Isnin, 5 November 2012

Review: MU vs Arsenal (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
van Persie 3'
Evra 67'

ARSENAL 1
Cazorla 90+5'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

PATRICE EVRA


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Anderson >> Cleverly
Nani >> Valencia


Ulasan perlawanan:

Kekalahan kepada MU menyebabkan Arsenal hanya mampu untuk mengutip 15 mata sahaja dari 10 perlawanan BPL di mana jumlah mata tersebut merupakan terendah sepanjang Wenger menjadi pengurus Arsenal. Kini, Arsenal telah ketinggalan 9 mata di belakang MU yang memintas Chelsea untuk menerajui carta BPL dengan 24 mata.

Kemenangan 2-1 yang dirakamkan oleh MU ke atas Arsenal seolah-olah mencadangkan bahawa perlawanan berlangsung dengan sengit. Tetapi yang sebenarnya adalah MU lebih menguasai permainan dan banyak melancarkan serangan terhadap pintu gol Arsenal. Cuma kegopohan dan kesilapan bahagian serangan MU menyebabkan MU gagal menambahkan jaringan walaupun memiliki peluang terbaik seperti sepakan penalti yang tidak disempurnakan oleh Rooney serta Valencia yang gagal menyepak kemas bola ketika berada di hadapan pintu gol Arsenal.

RVP menampakkan kelas tersendiri apabila meledakkan gol pertama MU seawal minit ke3 selepas Valencia bijak mencuri bola selepas Vermaelen melakukan kesilapan dan melorongkan kepada RVP yang mudah merembat masuk. RVP tidak meraikan gol tersebut bagi menghormati Arsenal dan peminatnya walaupun telah dikecam sepanjang perlawanan gara-gara meninggalkan kem Arsenal untuk menyertai MU awal musim ini.

Bahagian tengah MU yang dikemudikan oleh Carrick dan Cleverly tidak memberikan impak yang diharapkan. Mujur Rooney banyak memberikan bantuan sekaligus membolehkan MU mengekang pergerakan tengah Arsenal yang tidak begitu mengancam. Jika, bahagian tengah Arsenal dapat menampilkan persembahan yang bagus, pastinya MU dapat merasai akibatnya kerana ketidakberkesanan Carrick dan Cleverly.

MU berjaya mengekploitasikan kelemahan Arsenal terutamanya di bahagian pertahanan kiri. Valencia tampak mudah melepasi kawalan Santos tetapi gagal membuat hantaran silang yang bagus kerana terlalu mengawal bola dengan lama serta merencatkan pergerakan MU apabila kerap berhenti. Young turut menampakkan sumbangan dengan banyak bergerak ke dalam.

Bahagian pertahanan MU boleh dikatakan tidak berhadapan dengan masalah apabila Arsenal hanya meletakkan Giroud selaku penyerang tunggal. Ferdinand dan Evans mudah mematahkan serangan MU terutamanya bagi situasi bola tinggi. Rafael banyak bergerak ke atas membantu Valencia sementara Evra bermain dengan begitu efisyen dengan tidak melakukan kesilapan.

Kemasukan Walcott sedikit sebanyak mempertingkatkan keupayaan serangan Arsenal. Namun, ianya tidaklah begitu ketara memandangkan Arsenal selepas beberapa ketika, terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wilshere diarahkan keluar padang kerana menerima layangan kad kuning kedua.

Anderson yang menggantikan Cleverly benar-benar mengubah permainan MU. Serangan MU tampak semakin kemas memandangkan Rooney boleh bergerak sedikit ke hadapan tanpa perlu kerap membantu bahagian tengah MU. Rooney memainkan peranannya selaku 'playmaker' MU dengan begitu berkesan. Banyak hantaran mahupun lorongannya mengucar-kacirkan pertahanan Arsenal. 

MU memperoleh hujung minggu yang menarik apabila bukan sahaja mencatatkan kemenangan ke atas Arsenal yang merupakan antara pencabar kejuaraan liga musim ini, malah mengambil alih tempat Chelsea selaku peneraju carta liga. Selain itu, MU turut menerima khabar gembira apabila pencabar lain iaitu Chelsea dan Man City hanya mampu mendapatkan keputusan seri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan