Isnin, 3 Disember 2012

Review: Malaysia vs Indonesia (AFFSC)


Keputusan perlawanan:

MALAYSIA 2
Azamudin 27'
Mahali 30'

INDONESIA 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

MAHALI JASULI


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Gary >> Shakir
Fakri >> Azamudin
Amar >> Norshahrul


Ulasan perlawanan:

Persembahan yang cukup bertenaga yang ditunjukkan oleh Malaysia dan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia memberikan keceriaan kepada ribuan penyokong Harimau Malaya. Kemenangan tersebut menyaksikan Indonesia yang sebelum perlawanan ketiga kumpulan B berlangsung berada di tempat teratas gagal melayakkan diri ke separuh akhir dengan Malaysia dan Singapura mengisi dua slot tersebut.

Jika, dalam perlawanan pertama aksi Malaysia cukup longlai dan tidak barmaya, perlawanan dengan Indonesia menampakkan perubahan 360 darjah dengan hampir kesemua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mencari kemenangan. Hasil kesungguhan para pemain dan sokongan tidak berbelah bagi oleh penyokong, Malaysia boleh dikatakan mengulangi persembahan dalam peringkat kumpulan pada saingan AFFSC 2010.

Mahali layak untuk ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mempamerkan prestasi yang cemerlang sama ada ketika bertahan mahupun menyerang. Namun, sumbangannya terhadap serangan Malaysia lebih terserlah apabila Mahali bukan sahaja membantu untuk menghasilkan gol pertama Malaysia, malah Mahali juga meledakkan gol kedua Malaysia.

Azamudin yang pada permulaannya beraksi di sayap kanan gagal memberikan sebarang impak. Tetapi selepas melakukan pertukaran posisi dengan Wan Zack, kedua-dua bahagian sayap Malaysia menjadi mengancam dengan banyak serangan dilakukan menerusi larian dan hantaran lintang daripada Azamudin dan Wan Zack.

Malaysia memulakan perlawanan dengan agak perlahan seterusnya memberikan ruang kepada Indonesia untuk menguasai permainan dalam 20 minit pertama. Mujur kekentalan bahagian pertahanan Malaysia dan kecekapan Farizal menidakkan Indonesia untuk menjaringkan sebarang gol. Persefahaman yang ditunjukkan antara Aidil dengan Fadhli sememangnya menjadi senjata utama Malaysia menangkis ancaman Indonesia.

Malaysia sedikit gusar apabila Shakir terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Namun, Gary yang menggantikan Shakir tidak mengecewakan apabila bijak bergandingan dengan Safiq mengemudikan bahagian tengah Malaysia. Banyak pintasan dan bentesan Gary berjaya mengekang bahagian tengah Indonesia.

Mungkin kerana telah beraksi di liga Indonesia, pergerakan Safee mudah dibaca dan dipatahkan oleh pertahanan Indonesia. Norshahrul juga tidak begitu menyinar kerana lebih banyak bergerak ke tepi untuk membuka permainan Malaysia berbanding memainkan peranan mengancam kubu Indonesia.

Kelebihan serangan Malaysia boleh dikatakan dibekalkan oleh gandingan mantap Mahali dan Wan Zack di sebelah kanan. Kedua-dua mereka beraksi dengan baik dengan Mahali bijak memberikan sokongan kepada Wan Zack ketika melancarkan serangan dari sebelah kanan. Selain itu, hantaran silang yang bagus daripada Mahali dan Zack tampak seperti akan memberikan sesuatu yang positif buat Malaysia.

Malaysia kini berada dalam keadaan terbaik dalam menghadapi Thailand dalam saingan separuh akhir nanti. Sedikit masalah iaitu ketumpulan jentera jaringan gol iaitu Safee dan Norshahrul perlu diatasi bagi memastikan Malaysia mempunyai senjata dan peluru secukupnya dalam merobek pertahanan Thailand. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan