Khamis, 12 April 2012

Review: MU vs Wigan Athletic - BPL


Keputusan perlawanan:

Manchester United 0

Wigan Athletic 1
Shaun Maloney 50'


Ulasan perlawanan:

Maloney yang suatu ketika dahulu satu nama yang agak popular kerana dikatakan kelahiran Malaysia telah menjadi pemusnah MU apabila menjaringkan gol kemenangan buat Wigan Athletic (WA) bagi menumpaskan MU di DW Stadium. Kemenangan yang dikecapi memboleh WA melonjakkan diri dari kelompok tiga pasukan terbawah dalam BPL.

MU seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila beraksi di bawah tahap sebenar hampir keseluruhan perlawanan terutamanya dalam separuh masa pertama. MU langsung tidak mengancam pintu gol WA dan kelihatan terganggu dengan corak pantas dan penekanan yang dilakukan oleh para pemain WA sepertimana yang telah dialami ketika tersingkir dari saingan UEL di tangan Atletic Bilbao.

MU yang tidak bermain dengan baik menyebabkan SAF tidak senang duduk di 'dugout' MU dan kelibatnya kerap kelihatan di tepi padang bagi memberikan arahan buat pemain MU. Dari riak wajah SAF, ternyata beliau agak kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain MU.

Chicharito begitu tenggelam dan hanya beberapa kali sahaja bola sampai ke kakinya. Valencia pula dikawal dengan begitu ketat dan tidak berupaya membuat larian seperti kebiasaanya tambahan pula Jones tidak membantunya sepertimana yang dilakukan oleh Rafael dalam perlawanan terdahulu.

Walaupun memberikan impak dalam perlawanan MU-Blackburn Rovers, Young masih belum cukup menyerlah diturunkan dalam kesebelasan utama. Young seolah-olah tiada di atas padang kerana tidak memberikan aksi yang efektif. Rooney pula yang kerap berada di kawasan tengah padang menyebabkan barisan serangan MU tumpul dan gagal mengancam gawang gol WA.

Kesilapan Rooney untuk mengekori rapat dan mudah untuk dilepasi mengakibatkan MU berputih mata apabila Maloney membuat rembatan jarak jauh yang menghasilkan gol tunggal perlawanan. Selepas gol tersebut dijaringkan, MU mengambil masa yang agak lama untuk memperkemaskan permainan seterusnya cuba untuk mencari gol penyamaan.

WA yang dahagakan kemenangan bagi mengelakkan zon penyingkiran beraksi dengan baik di semua bahagian berjaya mengekang dan menidakkan sebarang peluang MU untuk menghasilkan gol. Usaha gigih WA tersebut memberikan pulangan yang cukup lumayan sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Dalam dua perlawanan terdahulu, MU kelihatan sukar untuk beraksi dengan baik walaupun berhadapan dengan pasukan yang corot dalam liga. Perlawanan bertemu WA menjadi noktah kemenangan buat MU apabila tewas 0-1 dan merupakan habuan yang sepatutnya diterima oleh MU gara-gara prestasi yang kurang memuaskan.

Dengan perlawanan BPL berbaki lima sahaja lagi, MU seharusnya bangkit dari kekalahan yang dialami awal pagi tadi jika ingin memperoleh kejuaraan BPL buat kali ke20. Kesilapan dan kelemahan yang dihadapi perlu diperbaiki dan pastinya perlawanan bertemu Man City pada hujung bulan ini akan menjadi panas tatkala kedua-dua kelab dari kota Manchester ini bersaing untuk merebut kejuaraan BPL musim ini.


Pemain terbaik perlawanan:

Victor Moses

Tiada ulasan:

Catat Ulasan