Isnin, 17 Disember 2012

Cerita Bola Sepak Malaysia


Sejak kegagalan Malaysia untuk layak ke perlawanan akhir AFFSC selepas tewas kepada Thailand baru-baru ini, timbul pelbagai reaksi tentang skuad Harimau Malaya (HM) telah diberikan sama ada dari blog sehinggalah ke artikel media massa. Jadi, aku pun tidak ingin ketinggalan dalam memberikan sedikit sebanyak komentar.

HM telah menunjukkan kehebatan bermula pada tahun 2009. Dikatakan peningkatan memberangsangkan ini adalah hasil daripada keputusan FAM untuk melarang sebarang pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia untuk menggunakan khidmat pemain import. Selepas keputusan tersebut, ramai pemain Malaysia mempamerkan kemahiran yang agak baik walaupun dalam pada masa yang sama, kehadiran penonton ke stadium agak berkurangan kerana kurangnya tarikan akibat ketiadaan pemain import.

Pada ketika itu juga, FAM kononnya telah menyediakan pelan pembangunan bola sepak negara yang cukup ampuh sehingga mampu untuk memberikan peluang beraksi di Slovakia kepada skuad pemain muda. Namun, beberapa tindakan dan keputusan yang diambil oleh FAM menimbulkan beberapa kontroversi termasuk pertukaran jurulatih Malaysia.

Ketika Sukan SEA 2009, HM di bawah kendalian Datuk Rajagobal (RG) membuat kejutan apabila merangkul pingat emas selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1989. Skuad HM ketika ini dibarisi oleh pemain-pemain muda yang aku katakan cukup mantap. Corak permainan mereka sememangnya mencuri tumpuan.

Skuad HM sekali lagi meneruskan rentak kejuaraan apabila dinobatkan juara AFFSC pada tahun 2010. Kemeriahan bola sepak di Malaysia semakin rancak dan yang paling menarik adalah ramai golongan muda telah mula celik tentang skuad HM. Stadium Bukit Jalil mahupun Stadium Shah Alam sentiasa dipenuhi oleh penyokong Malaysia terutamanya Ultra Malaya.

Momentum baik HM kemudiannya diteruskan pula pada Sukan Sea 2011 apabila Malaysia mengekalkan pingat emas. Apa yang boleh aku katakan adalah pasukan HM ketika bertanding di Sukan SEA 2011 adalah antara yang terbaik Malaysia pernah miliki sejak beberapa tahun. Selain dibarisi dengan pemain berpengalaman, beberapa pemain baru turut berjaya dicungkil dan ini sememangnya sesuatu yang membanggakan.

Walaubagaimanapun, kegagalan untuk melepasi peringkat kumpulan pusingan kelayakan Piala Dunia dan kekalahan yang dialami dalam beberapa perlawanan persahabatan, prestasi HM kelihatan merosot. Kedudukan dalam ranking dunia juga tidak menampakkan sebarang peningkatan dengan Malaysia terus berada di kalangan negara-negara yang lemah seperti Sri Lanka, Bangladesh dan sebagainya. Negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia jauh di hadapan Malaysia.

Pada pendapat aku, skuad HM harus dibarisi dengan campuran pemain senior dan muda. Pemain-pemain utama skuad negeri atau kelab yang beraksi cemerlang dalam liga harus diberikan peluang beraksi menyarung jersi Malaysia. HM tidak seharusnya menjadi eksklusif hanya kepada pemain-pemain muda yang bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil mahupun dari skuad muda Malaysia.

Pemain-pemain senior seperti Indra Putra dilihat masih mampu untuk menyumbang keringat buat HM jika diberikan peluang. Kapten Kelantan, Badri Radzi yang sememangnya diketahui menunjukkan aksi yang cukup konsisten sepanjang musim berlangsung perlu dipanggil ke kem skuad HM. Terdapat satu dua lagi nama pemain yang patut mewakili Malaysia tetapi tidak diberikan peluang oleh RG.

Menerusi beberapa kejuaraan yang diperoleh sebelum ini, HM sebolehnya meneruskan corak permainan yang baik dan jika perlu, memberikan peluang kepada pemain yang sepatutnya bagi mengambil tempat pemain yang prestasinya merosot. Pada waktu ini, tidak sesuai untuk dikatakan masa bereksperimen tetapi lebih menjurus kepada menguatkan skuad sedia ada.

Mungkin apa yang terbaik ketika ini adalah membuat sedikit rombakan terhadap skuad HM selain melakukan pertukaran jurulatih. Mana tahu, taktikal dan strategi baru amat diperlukan oleh Malaysia ketika ini agar tidak berputih mata lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan