Khamis, 6 September 2012

Berita menarik sepanjang minggu ini


Banyak berita menarik berkenaan bola sepak eropah yang disiarkan sepanjang minggu ini. Entry kali ini, aku himpunkan semuanya termasuk berita melibatkan MU.

Pemain ternama dunia, Cristiano Ronaldo (CR) telah menimbulkan berita hangat apabila mengatakan bahawa dirinya ketika ini tidak berasa gembira di Real Madrid. Ekpresi CR tentang ketidakgembiraannya ditunjukkan dengan tidak meraikan dua jaringannya ketika Real Madrid mengalahkan Getafe baru-baru ini. Tindakan CR ini telah menyebabkan timbulnya beberapa spekulasi seperti CR sedang cuba mencari jalan untuk menekan Real Madrid bagi menawarkan kontrak baru untuk dirinya dan khabar angin mengatakan CR ingin berhijrah keluar dari Real Madrid. Man City juga diberitakan bersedia untuk membeli CR dengan harga 95 juta pound. Namun, CR menyatakan bahawa beliau tidak akan menyertai Man City selagi SAF menjadi pengurus MU.


Liverpool gagal untuk mendapatkan khidmat lagenda bola sepak Itali, Alessandro Del Piero selepas pemain berusia 38 tahun itu memilih untuk beraksi di Australia. Liverpool amat memerlukan penyerang tambahan bagi meringankan beban Suarez bagi memburu gol selepas gagal mendapatkan khidmat Dempsey dan Owen. Borini yang dibeli pada musim panas ini masih gagal memberikan impak sepertimana yang dikehendaki sekaligus menyebabkan Liverpool agak tumpul di bahagian serangan.

MU akhirnya melengkapkan perpindahan pemain baru kelima apabila pemain muda Chile, Angelo Henriquez diberikan permit dan menandatangani kontrak untuk bersama MU. Pemain yang baru berusia 18 tahun ini telah dipantau sejak empat tahun lalu dan dikatakan memiliki potensi dan bakat yang cukup baik untuk menyertai MU. Henriquez akan menjalani latihan bersama skuad utama tetapi peluangnya untuk beraksi lebih kepada skuad simpanan MU.

Manusia terpantas dunia, Usain Bolt yang diketahui sebagai peminat MU berkemungkinan besar akan diberikan peluang untuk beraksi bersama MU pada tahun hadapan. Menurut SAF, Bolt akan membuat penampilan khas buat MU apabila MU dijangkakan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Real Madrid. Bolt sebelum ini dikatakan bersedia untuk mengundurkan diri dari dunia olahraga jika MU berani untuk memberikannya peluang menjadi salah seorang pemain MU.

Juara Rusia, Zenit St. Petersburg (ZSP) telah membelanjakan sekitar 80 juta euro untuk mendapatkan pemain penyerang Porto, Hulk dan pemain tengah Benfica, Alex Witsel. Dengan kemasukan dua pemain itu, ZSP menamatkan spekulasi tentang pembelian pemain sayap MU, Nani.

Leftback Chelsea, Cole dikatakan tidak berpuas hati dengan penawaran kontrak baru yang tempoh penambahannya hanya setahun. Kontrak asal Cole akan tamat pada musim panas tahun depan hanya menerima tawaran kontrak baru selama setahun sahaja. Jika tiada sebarang persetujuan, Cole boleh menyertai kelab lain secara percuma pada bulan Januari nanti dengan membeli baki bulan kontraknya. 

Malouda dan Kolo Toure antara nama besar yang tidak dapat beraksi dalam UCL musim ini. Kedua-dua mereka diketepikan oleh Chelsea dan Man City dari memasuki senarai pemain yang dibenarkan untuk beraksi. Malouda dikatakan disisihkan dari skuad utama dan menjalani latihan bersama skuad simpanan Chelsea tatkala menerima sekitar 80 ribu pound seminggu. Kegagalan Kolo Toure untuk berpindah ke Galatasaray menyebabkan dirinya semakin sukar mendapatkan tempat dalam skuad utama Man City.

England telah menandatangani kontrak bersama Nike selama lima tahun untuk menjadi pembekal jersi. Kerjasama baru ini telah menamatkan khidmat Umbro yang telah membekalkan jersi kepada England sejak dari tahun 1950an. Jersi baru England berkemungkinan besar akan dipaparkan buat tatapan umum sempena menjelang ulang tahun ke150 penubuhan FA England.

Penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao kini menjadi sasaran beberapa kelab besar eropah yang ingin mendapatkan khidmatnya. Falcao mencuri tumpuan dunia apabila meledakkan hatrik ketika kelabnya, Atletico Madrid menumpaskan Chelsea dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan merebut Euro Super Cup. Seperti biasa, Man City yang mempunyai sumber kewangan yang tidak terhad menyatakan kesediaan mereka untuk membayar lebih dari 45 juta pound kepada Atletico Madrid bagi mendapatkan Falcao. Falcao juga dikatakan sedang berunding dengan Atletico Madrid bagi membolehkan dirinya berhijrah pada bulan Januari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan