Isnin, 19 Disember 2011

Review: MU vs Queens Park Rangers

Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Wayne Rooney 1'
Michael Carrick 56'

Queens Park Rangers 0


Ulasan perlawanan:

Walaupun berada di takhta BPL hanya seketika, sekurang2nya membuktikan bahawa MU masih mampu untuk memberikan cabaran kepada jiran setempat, Man City dalam memburu kejuaraan BPL. Kemenangan ke atas Queens Park Rangers (QPR) merupakan kemenangan ketiga berturut2 yang berjaya dicatatkan oleh MU selepas tersingkir dari aksi UCL musim ini.

SAF mengambil keputusan untuk mengekalkan kesebelasan yang serupa pada minggu lepas untuk kunjungan ke QPR. ternyata keputusan tersebut memberikan impak seawal minit pertama apabila Rooney melayangkan badan untuk menanduk masuk bola hasil hantaran silang valencia untuk menjaringkan gol pertama MU. Sejurus gol pertama diperoleh, MU tampak bernafsu untuk menambahkan jaringan. Namun, kecekapan penjaga gol dan keutuhan benteng pertahanan QPR menafikan hasrat MU. Separuh masa pertama menyaksikan gawang MU langsung tidak terancam manakala banyak peluang yang dicipta gagal disempurnakan oleh bahagian serangan MU. Jadi, MU melangkahkan kaki ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama dengan keputusan 1-0.

MU memperkemaskan corak permainan di separuh masa kedua. Namun, QPR sekali sekala cuba mengancam gawang MU. Mujur, barisan serangan QPR juga boleh dikatakan tidak mempunyai nasib yang baik sepertimana yang dialami oleh MU. Ini adalah kerana MU mempunyai sekurang2nya tiga percubaan yang boleh menghasilkan gol di mana antaranya, tandukan Evans yang menyinggah palang gol QPR, percubaan Jones ketika situasi satu lawan satu ditidakkan oleh kecekapan penjaga gol QPR dan rembatan jarak jauh Jones yang hanya menggegarkan tiang gol QPR. 

Gandingan Carrick dan Jones di bahagian tengah MU dilihat agak mantap. Mereka berdua mampu untuk mengekang pergerakan bahagian tengah QPR di samping berfungsi untuk melancarkan permainan MU. Carrick terutamanya telah menjadi jeneral tengah yang bagus dan hasil usaha gigihnya sepanjang perlawanan, Carrick berjaya menjaringkan gol kedua buat MU. Carrick yang bijak memintas hantaran pemain QPR dan terus membuat larian solo sebelum merembat masuk bola ke dalam gol. Gol Carrick tersebut merupakan gol pertama dalam 70 perlawanan yang disertai oleh Carrick dan sememangnya diraikan dengan penuh kegembiraan di kalangan pemain MU. Jones pula begitu mantap dalam membuat larian ke hadapan bagi membantu serangan. Pada pendapat aku, sekiranya Jones berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan malam tadi, tidak mustahil Jones akan ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Boleh dikatakan, barisan pertahanan MU tidak menghadapi masalah dengan ancaman yang diberikan oleh QPR. DDG tampak tenang mengawasi gawang gol MU manakala Evans dan Ferdinand bijak mematahkan serangan QPR. Smalling juga cemerlang di rightback kerana bukan sahaja efektif ketika bertahan malah memberikan sokongan yang baik kepada Valencia. Namun, aku sedikit gusar dengan persembahan Evra yang dilihat kelam kabut ketika berhadapan dengan pemain sayap QPR. Evra ternyata gagal menyaingi pemain sayap yang memiliki larian pantas.

Sepertimana yang aku katakan sebelum ini, kembalinya prestasi asal Valencia akan membolehkan Rooney menjaringkan gol. Kini Valencia kembali menunjukkan persembahan yang bagus sebagai pemain sayap. Lariannya kerap mengucar-kacirkan pertahanan QPR. Nani turut memberikan aksi yang bagus. Tetapi kekerapan Nani untuk bergerak lebih ke tengah menyebabkan bahagian kiri menjadi kosong dan terpaksa diisikan oleh Welbeck. Akibatnya, MU tidak mempunyai sasaran di hadapan ketika melancarkan serangan balas yang pantas. 

Rooney seolah2 merealisasikan hasrat SAF untuk melihat dirinya menjaringkan gol secara lebih kerap apabila menyumbangkan gol di awal babak pertama. Setakat ini, Rooney telah menjaringkan 16 gol buat MU dalam semua pertandingan. Jika Rooney memperoleh bantuan dan sokongan yang ditunjukkan oleh bahagian tengah dalam perlawanan malam tadi, Rooney mampu untuk mendapatkan 20 gol tidak lama lagi. Kehadiran Welbeck juga memberikan kesan terhadap kecemerlangan Rooney kerana Welbeck merupakan seorang pemain yang rajin dan bersedia untuk bergerak ke mana2. Ini membolehkan Rooney mampu merencanakan serangan MU selain boleh bertindak dalam kawasan penalti lawan.

Secara keseluruhannya, MU dilihat memberikan persembahan yang secukupnya sahaja bagi mencatatkan kemenangan ke atas QPR. Ini adalah kerana MU tidak boleh beraksi secara bersungguh2 memandangkan MU mempunyai perlawanan BPL lagi pada pertengahan minggu ini. Jadi, tenaga dan kesungguhan para pemain MU perlu digunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan MU mampu bermain dengan efisyen untuk memperoleh kemenangan selain mengelakkan pemain2 mengalami kecederaan tatkala MU dihantui masalah kecederaan yang agak kritikal ketika ini.


Pemain terbaik perlawanan:

Wayne Rooney


Gambar perlawanan:

 Gol pertama MU dijaringkan oleh Rooney

 Ferdinand dilayangkan kad kuning akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil terhadap bentesan yang diterima oleh Rooney

 Penjaga gol QPR, Radek Cerny menepis bola rembatan Valencia

Carrick menjaringkan gol kedua MU menerusi gerakan solo yang menarik


Tiada ulasan:

Catat Ulasan