Khamis, 25 Oktober 2012

Preview: MU vs Chelsea (BPL)


Dalam jangka masa empat hari, MU dan Chelsea akan bertembung dua kali di Stamford Bridge di mana kunjungan pertama adalah dalam saingan BPL dan yang kedua adalah dalam pusingan keempat Capital One Cup.




Chelsea pada musim ini boleh dikatakan tidak seperti Chelsea pada musim-musim lepas kerana bukan sahaja di bawah kendalian pengurus yang baru, RDM, kesebelasan utama Chelsea juga telah dirombak dan dibarisi oleh pemain-pemain muda. 

Ini sekaligus mengubah corak permainan Chelsea di mana sebelum ini, Chelsea lebih cenderung menggunakan pendekatan 'overpower' pasukan lawan dengan meletakkan pemain berfiizikal mantap seperti Drogba, Ballack, Lampard dan Makelele. Kini, pendekatan Chelsea berubah kepada corak permainan pantas dengan kerap bertukar-tukar hantaran serta menggunakan pemain yang memiliki kemahiran tinggi.

Dengan wajah yang baru ini, Chelsea dilihat seolah-olah menunjukkan permainan seperti Barcelona. Ternyata Chelsea telah merasai kesan positif daripada perubahan tersebut dengan kini mendahului carta BPL selain belum pernah mengalami kekalahan. Walaupun Chelsea berbelanja besar mendapatkan pemain baru seperti Oscar, Hazard dan Marin, namun Mata menjadi nadi utama Chelsea pada musim ini.

Jadi, pastinya MU bakal berhadapan tugas yang agak berat walaupun pada musim lepas, MU berjaya meledakkan enam gol ketika dua kali bertemu dengan Chelsea dalam BPL. Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Rooney telah mencatatkan nama selaku penjaring gol. Maka, bagi pertemuan dengan Chelsea Ahad ini, kudrat Rooney pastinya ditagih oleh MU bagi memastikan MU sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari Stamford Bridge.

MU berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Lindegaard dan Kagawa akibat kecederaan. Selain itu, SAF juga mungkin tidak menyenaraikan Scholes dan Giggs dalam kesebelasan utama MU kerana kedua-dua mereka yang telah berusia mungkin akan mengalami kesukaran berhadapan dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya muda dan mempunyai larian yang laju.

Bagi memastikan MU mampu untuk mengimbangi bahagian tengah Chelsea, gandingan Carrick dan Fletcher akan diletakkan sebagai tunjang tengah MU. Carrick akan ditugaskan untuk memintas pergerakan Chelsea dan membuka permainan MU dari tengah dengan hantaran jauh sementara Fletcher pula berperanan untuk memberikan tekanan kepada pemain tengah Chelsea selain perlindungan kepada barisan pertahanan MU.

RVP yang menjaringkan hatrik ketika Arsenal bertemu Chelsea pada musim lepas akan mengetuai serangan MU. Rooney yang setakat ini begitu memberangsangkan beraksi secara 'free role' akan membantu RVP melancarkan serangan. Valencia pastinya akan kembali beraksi selepas direhatkan pada perlawanan MU menentang Braga. Young yang sudah pulih dari kecederaan akan mengambil tempat di sayap kiri bagi membolehkan MU bergerak dari sebelah tepi seperti kebiasaannya.

Oleh kerana ketiadaan Lindegaard, DDG akan menjadi satu-satunya pilihan MU untuk mengawasi gawang gol. Di hadapannya, kembalinya Ferdinand dan Evra ke barisan pertahanan untuk bersama-sama Rafael dan Evans.

Apa yang diharapkan adalah MU mampu untuk mengimbangi corak permainan Chelsea terutamanya pada separuh masa pertama. Barisan pertahanan MU pula perlu memperkemaskan benteng yang pastinya akan cuba dikucar-kacirkan oleh Chelsea dengan larian dan hantaran pantas.


Kesebelasan utama:




Jangkaan keputusan:

Sepertimana musim lepas, perlawanan Ahad ini akan turut menyaksikan lebih dari dua gol dijaringkan. Aku merasakan sedikit optimis di mana MU mampu untuk mengecewakan Chelsea di halaman lawan dengan mencatatkan kemenangan tipis 3-2 di mana Rooney dan RVP menjadi penyumbang gol buat MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan