Khamis, 21 Februari 2013

Sembang Bola Kedai Kopi



Untuk entry ini, aku mula dengan cerita tentang Arsenal. Sepertimana yang kita ketahui, Arsenal berada dalam keadaan yang cukup tertekan pada ketika ini. Keadaan Arsenal bertambah buruk selepas kekalahan terbaru kepada Bayern Munich. Sama ada kita perasan atau tidak, Arsenal nampaknya mempunyai badi dengan pasukan yang memiliki nama bermula dengan huruf 'B' sejak kebelakangan ini.


Arsenal tersingkir daripada saingan Capital One Cup selepas tumpas kepada Bradford City. Kemudiannya seminggu lalu, Blackburn Rovers menunjukkan pintu keluar kepada Arsenal dari saingan Piala FA England. Kini, yang terbaru, Arsenal tewas dalam perlawanan pusingan pertama peringkat kalah mati UCL kepada Bayern Munich. Mujur, pada musim ini, BPL tidak mempunyai kelab berhuruf 'B'. Jika ada, pastinya menjadi mimpi ngeri kepada Arsenal.

Kelab jiran Arsenal, Tottenham Hotspur pula dilihat terlalu bergantung kepada Bale untuk mendapatkan keputusan positif dari sesuatu perlawanan. Persembahan memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Bale menyebabkan dirinya dibuat perbandingan dengan Ronaldo memandangkan kedua-dua pemain tersebut beraksi di sebelah kiri dan menjadi pemain utama untuk mengambil sepakan percuma.

Pada aku, Bale perlu berhijrah ke kelab yang lebih besar bagi menonjolkan lagi keupayaannya. Dengan berada di Tottenham Hotspur sahaja, ianya tidak menjadi platform terbaik buat Bale untuk menjadikan dirinya selaku antara pemain terbaik dunia. Ini adalah kerana, salah satu kriteria penting sebagai pemain terbaik dunia adalah keupayaan kelabnya merangkul kejuaraan, terutamanya yang besar seperti liga mahupun UCL. Jika setakat memenangi Piala FA, itu belum cukup menempatkan diri sebagai antara pemain terbaik dunia.

Sepertimana Arsenal, Tottenham Hotspur memerlukan aksi UCL musim hadapan jika ingin mengekalkan Bale. Walaubagaimanapun, tugas tersebut nampak sukar untuk dilaksanakan kerana Tottenham Hotspur mengalami masalah ketiadaan penyerang berwibawa selepas kecederaan yang menimpa Defoe. Kegagalan untuk mendapatkan penyerang baru pada bulan Januari lepas mungkin akan menjadi penyebab utama jika Tottenham Hotspur tidak mendapatkan slot ke UCL musim hadapan.

Aku agak hairan mengapa Chelsea tidak mahu menyambung kontrak Lampard untuk sekurang-kurangnya semusim lagi. Lampard dilihat masih mampu untuk memberikan sumbangan bermakna kepada Chelsea dan ianya dibuktikan dengan jaringan gol dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. Rasanya Benitez tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kata putus terhadap kemelut Lampard walaupun pada hakikatnya Benitez tampak percaya dengan kebolehan dan kemampuan Lampard menerajui Chelsea.

Jika kontrak baru tidak ditawarkan, rasanya Lampard akan membawa diri berhijrah keluar dari England. Dengan pengalaman dan status yang dimilikinya, mungkin MU atau Man City sahaja yang sesuai buat Lampard jika beliau ingin kekal di England. Aksi di Amerika Syarikat ataupun menyertai Galatasaray bagi beraksi bersama dengan Drogba dilihat menjadi pilihan utama Lampard.

Liverpool dijangkakan mampu untuk menjadi pesaing kejuaraan BPL musim hadapan berdasarkan skuad yang kini telahpun dibarisi oleh beberapa pemain baru yang bagus. Pembelian Sturridge dilihat antara langkah bijak kerana ianya dapat meringankan beban Suarez yang seringkali menjadi individu tunggal dalam meledakkan gol buat Liverpool.

Selain itu, Coutinho juga dapat memberikan kreativiti kepada bahagian tengah Liverpool yang sepatutnya dihasilkan oleh Allen. Kehadiran semula Lucas turut memperkuatkan lagi jentera tengah Liverpool serta memberikan lesen kepada Gerrard untuk bergerak lebih ke hadapan. Tetapi, Liverpool juga memerlukan pemain pertahanan yang mantap dan konsisten sepertimana Arsenal.

Rodgers dilihat mampu memulihkan semula reputasi Liverpool tetapi beliau memerlukan masa lagi untuk membentuk pasukan mengikut acuannya. Walaupun saingan BPL hanya tidak beberapa bulan sahaja lagi untuk tamat, kebanyakan pemain Liverpool tidak beraksi sepertimana yang dikehendaki oleh Rodgers yang sememangnya menggemari 'possession football' yakni memerlukan pemainnya mempunyai majoriti penguasaan bola menerusi hantaran-hantaran bawah yang kemas. Ketika ini, Liverpool masih lagi suka melakukan hantaran-hantaran jauh sepertimana ketika di bawah kendalian Houlier walaupun tidak sekerap dahulu.

Ketika ini, MU berpeluang cerah untuk merampas kembali kejuaraan BPL dari Man City manakala tempat kedua dan ketiga bakal menjadi milik antara Man City dan Chelsea. Namun begitu, perebutan satu slot terakhir ke saingan UCL musim hadapan masih lagi melibatkan empat atau lima pasukan. Yang pastinya, kelebihan di atas kertas tidak semestinya sama dengan 90 minit aksi di atas padang yang kadang-kala memberikan keputusan yang amat mengejutkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan