Selasa, 25 September 2012

Sembang bola BPL di pagi yang sejuk


Pada mulanya, seperti kebiasaannya, aku akan membuat kompilasi berita berkenaan MU pada setiap minggu. Namun, oleh kerana ketiadaan berita yang menarik, jadi adalah lebih baik aku memberikan ulasan atau rangkuman umum bola sepak, tanpa mengira kelab.

Aku merasakan Arsenal telah melakukan pembelian yang amat bagus apabila mereka mendapatkan Cazorla dari Malaga. Ketika Arsenal bertemu dengan Man City, Cazorla mengemudi barisan tengah Arsenal dengan cukup berkesan. Aku cukup kagum apabila melihat Cazorla mampu untuk membuka permainan dari jarak jauh sama ada menggunakan kaki kanan atau kiri.

Cazorla memberikan dimensi baru dalam corak permainan Arsenal

Kehadiran Cazorla membolehkan Arsenal bermain dengan corak yang pelbagai berbanding sebelumnya iaitu lebih terarah kepada hantaran bawah dan pendek. Cazorla bijak menjadi penghubung antara barisan bawah dan atas. Selain Cazorla, Arteta juga turut menunjukkan impak yang bagus. Berbanding Song yang dilihat terlalu ghairah untuk naik ke atas, Arteta memainkan peranannya dengan baik melindungi barisan pertahanan Arsenal di samping membantu Cazorla membuka permainan Arsenal.

Setakat ini, Cazorla dan Arteta beraksi sebagai 'three man midfield' dengan Ramsey diletakkan sedikit ke hadapan. Ramsey boleh dikatakan bagus memberikan sokongan kepada serangan menerusi larian pantasnya. Namun, kehadiran semula Wilshere mungkin menyebabkan Ramsey tidak dapat diturunkan.

Di bawah AVB, Defoe seolah-olah telah berubah dengan menjadi penyerang yang cukup berbisa buat Spurs musim ini. Walaupun bertubuh kecil, Defoe mampu untuk menjadi 'targetman' dengan bijak mengawal bola bagi menunggu bantuan rakan dan menggelecek pemain lawan. Defoe ternyata menggunakan peluang yang diberikan musim ini dengan cukup cemerlang sekaligus menyebabkan Adebayor hanya memanaskan bangku simpanan.

Prestasi yang cukup cemerlang oleh Defoe setakat ini

Spurs juga boleh dikatakan melakukan pembelian yang baik dengan mendapatkan Vertonghen. Pemain pertahanan serbaboleh ini tampak begitu berkesan dalam perlawanan Spurs dengan QPR baru-baru ini. Larian pantasnya kerap membantu Spurs ketika menyerang. Kehadiran Vertonghen ke Spurs akan membolehkan Bale dieksploitasikan di bahagian serangan.

Walaupun Chelsea telah berbelanja besar pada musim ini untuk mendapatkan beberapa pemain, namun aku merasakan Mata masih lagi menjadi nadi utama Chelsea. Hazard yang sebelum ini cemerlang dalam dua perlawanan terdahulu agak tenggelam kebelakangan ini. Mata bermain secara mudah dengan melakukan 'tapping' dan hantaran pantas berbanding Hazard, Oscar atau Moses yang lebih gemar untuk menggelecek pemain lawan sambil melarikan bola.

Kapten Chelsea, Terry telah mengumumkan persaraannya dari arena antarabangsa selepas kecewa dengan tindakan FA untuk membicarakan dirinya berkenaan kesnya dengan Anton Ferdinand. Pada aku, Terry sepatutnya lama disingkirkan dari skuad England kerana tidak menunjukkan contoh yang sepatutnya selaku kapten pasukan di luar padang walaupun dalam padang, Terry boleh dikatakan bagus. 

 Terlalu banyak insiden dan kotroversi melibatkan Terry

England masih lagi mempunyai beberapa pemain pertahanan yang baik bagi mengisi kekosongan Terry. Yang pasti, Rio Ferdinand berkemungkinan besar akan dipanggil beraksi walaupun sebelum ini Hogdson tampak mengetepikan dirinya tanpa sebarang sebab yang kukuh. 

Liverpool pula menghadapi nasib yang agak buruk apabila gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan BPL setakat ini. Rodgers dilihat cuba untuk menerapkan corak permainannya ke dalam Liverpool namun hanya barisan pertahanan tengah dan pertahanan sahaja yang mampu untuk menggunapakainya. Barisan serangan Liverpool masih gagal untuk menterjemahkan corak permainan Rodgers, tambahan pula Liverpool tidak mempunyai pilihan yang banyak di bahagian serangan.

Banyak lagi yang boleh diulaskan terutamanya tentang beberapa kelab lain seperti WBA, Everton dan sebagainya. Namun, jika diulaskan kesemuanya, entry ini akan terlalu panjang seterusnya akan menjadi bosan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan