Jumaat, 23 November 2012

Kedah umum 21 pemain


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) semalam mengumumkan senarai 21 pemain dengan sebahagian besar pemain merupakan anak negeri termasuk bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang kembali semula menyarung jersi hijau kuning bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Kedah FA Logo.png

Kedah yang bakal beraksi dalam Liga Premier turut memanggil semula pemain import, Nelson Martin dari Chile yang pernah membantu skuad Kenari meranggul piala trebel bagi musim 2007/08 lalu.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Mario Tot itu juga bakal diperkuatkan dengan penyerang baharu dari Brazil, Chayene Medeiros Oliveiro Santos.


 Chayene Medeiros Oliveiro Santos bersama Datuk Dr. Hamdan

Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perubahan turut berlaku pada barisan pengurusan melibatkan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din yang diganti oleh Timbalan Presiden KFA, Datuk Jeffrey Low Hang Chow.

Katanya, Mario Tot akan dibantu oleh Antonio Siscis dari Croatia manakala Talib Saidi pula dilantik menjadi jurulatih penjaga gol menggantikan Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail.

“Dalam bola ini biasalah, ada turun naik bukan kita boleh menang selalu. Dulu kita juara sekarang orang lain pula juara.

“Saya harap lepas buat rombakan ini, kita dapat kenal pasti masalah pemain dan harap permainan mereka bertambah bagus,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Selain Akmal Rizal yang sebelum ini beraksi bersama Perak, Kedah turut diperkuat dengan ‘ayam tambatan’ mereka, kapten Baddrol Bakhtiar dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, sekali gus menutup
desas-desus yang dua pemain itu bakal meninggalkan skuad ‘Negeri Jelapang Padi’ itu.

Pemain lain yang dikekalkan ialah Mohamad Muhaimin Mohamad, Mohd. Fiqry Md Isa, Khairul Helmi Johari, Mohd. Sabree Mat Abu, Fazliata Taib, Mohd. Faizal Abu Bakar, Abdul Hadi Abdul Hamid, Hattaphon Bun An, Wan Mohd. Syukri Wan Ahmad, Mohamad Syamim Alif Mohd. Sobri dan Muhammad Ridzuan Rumlee.

Skuad Kenari turut mendapatkan enam tenaga import tempatan iaitu dua dari Sabah melibatkan Mohd. Fariss Azlan Mat Isa dan Zuraindey Jumai selain Hariri Mohd. Safi (Terengganu), Wan Hossein Wan Abd. Ghani (Perak), Arman Fareez Mohd. Ali (Kuala Lumpur) dan Mohd. Shahrul Ezrain Shamsuddin (T-Team).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia, Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan negeri, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin berkata, KFA membuat perancangan untuk mengembalikan semula kecemerlangan bola sepak Kedah yang merosot tahun ini sehingga terpaksa beraksi dalam Liga Premier tahun depan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung KFA memberitahu, pihaknya memberi gaji yang cukup tinggi dengan empat pemain memperoleh gaji melebihi Menteri Besar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tahun ini KFA belanja RM200,000 sebulan dan tahun depan akan belanjakan RM400,000 sebulan. Tahun ini keseluruhan peruntukan adalah RM5.1 juta untuk semua pasukan bola sepak Kedah. Tahun depan keseluruhan peruntukan adalah RM8 juta dengan RM4.8 juta untuk skuad Liga Premier sahaja.
“Ini semua bagi memastikan kita dapat kembali ke Liga Super pada 2014,” katanya.



sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan