Selasa, 29 November 2011

Marlon, Nelson Sah Tidak Sertai Kedah - Wan Jamak

ALOR SETAR,29 Nov (Bernama) -- Impian peminat pasukan bola sepak Kedah untuk melihat kelibat dua pemain import yang pernah menyarung jersi hijau kuning, Marlon Alex James dan Nelson San Martin tidak kesampaian apabila mereka disahkan tidak akan menyertai pasukan itu tahun depan.

Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berkata kedua-duanya tidak dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disebabkan faktor umur dan kecederaan yang dialami berkemungkinan menyebabkan mereka tidak boleh bermain sepenuhnya pada semua perlawanan.

"Umur mereka dah lebih 30 tahun, dengan kecederaan yang dialami sehingga mengambil masa satu hingga dua bulan untuk pulih nyata merugikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata jika pihak pengurusan mengambil dua pemain itu ia hanya akan membazirkan duit rakyat dan peminat kerana mungkin mereka tidak boleh beraksi bersama pasukan Kenari dalam semua perlawanan musim depan.

"Saya harap peminat lupakan Marlon dan Nelson kerana saya mahu pemain import yang akan bermain untuk kesemua 56 perlawanan tahun depan melibatkan piala AFC, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia," katanya.

Marlon, 35, dan Nelson, 31, yang menyertai Kedah pada 2006 hingga 2008 merupakan bekas tonggak utama yang membantu pasukan itu muncul juara tiga piala (Kejohanan Liga, Piala FA dan Piala Malaysia) dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Sementara itu, Wan Jamak turut mengakui lebih tertarik dengan tahap permainan yang ditunjukkan pemain tempatan berbanding import pada aksi persahabatan pasukan Kedah menentang pasukan pilihan import malam tadi.

Beliau berkata gaya permainan pemain tempatan nyata lebih menyerlah namun beberapa pemain import yang dikenalpasti akan diuji sekali lagi sebelum layak untuk menyertai pasukan Kenari itu.

"Kami ada satu lagi perlawanan penting bertemu dengan pasukan bola sepak dari Songkhla, Thailand esok dan di situlah kita akan ketahui pemain yang akan dipilih," katanya.

Antara nama pemain import yang disebut-sebut bakal menyertai pasukan Kedah tahun depan ialah Daniel Soares Neves yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak Rio Claro, Brazil.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman malam tadi pasukan Liga Super Kedah mengalahkan pasukan pilihan import 3-1.



source: http://www.hijaukuning.com/portal/index.php/77-artikel-akhbar/513-marlon-nelson-sah-tidak-sertai-kedah-wan-jamak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan