Khamis, 27 September 2012

Review: MU vs Newcastle United (Capital One Cup)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Anderson 44'
Cleverly 58'

NEWCASTLE UNITED 1
Cisse 62'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

Tom Cleverly


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Powell >> Rooney
Brady >> Buttnerr
Tunnicliffe >> Vermijl


Ulasan perlawanan:

Sepertimana yang telah dijangkakan, pada musim ini, SAF sekali lagi mempertaruhkan cabaran MU dalam saingan piala dengan menurunkan pemain-pemain muda dalam kesebelasan utama. Secara tidak langsung, pemain-pemain muda MU dapat diberikan pendedahan dalam pertandingan kompetitif selain menjadi platform yang baik buat pemain-pemain senior yang baru pulih dari kecederaan seperti Fletcher dan Rooney.

Pemain muda MU terutamanya di barisan pertahanan membalas kepercayaan yang diberikan oleh SAF dengan menunjukkan permainan yang baik. Walaupun MU menerima perkhabaran buruk tentang kecederaan Vidic yang akan menyisihkan dirinya selama dua bulan sebelum perlawanan berlangsung, berita tersebut tidak menjejaskan tumpuan dan perhatian para pemain MU dalam menumpaskan Newcastle United (NU) yang turut membariskan sebahagian pemain muda dalam kesebelasan utama.

Rooney yang dikatakan hanya akan diletakkan di bangku simpanan membuat kejutan apabila bermula dari kesebelasan utama. Walaupun telah lama berehat, Rooney tampak bijak memainkan peranannya selaku penghubung bahagian tengah dengan serangan. Banyak lorongan dan hantaran cantik berjaya dilakukan oleh Rooney yang kelihatan masih belum cergas sepenuhnya.

Selain Rooney, Fletcher yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan turut mencuri tumpuan. Permainan Fletcher begitu berkesan dalam melindungi barisan pertahanan MU yang muda selain mematahkan pergerakan barisan tengah NU. Fletcher benar-benar menjadi nadi penggerak MU bagi sebahagian besar serangan MU.

MU memperoleh gol pertama menerusi rembatan deras Anderson dari luar kotak penalti yang mengenai tiang gol NU sebelum menerjah jaring. Gol tersebut berpunca daripada kepandaian Anderson yang melepasi kawalan pemain NU yang kemudiannya melepaskan rembatan kaki kirinya. Gol tersebut membolehkan MU menarik nafas lega dengan mendahului NU 1-0 tatkala perlawanan berehat untuk separuh masa.

Sebaik sahaja bermulanya separuh masa kedua, MU terus mengancam pertahanan NU terutamanya menerusi gerakan dan hantaran Rooney. Kesediaan Rooney untuk menerima dan menghantar bola dari kawasan tengah membolehkan Cleverly kerap naik ke atas bagi membantu serangan. Hasilnya, Cleverly meledakkan gol kedua MU menerusi rembatan cantik melepasi penjaga gol NU.

Cleverly seolah-olah menebus kembali kesilapannya pada separuh masa pertama apabila beliau gagal menjaringkan gol walaupun berada dalam kedudukan yang baik. Sepanjang perlawanan berlangsung, Cleverly ternyata menunjukkan kerajinan yang amat baik dan usahanya itu memberikan hasil menerusi gol pertamanya dalam 19 penampilan buat MU.

Gol kedua MU seperti membangkitkan semangat NU untuk kembali memberikan cabaran kepada MU. Kemasukan pemain gantian iaitu Cisse dan Ferguson memberikan impak apabila kedua-dua mereka bergandingan untuk menghasilkan gol tunggal NU. Ferguson yang berjaya menggelecek pemain pertahanan MU membuat hantaran silang yang disambut baik oleh Cisse menerusi tandukannya untuk menjaringkan gol.

Gol NU tersebut sepatutnya boleh dinafikan sekiranya DDG memintas hantaran silang Ferguson sama ada melalui tumbukan atau tangkapan. Ini adalah kerana hantaran silang tersebut tidak terlalu tinggi dan berhampiran dengan dirinya. Namun, mungkin kurangnya komunikasi dengan pertahanan di hadapannya, DDG hanya mampu melihat bola melintasi di hadapannya sebelum dibolosi oleh gol tandukan Cisse.

MU cuba untuk menambahkan jaringan terutamanya menerusi Chicharito. Namun, rembatannya terkena palang gol walaupun penjaga gol NU sudahpun tertewas. Welbeck yang agak menonjol pada separuh masa pertama agak tenggelam pada separuh masa kedua. Pertahanan muda MU terus kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pemain-pemain muda MU telah membuktikan kemampuan masing-masing dalam perlawanan menentang NU tetapi yang memberikan khabar yang cukup gembira adalah kehadiran semula Rooney dan Fletcher. Kemenangan awal pagi tadi melayakkan MU ke pusingan keempat (round of 16) di mana MU telah diundi untuk bertemu dengan Chelsea.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan