Isnin, 24 September 2012

Review: MU vs Liverpool (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Rafael 51'
van Persie 81'

LIVERPOOL 1
Gerrard 46'



Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

Steven Gerrard


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Scholes >> Nani
Chicharito >> Kagawa
Welbeck >> Rafael


Ulasan perlawanan:

Perlawanan antara MU dan Liverpool sentiasa menyajikan pelbagai insiden, dan ternyata pertembungan malam tadi memenuhi segala kriteria dan kehendak pertembungan dua pasukan yang cemerlang dalam sejarah bola sepak England. Kedua-dua pasukan terpanggil dengan peristiwa sedia Hillsborough memberikan penghormatan di mana Gerrard dan Giggs melepaskan 96 biji belon ke udara selain kehadiran bersama Sir Bobby Charlton di samping Ian Rush sebelum sepak mula.

SAF melakukan kejutan apabila tidak menyenaraikan Vidic dalam kesebelasan utama dan memberikan Evans beraksi di pertahanan tengah dengan Ferdinand. Lindegaard diberikan kepercayaan menjaga gawang MU memandangkan DDG mengalami kesukaran di Anfield pada musim lepas. Oleh kerana ketiadaan Young yang masih lagi cedera, Nani turut diberikan peluang untuk beraksi di sayap kiri. Giggs yang tidak beraksi dalam perlawanan UCL baru-baru ini diturunkan di samping Carrick untuk mengemudi barisan tengah MU. Posisi selebihnya diisikan oleh pemain 'regular'.

Permainan bermula dengan Liverpool terlebih dahulu menyinar dengan Suarez cuba mengancam gawang MU. MU ternyata tertekan dengan asakan Liverpool tetapi masih berjaya menafikan sebarang gol daripada dijaringkan. MU cuba untuk menyaingi Liverpool dengan menggerakkan permainan dari kawasan tengah tetapi kerap kehilangan bola dengan mudah. Persembahan Nani agak mengecewakan sepanjang berada di atas padang kerana dilihat bermain secara susah dengan kerap mencuba untuk menggelecek pemain Liverpool.

Tatkala separuh masa pertama hampir tamat dengan berbaki lima minit, perlawanan bertambah panas apabila berlakunya kontroversi di mana Shelvey dilayangkan kad merah selepas membuat terjahan dua kaki terhadap Evans. Shelvey yang sebelum itu tidak menerima sebarang hukuman daripada pengadil kad selepas mengasari Rafael. Mungkin sebab itu pengadil mengambil keputusan untuk mengarahkan Shelvey keluar padang yang kemudiannya memarahi SAF. Mujur insiden tersebut tidak menimbulkan ketegangan seterusnya.

Dengan separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0, MU membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Scholes bagi menggantikan Nani. Tindakan tersebut telah membolehkan barisan tengah MU kembali mencabar barisan tengah Liverpool. Namun, Liverpool sekali lagi memulakan aksi separuh masa dengan cemerlang. Hasilnya Gerrard meledakkan gol cantik buat Liverpool selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti MU gara-gara larian pantas Johnson.

MU cuba untuk memberikan jawapan balas terhadap gol Liverpool. Usaha MU berhasil apabila Rafael menyamakan kedudukan. Rafael yang bijak bertukar hantaran dengan Valencia dan Kagawa melepaskan rembatan kaki kirinya yang berjaya melepasi jangkauan Reina. Sejurus gol tersebut, Liverpool bangkit untuk memberikan persembahan yang lebih bertenaga walaupun beraksi dengan sepuluh pemain.

Lindegaard beberapa kali terpaksa merebahkan badan untuk menyelamatkan percubaan daripada Suarez dan Suso. Ferdinand dan Evans juga mantap dalam mematahkan serangan Liverpool yang digerakkan dengan begitu berkesan oleh Gerrard. Kagawa yang pertama kali beraksi dalam perlawanan besar di England dikeluarkan kerana agak tenggelam.

Valencia menjadi duri dalam daging buat Liverpool apabila lariannya dalam kotak penalti yang disekat menerusi terjahan keras menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada MU. Walaubagaimanapun, MU kelihatan gusar untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut memandangkan sebelum ini, tiga sepakan penalti dalam musim ini telah gagal menghasilkan gol buat MU. Mujur, RVP tenang untuk merembat deras bola menerjah jaring gol Liverpool walaupun Reina berjaya membuat agakan yang betul dan bola sedikit terkena tangannya.

Liverpool nyaris dapat menyamakan kedudukan apabila Kelly yang bijak mencari ruang dalam kotak penalti MU hampir menjaringkan gol menerusi tandukan tipis. Namun, tandukan Kelly sedikit tersasar. MU terus kental bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan bagi mencatatkan kemenangan yang cukup berharga di Anfield.

Kemenangan tersebut membolehkan MU terus mengekori Chelsea dengan perbezaan satu mata sementara Liverpool kini terperosok di kelompok tiga terbawah tanpa sebarang kemenangan. MU bernasib baik apabila memperoleh kemenangan walaupun bermain dengan tidak begitu baik berbanding Liverpool. Namun, apa yang positif adalam MU berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila mampu untuk bangkit dari ketinggalan bagi mendapatkan tiga mata penuh, persembahan yang sama sepertimana ditunjukkan ketika MU bertemu Fulham dan Southampton.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan