Ini pendapat peribadi aku saja.
Doa dibolehkan dalam pelbagai bahasa kecuali ketika dalam solat. Menurut mantan Mufti Perlis, Dr. MAZA, beliau telah memberikan hujah yang menarik tentang doa terutamanya melibatkan seseorang yang teraniaya atau dizalimi. Dr. MAZA turut menyatakan beberapa contoh termasuk para sahabat Rasulullah saw yang dijanjikan akan memasuki syurga berdoa kepada Allah swt memohon Allah swt memberikan balasan kepada orang yang zalim.
Seperti yang diketahui, apa sahaja yang kita doakan, tidak semestinya akan dimakbulkan oleh Allah swt. Allah swt berkuasa ke atas segalanya dan dengan kehendakNya, doa kita sama ada akan dimakbulkan secara segera ataupun di kemudian harinya. Apa yang penting adalah kita terus-menerus berdoa dan bersangka baik dengan Allah swt.
Namun, terdapat beberapa pihak yang rimas dengan amalan berdoa ini. Dikatakan tidak boleh berdoa untuk memohon Allah swt menghukum orang yang zalim dan sebagainya. Doa digembar-gemburkan hanya untuk memohon perkara yang baik dan elok sahaja. Sekiranya satu pihak memohon Allah menurunkan petunjukNya kepada satu pihak yang lain, maka pihak yang lain itu juga boleh dan semestinya berhak untuk berdoa sebaliknya. Itupun jika pihak yang lain itu ingin memohon dan berdoa kepada Allah swt.
Dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri telahpun memberikan penjelasan yang cukup terang dan lengkap tentang bagaimana seseorang itu boleh dikatakan jatuh Islamnya atau erti kata muda, keluar dari Islam. Perbuatan atau ucapan yang tidak sepatutnya boleh menyebabkan seseorang itu tanpa mengira sesiapa pun keluar dari Islam.
Sepertimana isu doa, penjelasan tentang bagaimana seseorang itu boleh dikatakan keluar dari Islam telah menimbulkan kegusaran dari beberapa pihak. Sekiranya kita selaku umat Islam, hamba Allah swt yakin dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt dan disampaikan oleh Rasulullah saw, kita tidak perlu risau walaupun terdapat pihak yang mengatakan diri kita telah keluar dari Islam.
Israel kini sedang mengganas apabila giat membedil Palestin. Diberitakan ramai rakyat Palestin beragama Islam terkorban dan insya-Allah dikategorikan sebagai syahid. Namun, yang menyedihkan adalah jutaan umat Islam di seluruh dunia tidak mampu untuk berbuat sesuatu yang cukup bermakna bagi menghentikan kekejaman Israel, termasuk diri aku.
Terdapat cadangan agar umat Islam mengadakan boikot terhadap barangan yang mempunyai kaitan dengan Israel. Bagi aku, cadangan ini bagus tetapi lebih kepada mengikut situasi atau keadaan semasa sahaja. Seharusnya tindakan boikot ini, sebagai contoh tidak makan di McD, dilakukan secara terus-menerus dan bukannya hanya untuk beberapa hari, minggu atau bulan sahaja. Ianya memerlukan istiqamah dan jika kesemua umat Islam bersatu padu memboikot dan tidak lupa untuk berdoa, insya-Allah kesannya akan dirasai.
Konsep dalam Islam adalah mudah. Sekiranya kita sentiasa bergantung harapan kepada Allah swt, pertolongan daripadaNya akan dikurniakan. Tiada yang lebih tinggi dari agama yang diturunkan oleh Allah swt. Jika kita tidak yakin dengan segala yang berkaitan dengan Islam, seperti yang dinyatakan dalam kitab Mustika Hadith, kita boleh dikatakan keluar dari Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan