Jumaat, 14 Disember 2012

Review: Malaysia vs Thailand (AFFSC)


Keputusan perlawanan:

MALAYSIA 0

THAILAND 2
Teerasil 61'
Theerathon 65'


Kesebelasan utama Malaysia:


Pemain gantian:

Kyril >> Kunanlan
Safee >> Baddrol


Ulasan perlawanan:

Malaysia berkunjung ke Thailand dengan tekanan selepas keputusan 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama AFF Suzuki Cup (AFFSC) memandangkan Malaysia memerlukan jaringan. Selain itu, Thailand sememangnya diketahui bersemangat untuk saingan AFFSC kali ini apabila berjaya meledakkan gol dalam setiap perlawanan dari peringkat kumpulan lagi di samping bakal memperoleh sorakan daripada ribuan penyokong Thailand.

Menggunakan formasi 4-5-1 dengan meletakkan Norshahrul selaku penyerang tunggal, Malaysia dilihat lebih menumpukan perhatian untuk mengimbangi bahagian tengah Thailand dan cuba menyerang Thailand menerusi serangan balas yang pantas.

Namun, keadaan padang yang tidak begitu baik serta kurangnya kemantapan bahagian tengah Malaysia menyebabkan Malaysia gagal untuk mengancam kubu pertahanan Thailand. Norshahrul terpaksa bekerja keras secara keseorangan kerana tidak dapat bantuan secukupnya daripada Azamudin mahupun Kunanlan.

Kapten Malaysia, Safiq sekali lagi tidak menampakkan keberkesanan dalam melancarkan serangan Malaysia. Banyak hantarannya tidak tepat malah kerap kehilangan penguasaan bola. Mujur Baddrol dan Amar banyak membantu Safiq dalam mengemudikan bahagian tengah Malaysia tetapi tidaklah begitu cemerlang.

Pertahanan dan penjaga gol Malaysia seharusnya diberikan pujian apabila kental menahan segala ancaman dan serangan Thailand. Thailand yang kelihatan buntu untuk memasuki kotak penalti Malaysia lebih banyak melakukan percubaan jarak jauh. Farizal ternyata tidak mengecewakan apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan Thailand.

Namun, keazaman Malaysia untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir AFFSC tersentap apabila pengadil perlawanan dari Korea Selatan melayangkan kad kuning kedua kepada Fadhli sekaligus diarahkan keluar padang. Datuk Rajagopal tidak melakukan pertukaran pemain tetapi sebaliknya mengarahkan Amar untuk mengisi kekosongan di samping Aidil.

Keputusan tersebut memberikan kesan buruk kepada Malaysia apabila kesilapan di bahagian pertahanan menyebabkan Thailand menjaringkan dua gol dalam masa lima minit. Kedua-dua gol tersebut berpunca daripada kealpaan dan kegagalan untuk mengeluarkan bola dari situasi berbahaya. 

Dengan beraksi sepuluh pemain dan ketinggalan 0-2, peluang Malaysia untuk ke perlawanan akhir menjadi semakin tipis. Kemasukan Safee dan Kyril tidak memberikan sebarang makna kepada Malaysia. Kegagalan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 2010 sememangnya sesuatu yang amat mendukacitakan para peminat Harimau Malaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan