Rabu, 21 November 2012

Ulasan tidak rasmi: Malaysia vs Bangladesh


Malaysia telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bangladesh sebagai persediaan menghadapi saingan Piala AFF yang akan bermula hujung minggu ini. Perlawanan yang berlangsung malam tadi berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Malaysia bermain dengan agak baik pada separuh masa pertama. Penyerang Kedah, Kyril Muhymeen menjaringkan gol Malaysia menerusi tandukan selepas menyambut sepakan sudut yang diambil oleh Safiq Rahim. Pengawalan bola oleh kesebelasan utama Malaysia boleh dikatakan kemas cuma kurang kreativiti untuk merobek pertahanan kental Bangladesh.

Separuh masa kedua, jurulatih Malaysia, K. Rajagobal melakukan beberapa pertukaran dengan membawa keluar trio pemain utama Malaysia iaitu Safee Sali, Safiq Rahim dan Norsharul. Ketiadaan mereka bertiga jelas memberikan kesan terhadap corak permainan Malaysia yang hambar.

Malaysia tampak mampu untuk mencatatkan kemenangan mudah ke atas Bangladesh berdasarkan pemain yang dibariskan dalam skuad utama. Namun, corak permainan Malaysia seolah-olah seperti layang-layang yang putus talinya sukar untuk menggerakkan serangan dengan lancar. Ini sekaligus memberikan ruang kepada Bangladesh untuk menekan Malaysia dan berupaya mengancam untuk menghasilkan gol penyamaan.

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan untuk memperoleh kemenangan. Banyak kelemahan yang dapat dilihat daripada aksi perlawanan malam tadi. Sebagai contoh, bahagian tengah Malaysia menjadi longlai selepas ketiadaan Safiq Rahim. Baddrol Bakhtiar yang sebelum ini cemerlang ketika membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea tidak begitu menonjol. 

Amar Rohidan pula lebih banyak bergerak di kawasan tengah padang dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri sahaja tanpa memberikan bantuan secukupnya kepada bahagian serangan. Pemain sayap Malaysia juga dilihat mudah kehilangan bola dengan kerap. Kekurangan sokongan daripada pertahanan tepi turut menyebabkan bahagian sayap tidak memberikan impak terhadap serangan MU.

Apa yang positif adalah Kyril Muhymeen dan Safee Sali tampak selesa berpasangan di bahagian serangan Malaysia. Kedua-dua pemain ini mempunyai larian yang deras dan sepatutnya menjadi kelebihan buat Malaysia untuk mengancam pertahanan lawan. Namun, bahagian tengah Malaysia perlu memainkan peranan dengan lebih baik iaitu melakukan hantaran atau lorongan yang bijak agar Kyril Muhymeen atau Safee Sali mampu untuk menerima dan seterusnya melakukan jaringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan