Selasa, 30 Oktober 2012

Review: MU vs Chelsea (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 3
Luiz 4' (g.s)
van Persie 12'
Chicharito75'

CHELSEA 2
Mata 44'
Ramirez 53'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

ROBIN VAN PERSIE


Kesebelasan utama:


Pemain gantian:

Chicharito >> Cleverly
Giggs >> Rooney


Ulasan perlawanan:

Akhirnya badi selama 10 tahun tanpa sebarang kemenangan di Stamford Bridge telah berjaya dihapuskan oleh MU apabila mengutip mata penuh dengan mengalahkan Chelsea 3-2 dalam satu perlawanan yang penuh kontroversi.

MU bermula garang sebaik sahaja perlawanan bermula dengan melancarkan serangan dengan hantaran yang kemas. Tatkala Chelsea masih tercari-cari rentak untuk bermain, MU terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila Rooney yang bijak mencari ruang kosong dari sebelah kanan, menerima hantaran Young sebelum melintangkan bola kepada RVP. RVP yang tidak dikawal merembat bola tersebut namun terkena tiang gol yang kemudiannya melantun ke dalam pintu gol Chelsea apabila terkena Luiz.

Gol tersebut telah menyentap perhatian pemain Chelsea sekaligus memberikan peluang kepada MU untuk terus melancarkan serangan. MU berjaya menambahkan jaringan apabila sekali lagi serangan dari sebelah kanan membuahkan hasil. Sepertimana Rooney, Valencia turut bijak mencari ruang kosong di sebelah kanan lalu melarikan bola sebelum membuat hantaran lintang yang leret. Hantaran tersebut berjaya disambut oleh RVP di mana rembatan derasnya gagal diselamatkan oleh Cech.

Dalam masa tidak sampai 15 minit, MU berjaya mendahului Chelsea dengan 2-0. Ianya merupakan sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini, MU kerap ketinggalan selepas pihak lawan menjaringkan gol terlebih dahulu.

Chelsea menunjukkan kebangkitan apabila separuh masa pertama berbaki 10 minit. MU jelas tertekan dengan kebangkitan Chelsea. Walaupun kental bertahan, MU tetap melakukan kesilapan yang mengundang padah tetapi mujur ketangkasan DDG menidakkan Chelsea untuk membolosi gawang gol MU.

Hasil usaha gigih yang ditunjukkan oleh Chelsea di samping kesilapan Rooney membuat bentesan yang memberikan sepakan percuma membolehkan Chelsea mendapatkan gol pertama. Kesemua pemain MU boleh dikatakan berada dalam kotak penalti sendiri bagi menghadapi sepakan percuma Mata. Mata yang memiliki kaki kiri yang menakjubkan berjaya mengambil sepakan percuma dan menjaringkan gol buat Chelsea.

Chelsea pula bermula dengan baik pada separuh masa kedua berbanding MU. MU cuba untuk mengimbangi bahagian tengah Chelsea yang benar-benar mantap. Sedikit kealpaan di barisan pertahanan MU membolehkan Chelsea mendapatkan gol penyamaan menerusi Ramirez. Mata sekali lagi menjadi duri dalam daging buat MU apabila gol Ramirez berpunca daripada lariannya yang gagal dikekang kemas oleh Evans.

Selepas memperoleh gol penyamaan, Chelsea terus berusaha untuk merobek pertahanan MU. MU memperkemaskan permainan dan beberapa kali cuba melancarkan serangan balas. RVP yang mengawal bola dengan berkesan berjaya membuat lorongan cantik kepada Young. Berada dalam keadaan yang boleh menjaringkan gol, larian Young telah dijatuhkan oleh Ivanovic. Pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada Ivanovic.

Selepas Ivanovic meninggalkan padang, SAF membuat pertukaran dengan memasukkan Chicharito bagi menggantikan Cleverly yang tampak keletihan. Walaubagaimanapun, Chelsea masih mampu beraksi dengan baik walaupun dengan hanya 10 pemain sahaja.

Situasi Chelsea bertambah buruk apabila Torres menerima layangan kad kuning kedua dan diarahkan keluar padang selepas membuat simulasi jatuh. Keputusan ini mengundang kontroversi dan kemarahan peminat Chelsea. Torres seharusnya bola diarahkan keluar padang lebih awal iaitu pada separuh masa pertama apabila membuat terjahan keras ke atas Cleverly namun tidak dikenakan sebarang hukuman.

Kekurangan dua pemain sememangnya menjejaskan permainan Chelsea. MU bijak mengambil peluang dan berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi Chicharito. Gol tersebut merupakan gol 'offside' tetapi gagal dikesan oleh penjaga garisan. Ternyata nasib MU di Stamford Bridge untuk perlawanan ini adalah baik.

Sejurus memperoleh gol ketiga, MU memperlahankan rentak permainan. Chelsea cuba untuk melancarkan serangan bagi sekurang-kurang mendapatkan satu mata. Sebaik sahaj wisel penamat dibunyikan, wajah ceria pemain MU jelas menampakkan kegembiraan kerana bukan sahaja berjaya menyebabkan Chelsea tumpas buat kali pertama dalam BPL musim ini, malah mengurangkan perbezaan mata menjadi satu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan