Isnin, 10 Disember 2012

Review: MU vs Manchester City (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 3
Rooney 16', 29'
van Persie 90+2'

MANCHESTER CITY 2
Toure 60'
Zabaleta 86'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pemain gantian:

Smalling >> Evans
Jones >> Valencia
Welbeck >> Cleverly


Ulasan perlawanan:

Rekod 37 perlawanan tanpa kalah di halaman sendiri milik Manchester City (MC) akhirnya lebur apabila tumpas 2-3 di tangan MU dalam perlawanan yang penuh dramatik. MU berjaya mendahului MC dengan 2-0 sebelum MC menunjukkan kebangkitan untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2. Namun, gol RVP pada masa kecederaan selepas tamat 90 minit memusnahkan harapan MC untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata dengan MU.

Kemenangan malam tadi membolehkan MU menjarakkan diri dengan jurang perbezaan enam mata mengatasi MC di tangga kedua. Rooney mencatatkan rekod tersendiri apabila dua golnya membolehkan dirinya menjadi penjaring terbanyak dalam perlawanan setempat MU-MC dengan 10 gol. Selain itu, Rooney juga menjadi pemain termuda yang memperoleh 150 gol dalam BPL.

RVP sememangnya menjadi pembelian yang cukup berharga buat MU apabila menjaringkan gol kemenangan MU ke atas MC. Setakat ini, RVP telah berjaya mencatatkan nama selaku penjaring dalam setiap pertemuan MU dengan pencabar kejuaraan BPL musim ini iaitu Liverpool, Arsenal, Chelsea dan MC. Hanya Spurs yang mampu menidakkan RVP daripada menjaringkan gol. 

Jika dilihat dengan lebih teliti, gol kemenangan MU terhasil menerusi tiga insiden melibatkan tiga bekas pemain Arsenal. Yang pertama adalah kekasaran yang dilakukan Clichy ke atas Rafael yang membolehkan pengadil memberikan sepakan percuma kepada MU. Yang kedua adalah sepakan percuma yang diambil oleh RVP dan yang ketiga adalah bola sepakan RVP terkena betis Nasri yang cuba menghalang namun bola menjadi sedikit melencong seterusnya gagal ditepis keluar oleh Hart.

Gandingan Rooney dan RVP menampakkan kesefahaman yang tinggi sehinggakan kedua-dua mereka dapat menyumbangkan gol buat MU. Boleh dikatakan bahawa kejayaan Rooney meledakkan dua gol turut disumbangkan oleh kebijaksanaan RVP menarik perhatian dan kawalan pertahanan tengah MC sekaligus membuka ruang kepada Rooney. 

Taktikal dan formasi yang digunapakai oleh SAF memang cukup menjadi. Sepertimana yang diketahui, Nasri dan Silva yang beraksi di sebelah tepi tidak begitu rajin membantu pasukan ketika bertahan. Ini memberikan ruang kepada MU untuk mengeksploitasikan kawasan tersebut dengan meletakkan Young dan Valencia. Hasilnya kita boleh lihat kepada dua gol MU yang dijaringkan oleh Rooney.

Pujian harus diberikan kepada bahagian pertahanan terutamanya Ferdinand yang begitu tangkas menghalang serangan MC. Balotelli jelas tertekan dengan asakan Ferdinand dan menyebabkan MC tidak begitu mengancam MU sehingga kemasukan Tevez. Smalling yang menggantikan Evans turut beraksi dengan baik. Rafael kembali menunjukkan persembahan bertenaga dengan bijak mengekang Silva. Prestasi Evra pula tampak sedikit merosot kerana melakukan kesilapan dalam beberapa situasi.

Carrick membuktikan kecemerlangannya di samping Cleverly. Walaupun berhadapan dengan Toure dan Barry, Carrick dan Cleverly saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan MU tidak tewas di bahagian tengah. Corak permainan pantas Cleverly benar-benar mengucar-kacirkan MC manakala Carrick kelihatan berani membuat terjahan dan bentesan bagi menghalang MC dari menguasai permainan.

MU menampilkan keberkesanan taktikal yang baik. Walaupun MC dilihat memiliki sedikit lebih penguasaan permainan, namun dengan kepantasan melancarkan serangan balas serta klinikal dalam kotak penalti lawan, sudah cukup memberikan kelebihan buat MU untuk mencatatkan kemenangan di Etihad Stadium.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan