Jumaat, 14 September 2012

Masihkah ada harapan?


Malam ini menyaksikan Kedah akan bertarung dengan ATM dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Kedah masih lagi mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir, tetapi peluang tersebut boleh dikatakan amat kecil kerana Kedah  mesti mengalahkan ATM di halaman lawan selain mengharapkan keputusan Terengganu menewaskan Kelantan. Bukan itu sahaja, Kedah juga memerlukan bilangan gol yang agak banyak bagi mengatasi Kelantan yang mempunyai perbezaan gol yang banyak berbanding Kedah.

Kedah seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal untuk menumpaskan Kelantan dalam perlawanan terdahulu. Peluang banyak yang dihasilkan sepatutnya dapat memberikan gol yang dicari-cari oleh Kedah bagi menumbangkan Kelantan di SDA.

Di bawah kendalian jurulatih baru, Kedah diakui menampakkan perubahan dari segi corak permainan. Bukan sahaja menarik, malah para pemain Kedah juga dilihat selesa dengan corak permainan sebegitu. Jika Kedah mampu untuk mengulangi persembahan yang telah ditunjukkan ketika bertemu Kelantan, ATM yang diberikan gelaran 'Man City Malaysia' boleh ditumbangkan.

Selaku salah seorang peminat skuad Hijau Kuning ini, aku berharap sangat agar Kedah mampu untuk melakukan sesuatu yang magis bagi memastikan langkah dalam saingan Piala Malaysia ini dapat diteruskan. Walaupun tampak berat, Kedah mempunyai 90 minit untuk memastikan peluang yang teramat kecil untuk menjadi besar.

PULUN KEDAH PULUN!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan