Isnin, 4 Februari 2013

Review: MU vs Fulham (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
Rooney 79'

FULHAM 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Chicharito >> Valencia
Giggs >> Cleverley
Welbeck >> Nani


Ulasan perlawanan:

Sepertimana yang telah dijangkakan, MU terpaksa bekerja dengan keras untuk mengatasi cabaran Fulham sebelum membawa pulang tiga mata penuh dari Craven Cottage. Rooney menjadi wira MU dengan meledakkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 11 minit untuk ditamatkan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka sekaligus menjadikan perlawanan menarik. Ini adalah kerana MU dan Fulham menunjukkan permainan pantas dan boleh dikatakan saling bertukar serangan. Walaubagaimanapun, tiada sebarang gol berjaya dijaringkan gol oleh kedua-dua pasukan.

Momentum permainan pantas dan menarik itu akhirnya terjejas gara-gara bekalan elektrik yang terputus ketika separuh masa pertama menuju waktu penamat. Perlawanan terpaksa dihentikan buat sementara waktu dan apabila lampu limpah stadium kembali bernyala, MU dan Fulham menyambung untuk beraksi dalam tempoh tidak sampai tiga minit sebelum pengadil perlawanan menamatkan separuh masa pertama.

MU boleh dikatakan menguasai permainan tetapi Fulham tampak lebih berbahaya ketika melakukan serangan. MU dan Fulham sekurang-kurangnya perlu menghamburkan pujian kepada penjaga gol masing-masing yang menampilkan kecekapan bagi memastikan pintu gol mereka tidak bocor.

Walaupun tanpa kelibat Berbatov yang tersisih akibat kecederaan, Fulham beraksi dengan begitu baik. Bryan Ruiz bijak memainkan peranan dalam menjana serangan Fulham selain mampu mengimbangi permainan Carrick dan Cleverley. Prestasi Carrick tidaklah terlalu memberangsangkan manakala Cleverley pula gagal menunjukkan persembahan yang bagus sekalipun banyak melakukan larian ke serata ceruk padang.

RVP dirantai dengan begitu kemas oleh pertahanan Fulham. Ini sekaligus menghadkan pergerakan RVP selain beberapa kali gagal menahan kemas bola hantaran daripada rakan-rakan. Namun begitu, walaupun tidak memberikan sumbangan dari segi gol kepada MU, RVP berjaya membantu MU untuk mencatatkan kemenangan apabila menanduk keluar bola di atas garisan gol MU bagi menidakkan gol buat Fulham.

Persembahan Valencia masih lagi di bawah tahap sepatutnya. Tidak banyak gerakan MU yang dilakukan di sebelah Valencia berbanding Nani yang menunjukkan persembahan yang baik di sebelah kiri. Nani dilihat berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Fulham menerusi gelecekannya tetapi agak kurang berkesan ketika membuat hantaran silang.

Ketiadaan Vidic di bahagian pertahanan MU tidak begitu dirasai memandangkan Ferdinand dan Evans menonjolkan permainan yang cukup bagus. Walaupun ditekan oleh Fulham, Ferdinand dan Evans kental bertahan dan bijak membuat pintasan. DDG juga boleh diberikan pujian kerana menunjukkan keyakinan dan refleks yang bagus dalam menafikan beberapa percubaan merbahaya Fulham.

Dengan Man City hanya mampu seri 2-2 dengan Liverpool, ianya merupakan begitu gembira buat MU di mana perbezaan mata MU dengan Man City kini menjadi sembilan. MU perlu meneruskan rentak kemenangan bagi memastikan baki 13 perlawanan BPL tidak memberikan ruang kepada Man City untuk merapatkan kedudukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan