Khamis, 9 Februari 2012

Pulun KEDAH Pulun!!!!


Selepas melalui enam perlawanan Liga Super musim ini, akhirnya Kedah berjaya juga untuk mengecapi kemenangan pertama malam tadi. Kemenangan tersebut diperoleh apabila Kedah menumpaskan pasukan di tangga terbawah liga iaitu Kuala Lumpur dengan keputusan 1-0. Gol kemenangan Kedah telah disumbangkan oleh Kyril Muhymeen pada minit ke8 di mana perlawanan tersebut telah berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka iaitu halaman sendiri buat Kuala Lumpur.


Sepertiman yang telah aku katakan sebelum ini, banyak faktor yang mempengaruhi persembahan buruk Kedah dalam lima perlawanan terdahulu. Salah satunya adalah jurulatih. Kedah menghadapi kesukaran untuk melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi perlawanan sebelum ini kerana pemain terpaksa menuruti taktikal dan strategi jurulatih sementara, Mohd Nidzam Adha.

Pada pendapat aku, pemain Kedah dilihat amat selesa dengan corak permainan yang diterapkan oleh Wan Jamak Hassan. Dengan membuat hantaran mudah dan penguasaan bahagian tengah menjadi pilihan Wan Jamak. Namun, Kedah bernasib malang apabila Wan Jamak terpaksa menjalani pergantungan sebanyak tujuh perlawanan mengakibatkan Kedah agak kelam kabut dalam menyusun permainan. Nidzam Adha yang merupakan salah seorang wira Kedah suatu ketika dulu gagal mencorak permainan Kedah agar lebih tersusun. Taktikal dan strategi yang digunakan serta pemilihan pemain turut dipersoalkan oleh para peminat Kedah kerana kelihatan agak janggal.

Perlawanan malam tadi menyaksikan kehadiran semula Haji Radhi Mat Din membimbing pasukan Kedah selepas Nidzam Adha melepaskan tanggungjawabnya baru-baru ini. Ternyata Radhi mampu merubah permainan Kedah seterusnya berjaya memperoleh tiga mata penuh dari halaman lawan. Yang pasti, Kedah dan para peminatnya tidak sabar untuk menyambut kepulangan semula Wan Jamak yang tampak bijak mengatur strategi dan corak permainan yang lebih tersusun.

Selain itu, kem Kedah turut menerima khabar gembira apabila seorang pemain import baru akan diserapkan bagi menggantikan pemain import lama iaitu Danilo yang berasal dari Brazil. Kedah dikatakan berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Safi terutamanya apabila ketika ini Kedah amat memerlukan kreativiti di bahagian tengah. Safi kelihatan menonjol dengan aksi-aksi kemas semasa beraksi di bahagian tengah Kedah dalam beberapa siri perlawanan persahabatan.

Safi bakal bergandingan dengan pemain import Kedah yang menyarung jersi hijau kuning di awal musim iaitu Baroni di bahagian tengah. Dengan adanya kedua-dua awang import ini, Kedah dijangkakan akan melakukan kebangkitan tatkala mencatatkan kemenangan sulung yang cukup bermakna.

PULUN KEDAH PULUN!!!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan