Khamis, 1 November 2012

Review: MU vs Chelsea (Capital One Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
Giggs 22', 120' (pen)
Chicharito 43'
Nani 59'

CHELSEA5
David Luiz 31' (pen)
Cahil 52'
Hazard 90+4' (pen)
Sturridge 97'
Ramires 116'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

ANDERSON


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Powell >> Buttner
Tunnicliffe >> Anderson
Macheda >> Welbeck


Ulasan perlawanan:

MU seharusnya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan untuk mencatatkan kemenangan di Stamford Bridge awal pagi tadi. Detik kemenangan yang hampir digapai akhirnya dileburkan akibat kesilapan dan kealpaan pemain MU. SAF turut merasa kecewa dengan kekalahan MU di tangan Chelsea.

Sepertimana yang telah aku jangkakan, SAF merombak hampir kesemua kesebelasan utama MU dan hanya mengekalkan Rafael di posisi biasa. Posisi selebihnya diisikan oleh gabungan pemain senior dan muda. SAF mengambil keputusan berani dengan menurunkan pasangan pertahanan muda, Wootton dan Keane untuk berhadapan dengan serangan Chelsea yang sudah semestinya sangat mencabar.

Namun, sepanjang separuh masa pertama, Fletcher yang bertindak sebagai pemain tengah defensif dilihat begitu berkesan melindungi barisan pertahanan MU. Selain itu, Anderson juga memberikan bantuan kepada Fletcher dengan baik. Secara tidak langsung, MU mampu untuk menangani serangan Chelsea walaupun kesilapan Buttner mengundang padah buat MU apabila Chelsea dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan dengan mudah oleh David Luiz.

 Oleh kerana MU memberikan penekanan kepada defensif dan hanya mengancam Chelsea menerusi serangan balas pantas, Chicharito agak keseorangan di atas. Walaupun beraksi selaku penyerang tunggal, persembahan Chicharito tidak mengecewakan. Banyak lariannya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Chelsea.

Anderson seharusnya diberikan pujian kerana menampilkan prestasi yang membanggakan. Sepanjang aksinya di atas padang, Anderson bijak mengemudikan bahagian tengah MU terutamanya menggerakkan serangan MU. Anderson juga memberikan impak dalam mengekang pergerakan Chelsea. Namun, Anderson yang keletihan tatkala perlawanan berbaki 10 minit dan terpaksa digantikan. 

Ketiadaan Anderson telah membolehkan Chelsea menyusun permainan dan melancarkan serangan ke atas MU. Hasilnya, Hazard berjaya menyamakan kedudukan menjadi 3-3 ketika perlawanan sedikit sahaja lagi untuk tamat.

Buttner beraksi dengan penuh keyakinan di awal permainan namun persembahannya merosot apabila diberikan tekanan oleh Chelsea. Penggantian Buttner sebelum sepak mula separuh masa kedua adalah keputusan tepat. Tetapi kemasukan Powell mengurangkan cengkaman MU di kawasan tengah kerana Fletcher telah berubah posisi ke pertahanan kanan.

Giggs gagal memberikan perlindungan sepatutnya kepada pasangan pertahanan tengah muda MU. Kehadiran Tunnicliffe juga mengakibatkan permainan MU kerap tersangkut kerana mudah kehilangan bola. Jika dibandingkan dengan Wootton mahupun Keane, Tunnicliffe kelihatan teragak-agak dalam membuat keputusan dan kurang keyakinan untuk memberikan cabaran kepada pemain tengah Chelsea.

Nani juga boleh dikatakan pesalah kerana kesilapannya menghilangkan penguasaan bola MU di minit terakhir perlawanan memberikan ruang kepada Chelsea menjaringkan gol penyamaan. Seharusnya Nani dan pemain MU lain lebih menumpukan untuk memastikan Chelsea tidak memperoleh penguasaan bola dan tidak ghairah menyerang. Di sini menunjukkan betapa kurangnya pengalaman kebanyakan pemain dalam kesebelasan utama MU awal pagi tadi.

Tersingkirnya MU dari saingan Capital One Cup merupakan sesuatu yang merugikan terutamanya kepada pemain-pemain muda. Ini adalah kerana Capital One Cup memberikan mereka platform dan landasan untuk beraksi dalam kesebelasan utama MU memandangkan peluang meraka agak terhad bagi saingan BPL dan UCL.

Kekalahan awal pagi tadi semestinya menjadi pengajaran berguna buat pemain muda MU. Perlawanan bertemu Chelsea bukannya memberikan peluang beraksi kepada pemain muda malah kepada pemain senior seperti Anderson, Fletcher dan Nani menunjukkan kemampuan masing-masing bagi merebut tempat dalam skuad utama MU. Tumpuan MU kini perlu beralih kepada perlawanan menentang Arsenal Sabtu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan