Rabu, 3 Oktober 2012

Apa cerita Kedah lani


Perkembangan terbaru Kedah selepas tamatnya pertarungan untuk musim ini. Aku juga akan cuba berikan sedikit ulasan dan pendapat terhadap persediaan Kedah menghadapi saingan Liga Perdana pada musim hadapan.

Sepertimana yang diketahui, Kedah telah tersingkir dari Liga Super untuk beraksi dalam Liga Perdana pada musim  hadapan. Kedah tewas kepada Pahang menerusi sepakan penalti dalam perlawanan penentuan satu slot ke Liga Super. Namun, mungkin akan ada kejutan yang tidak disangka-sangka memandangkan dikhabarkan pasukan T-Team berkemungkinan besar akan dirombak.

Ini sekaligus memungkinkan Kedah untuk beraksi di Liga Super bagi mengisi slot antara 12 pasukan bertanding. Terengganu dikatakan hanya berminat untuk menyediakan satu pasukan negeri sahaja dan bukannya dua pasukan sepertimana yang ada ketika ini. Oleh kerana kos pengurusan sebuah pasukan bola sepak amat tinggi yang ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu, mereka tidak mampu untuk mengendalikan dua pasukan secara serentak. Maka, tindakan terbaik adalah hanya menguruskan dan membelanjakan untuk satu pasukan sahaja.

Namun, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan. Kedah seharusnya menerima segala keputusan dengan terbuka dan mesti melakukan persediaan mental dan fizikal walaupun hanya beraksi dalam Liga Perdana pada musim hadapan.

Berbalik kepada skuad Hijau Kuning, aku merasakan Kedah perlu membuat sedikit perubahan dengan mengetepikan beberapa pemain yang dirasakan tidak memberikan sumbangan terhadap pasukan. Ini adalah termasuk dua pemain import iaitu Gerc dan Safi memandangkan kedua-dua mereka boleh aku katakan tidak mencapai standard yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang pemain import.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj5Ouq-LKONDlLN0x4N659lVBchfo-MYHhXMWgJ0kDIXC0Lv07oqSRPMr5UNDsAw4NPLWyOnU0Ou3K63itMl7WHvVG7_cZXVRsKWU1fux9TRCpm6VUYXF3IOjuDgTwy8U7PBUeRzgGT3Tg/s1600/Vedran+Gerc.jpg 
 Gerc tidak lagi bersama Kedah untuk musim hadapan

Selaku pemain import, Gerc seharusnya memiliki tubuh badan yang tegap yang mana pasti sukar untuk ditandingi secara fizikal. Tetapi, walaupun berhadapan dengan pemain Malaysia yang rata-ratanya bertubuh kecil, Gerc kerap rebah apabila diasak. Ini boleh dikatakan sebagai 'lembik'. Pemain yang mungkin sesuai sekali beraksi di Malaysia adalah berkulit hitam kerana sepanjang aku mengikuti arena bola sepak tempatan, pemain berkulit hitam lebih menyinar, tanpa mengira posisi.

Kedah pasti menggigit jari apabila Marlon yang dikatakan berminat untuk menyertai Kedah pada musim ini telah diketepikan, tetapi menunjukkan impak yang cukup bermakna buat ATM setakat ini. Ternyata Marlon masih lagi berkeupayaan menjadi penyerang berbisa walaupun usianya telah 35 tahun. Dengan susuk tubuh yang mantap serta sedikit pecutan, sudah cukup untuk menjadi senjata buat Marlon.

Berita angin yang menggembirakan peminat Kedah adalah Nelson ingin kembali berbakti di bumi Kedah. Nama Nelson memang tidak asing lagi namun pemilihan dan ujian perlu dilakukan dengan rapi. Ini adalah untuk memastikan Kedah mendapatkan pemain import yang benar-benar memberikan impak dan bukan hanya bersandarkan kepada nama sahaja.

 
 Bolehkah Nelson mengembalikan kegemilangan Kedah?

Jika Nelson masih lagi mempunyai kemampuan sepertimana yang ditunjukkan empat tahun yang lalu, pasti Nelson selayaknya mengambil tempat Safi di bahagian tengah Kedah. Di bawah kendalian jurulatih baru, Mario Tot, Kedah mempamerkan corak permainan yang melakukan hantaran pantas yang dirasakan tidak bersesuaian dengan gaya permainan Safi berbanding Nelson.

 
Mengikat kontrak baru sehingga 2015

Kedah harus diberikan kredit kerana berjaya mengikat Kyril dengan kontrak sehingga 2015. Ini sekurang-kurangnya membolehkan skuad Kedah masih lagi ditunjangi oleh pemain-pemain anak jati yang berpengalaman. Beberapa pemain lagi perlu diberikan kontrak sedemikian sementera ada yang perlu diketepikan.

Bagi aku, Kedah mungkin memerlukan aksi di Liga Perdana bagi menjadikan skuad agar lebih mantap sebelum bersaing dalam Liga Super. Mungkin penyingkiran Kedah dari Liga Super untuk musim hadapan boleh memberikan sesuatu yang lebih bermakna pada musim hadapan.

p/s: sapa tak sayang Kedah oi!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan