Selasa, 24 April 2012

Review: MU vs Everton - BPL


Keputusan perlawanan:


Manchester United 4
Wayne Rooney 41', 69'
Danny Welbeck 57'
Nani 60'

Everton 4
Nikica Jelavic 33', 83'
Marouane Fellaini 67'
Steven Peinaar 85'
 

Ulasan perlawanan:

MU gagal menggunakan kesempatan beraksi di halaman sendiri untuk mencatatkan kemenangan apabila hanya mampu seri 4-4 dengan Everton. Keputusan tersebut membolehkan Man City merapatkan jurang perbezaan mata selepas mereka memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Wolves.

MU seharusnya menyalahkan diri sendiri atas keputusan seri tersebut selepas dua kali mengatasi Everton dengan kelebihan dua gol. Namun, kerapuhan benteng pertahanan MU mengakibatkan Everton menafikan hasrat MU untuk mendapatkan tiga mata penuh apabila menjaringkan dua gol yang cukup berharga dalam masa 10 minit terakhir.

Separuh masa pertama menyaksikan MU beraksi kurang kemas kerana Everton beraksi dengan begitu baik terutamanya apabila mereka menerapkan 'pressing game' yang menyebabkan MU gagal memiliki penguasaan bola dalam tempoh yang agak lama. Scholes dirantai dengan begitu ketat dan boleh dikatakan tiada sumbangan yang ketara daripada Scholes sepanjang beliau berada di atas padang.

Everton membuat kejutan di OT apabila meledakkan gol pertama perlawanan apabila barisan pertahanan MU gagal mengekang lompatan Jelavic seterusnya membolehkan Jelavic mudah menanduk masuk bola melepasi jangkauan De Gea. Selepas gol tersebut, Everton tampak lebih bernafsu memburu gol manakala MU masih lagi mencari rentak permainan.

MU memperlihatkan permainan yang bagus pada babak-babak akhir separuh masa pertama. Hasilnya Rooney berjaya menanduk masuk bola hantaran silang Nani bagi membolehkan MU menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Separuh masa kedua, mungkin kerana diarahkan oleh SAF, MU bermain dengan lebih kemas. Namun sepertimana Scholes, Valencia juga menghadapi kawalan yang ketat sehingga tidak bermain dengan begitu efektif. Mujur Nani berjaya memainkan peranan untuk menggerakkan serangan MU selain persefahaman yang baik antara Rooney dan Welbeck.

Welbeck menjaringkan gol kedua MU menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti sementara Nani menyumbangkan gol ketiga MU selepas menyempurnakan gerakan cantik antara Nani, Rooney dan Welbeck. Sedikit kelekaan yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan MU menyebabkan Everton memperoleh gol kedua menerusi Fellaini.

Gol Fellaini tersebut menyemarakkan semangat bahagian serangan MU untuk menjaringkan gol. Rooney sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadi dan menjadikan keputusan semasa 4-2. Mungkin berasa yakin untuk mencatatkan kemenangan, corak permainan MU menjadi sedikit kendur terutamanya di bahagian pertahanan.

Usaha berterusan Everton mengancam gawang gol MU berhasil dengan berjaya menjaringkan gol dalam masa 10 minit terakhir perlawanan. MU seharusnya boleh mengelakkan Everton mendapatkan dua gol tersebut sekiranya barisan pertahanan MU bermain dengan mudah serta tidak berada di posisi yang tidak sepatutnya.

Kini, MU perlu mengelakkan keputusan kalah di Stadium Etihad pada 1 Mei nanti sekiranya ingin menjuarai BPL musim ini. Jika MU tumpas, Man City berpeluang menjulang trofi BPL dengan mencatatkan kemenangan dalam semua baki perlawanan selain mempunyai kelebihan perbezaan gol berbanding MU.


Pemain terbaik perlawanan:

Marouane Fellaini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan