Keputusan perlawanan:
KEDAH 1
Faizal 12'
PERLIS 2
Faizal 29'
Arman (o.g.) 74'
Kesebelasan utama Kedah:
Pertukaran pemain:
Santos >> Nelson
Sabree >> Fiqkry
Syamim >> Faizal
Ulasan perlawanan:
Walaupun pada hakikatnya Perlis hanya beraksi dengan 10 orang pemain sahaja sepanjang separuh masa kedua, namun Kedah pula dirasakan kekurangan pemain akibat persembahan yang begitu longgar. Ianya menjadi semakin parah apabila Arman menjaringkan gol sendiri bagi membolehkan Perlis mencatatkan kemenangan.
Sebelum menentang Kedah, Perlis boleh dianggap sebagai pasukan yang lemah kerana sejak liga bermula, Perlis menjadi satu-satunya pasukan yang gagal mengecapi kemenangan. Tetapi, ketika beraksi di SDA, Perlis seolah-olah memperoleh semangat baru dan berjaya menampilkan persembahan yang cukup disiplin dan kemas.
Persembahan baik tersebut ternyata menyebabkan Kedah berputih mata di halaman sendiri. Kedah kelihatan buntu dalam memecahkan benteng pertahanan Perlis walaupun memiliki sebahagian besar penguasaan bola. Kegagalan untuk menyempurnakan beberapa peluang terhidang turut menjadi punca kekalahan Kedah di tangan Perlis.
Kedah membuka jaringan gol pada minit ke-12 menerusi rembatan cantik Faizal yang menerima umpanan menarik daripada Akmal. Akmal dilihat bijak memainkan peranan dalam menghubungkan bahagian tengah dan serangan Kedah apabila kerap menjadi penggerak serangan Kedah. Walaubagaimanapun, akibat kurangnya sokongan daripada bahagian tengah terutamanya bahagian sayap, Faizal keseorangan di atas.
Baddrol dan Syazuan tampak tidak begitu berkesan di bahagian sayap kerana bukan sahaja gagal melepasi kawalan pertahanan Perlis, malah tidak banyak melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti lawan. Ini sekaligus menyebabkan Kedah lebih banyak membuat serangan menerusi bola lorongan dari kawasan tengah.
Kegagalan Kedah mengeluarkan bola dari situasi kelam kabut membolehkan Perlis menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-29 menerusi lambungan cantik Faizal yang melepasi jangkauan Hadi. Sejurus Perlis mendapatkan gol penyamaan, Kedah cuba untuk mempertingkatkan lagi asakan ke arah pintu gol Perlis, namun usaha tersebut tidak memberikan hasil.
Pertahanan Perlis menerima layangan kad merah selepas menjatuhkan Faizal dalam situasi orang terakhir. Peminat Hijau Kuning pada ketika itu merasakan Kedah mampu untuk mencatatkan kemenangan memandangkan Perlis kekurangan seorang pemain dalam aksi separuh masa kedua.
Namun begitu, jangkaan tersebut meleset apabila permainan Kedah lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang. Kemasukan Santos yang menggantikan Nelson tidak memberikan kesan langsung. Ketiadaan Khyril di bahagian serangan benar-benar dirasai oleh Kedah.
Menerusi sepakan percuma, Perlis memperoleh gol kemenangan selepas Arman menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-74. Kedah cuba untuk bangkit bagi memburu gol penyamaan tetapi Perlis terus kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan