Isnin, 3 Disember 2012

Review: MU vs Reading (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
Anderson 13'
Rooney 16', 30'(pen)
van Persie 34'

READING 3
Robson-Kanu 8'
Le Fondre 19'
Morrison 23'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama:



Pemain gantian:

Smalling >> Rafael
Jones >> Anderson
Welbeck >> RVP


Ulasan perlawanan:

Para penonton yang memenuhi Madjeski Stadium baru-baru ini pasti merasakan pembelian tiket mereka berbaloi selepas melihat tujuh gol berjaya dijaringkan dalam satu perlawanan. Tetapi kesemua tujuh gol tersebut dihasilkan dalam separuh masa pertama sahaja.

Ucapan tahniah dan syabas harus diberikan kepada Reading kerana memberikan tentangan sengit kepada MU walaupun sebelum sepak mula, Reading boleh dikatakan akan mengalami kekalahan. Reading berjaya mengeksploitasikan kelemahan pertahanan MU dengan menjaringkan tiga gol yang dicipta menerusi hantaran silang.

Bahagian pertahanan MU bukan sahaja gagal mengekori dan merapati pemain Reading, malah kegagalan Lindegaard dalam berkomunikasi dengan pemain pertahanan dan menunjukkan autoriti di kawasan penalti sendiri menjadi punca MU bolos sehingga tiga gol. Mujur bahagian serangan MU menjadi penyelamat dengan empat gol seterusnya membolehkan MU membawa pulang tiga mata berharga.

Persembahan yang ditunjukkan Rafael ternyata mengecewakan kerana gagal mengekang pergerakan kapten Reading, McAnuff yang kerap mengucar-kacirkan pertahanan MU. Akhirnya, selepas beraksi selama 30 minit sahaja, SAF mengeluarkan Rafael dan menggantikannya dengan Smalling. Seharusnya, SAF melakukan sedikit ulangkaji dengan kemampuan Reading selain mengetahui bahawa Rafael pastinya akan terdedah apabila MU tidak menggunakan formasi yang mempunyai pemain sayap.

Kemasukan Smalling memberikan impak di mana MU berjaya meneutralkan sebahagian besar serangan Reading. Pastinya ramai peminat MU termasuk aku lega apabila melihat pertahanan MU kembali kental dan menghalang Reading daripada menambahkan jaringan.

Agak mendukacitakan apabila Anderson yang menjaringkan gol penyamaan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Anderson berkemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam perlawanan setempat hujung minggu ini dan kehilangannya akan dirasai selepas menampilkan aksi yang cukup kemas. Bahagian tengah MU tampak mantap dan bertenaga setiap kali adanya Anderson.

Sepertimana yang diharapkan oleh SAF, Rooney menempatkan dirinya selaku penjaring dua gol MU. Rooney menampilkan persembahan yang amat memberangsangkan kerana bukan sahaja menjaringkan gol, malah bijak membuat gerakan dan hantaran cantik ketika melancarkan serangan MU. Kuisan mudah Rooney membolehkan RVP menjaringkan gol kemenangan buat MU.

RVP sekurang-kurangnya boleh mendapatkan hatrik dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi Ahad. Kesilapan penjaga garisan untuk mengesahkan jaringan RVP menidakkan gol kedua manakala kegopohan untuk menyepak bola tatkala pintu gol kosong menyebabkan RVP berputih mata untuk gol ketiga.

Oleh kerana kedua-dua pasukan menunjukkan corak permainan yang terbuka, separuh masa pertama menyaksikan tujuh gol berjaya dijaringkan. Walaubagaimanapun, dalam separuh masa kedua, MU dan Reading bermain dengan lebih berhati-hati dan rentak permainan menjadi sedikit perlahan berbanding sebelumnya.

Kemenangan ke atas Reading memberikan ruang kepada MU untuk menjarakkan diri dengan Man City. Kini, tumpuan pastinya terarah kepada perlawanan setermpat di Etihad Stadium pada hujung minggu ini sekaligus saingan UCL pertengahan minggu ini akan menjadi pentas buat pemain-pemain muda MU untuk beraksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan