdinand dan Evans tidak menampakkan sebarang masalah. Ini adalah kerana Carrick dan Cleverley berjaya memainkan peranan dengan cukup berkesan di bahagian tengah dengan menyekat sebahagian besar pergerakan WA.

Menerusi hantaran pantas Carrick yang gagal dipintas oleh pemain WA, Chicharito bijak membuat lorongan kepada RVP. Walaupun dikawal oleh dua pertahanan WA, RVP dengan tenang membuat acahan yang mengelirukan dan kemudiannya merembat bola dengan kaki kanan untuk meledakkan gol kedua MU dan ke15 buat dirinya dalam BPL. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-0.

Sebaik separuh masa kedua bermula, MU terus menguasai permainan. Boleh dikatakan WA terpaksa bertahan dengan 11 orang pemainnya berada dalam kawasan sendiri sepanjang masa. Rafael yang kembali beraksi menunjukkan persembahan cemerlang dengan kerap membantu serangan. Larian pantasnya telah membolehkan MU mendapatkan sepakan percuma yang menghasilkan gol ketiga MU.

Sepakan percuma RVP terbias selepas mengenai benteng WA dan bola tersebut singgah di kaki Chicharito yang mudah merembat masuk bola ke dalam gawang melepasi jangkauan Al-Habsi. Gol kedua Chicharito tersebut seolah-olah menafikan semangat pemain WA untuk bangkit mencabar MU. 

MU memperlahankan rentak permainan dan SAF mula melakukan pertukaran pemain. Carrick yang tampak kepenatan selepas beraksi empat perlawanan dalam tempoh 10 hari dikeluarkan dan digantikan dengan Kagawa. Young yang cemerlang kebelakangan ini turut dikeluarkan bagi memberikan laluan kepada Welbeck. Smalling dimasukkan bagi menggantikan Ferdinand.

Walaupun melakukan pertukaran pemain, ianya tidak menjejaskan selera MU untuk menambahkan jaringan. Hasil pergerakan satu pasukan yang bijak, hantaran pendek Chicharito diterima oleh Rafael yang kemudiannya cuba mengelirukan pertahanan WA dengan membuat hantaran ke belakang menggunakan tumit. Hantaran tersebut cuba dipintas oleh pemain WA tetapi gagal berbuat demikian dan memberikan peluang kepada Welbeck untuk merampas bola. Tanpa sifat tamak, Welbeck menolak bola kepada RVP yang berada dalam keadaan terbuka untuk menjaringkan gol keempat MU.

Kemenangan 4-0 terbaru ini melebarkan rekod cemerlang MU acapkali bertemu WA. Skuad MU yang besar telah digunakan dengan sebaik mungkin oleh SAF untuk mengharungi jadual perlawanan yang padat. Dengan kelebihan tujuh mata, MU pastinya mempunyai momentum yang bagus untuk baki 17 perlawanan lagi bagi menjulang kejuaraan BPL musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan