Khamis, 23 Mei 2013

Ulasan Keseluruhan BPL 2012/2013 - PART I


Saingan BPL bagi musim 2012/2013 telah melabuhkan tirainya pada hujung minggu lepas di mana MU telah berjaya menjadi juara, 11 mata melebihi pencabar terdekat iaitu juara musim lalu, Man City. Perlawanan terakhir liga musim ini tidaklah sehangat musim lepas memandangkan MU telah mengesahkan kejuaraan tatkala berbaki empat perlawanan manakala tiga pasukan yang tersingkir telahpun diketahui selepas perlawanan ke-37.

Kedudukan terakhir BPL adalah seperti berikut:

sumber: skysports.com

Perlawanan terkahir BPL hanya menyaksikan perebutan slot terakhir ke UCL musim hadapan di antara Arsenal dan Spurs. Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan tersebut dengan kemenangan 1-0 tetapi Arsenal ternyata lebih layak daripada Spurs untuk menyertai MU, Man City dan Chelsea bersaing dalam pertandingan kelab terbesar di eropah.

Arsenal berjaya mengatasi defisit tujuh mata yang dimiliki oleh Spur sebelum ini dan memintas Spurs untuk berada di tempat keempat. Walaubagaimanapun, Arsenal perlu beraksi dalam pusingan kelayakan UCL terlebih dahulu sebelum layak ke peringat kumpulan.

Setelah terlepas gelaran kejuaraan musim lepas gara-gara perbezaan gol sahaja, sasaran MU untuk merampas kembali kejuaraan BPL akhirnya tercapai. Bagi tidak mengulangi episod duka tersebut, SAF telah mendapatkan khidmat RVP dari Arsenal. Ternyata keputusan tersebut memberikan hasil yang cukup lumayan dengan menjulang kejuaraan BPL ke-20 buat MU.

Jika dilihat kepada barisan pemain yang dimiliki, Man City dilihat mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada MU bagi kejuaraan BPL musim ini. Tetapi kemerosotan prestasi beberapa pemain utama menyebabkan Man City gagal menyaingi MU sehinggakan membolehkan MU ditabalkan sebagai juara dengan lebih awal.

Chelsea yang telah berbelanja besar di awal musim bagi mendapatkan beberapa pemain hebat seperti Hazard dan Oscar sepatutnya menjadi pencabar kepada dua kelab Manchester. Walaubagaimanapun, prestasi Chelsea di pusingan awal liga tidaklah begitu memberangsangkan sehingga memaksa Abramovich mengambil keputusan untuk memecat RDM dan melantik Benitez sebagai pengurus sementara. Kehadiran Benitez sedikit sebanyak memperbaiki corak permainan Chelsea selain berjaya membawa Chelsea menjulang kejuaraan UEL baru-baru ini.

Spurs terpaksa berpuas hati dengan tempat kelima seterusnya layak untuk beraksi dalam saingan UEL musim hadapan. Spurs dilihat terlalu bergantung harapan kepada Bale musim ini walaupun berjaya mendapatkan beberapa pemain yang bagus seperti Dembele, Dempsey dan Vertonghen. Tetapi kegagalan mendapatkan penyerang yang berbisa mengakibatkan kebanyakan gol Spurs dihasilkan dari bahagian tengah terutamanya Bale.

Buat kali kedua berturut-turut, Everton berjaya menamatkan saingan BPL dengan berada di kedudukan atas mengatasi seteru setempat, Liverpool. Walaupun hanya mempunyai dana yang kecil selain skuad yang terhad, Everton berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam kelab teratasdi mana prestasi baik daripada Baines dan Fellaini di samping kebijaksanaan Moyes menjadi penyumbang utama.

Liverpool pula boleh dikatakan berada di peringkat pembentukan di bawah kendalian Rodgers kerana walaupun mempunyai beberapa pemain yang hebat, Liverpool masih lagi tidak menampakkan potensi yang sepatutnya. Selain itu, sepertimana musim lepas, Liverpool juga dihimpit dengan kontroversi di mana musim ini Suarez yang didapati menggigit lengan Ivanovic.

WBA merupakan pasukan yang berjaya mengejutkan pada musim ini di bawah pengurusan Clarke. Jika beberapa musim lalu, WBA boleh dikatakan kerap berada di kelompok lima kelab terbawah liga, Clarke berjaya mentransformasikan WBA menjadi kelab yang baik. Kebijaksanaan Clarke dapat dilihat Lukaku yang dipinjam dari Chelsea menjadi penyerang berbisa WBA manakala Yacob, McAuley dan Malumbu membentuk bahagian tengah yang cukup mantap.

Prestasi Swansea City boleh dianggap baik dalam musim ini apabila bukan sahaja menempatkan diri dalam sepuluh kelab teratas, malah berjaya menjulang Piala Capital One. Laundrup yang hadir selaku pengurus baru berjaya mengatasi keraguan terhadap dirinya dengan menjadikan corak permainan Swansea City menarik. Michu merupakan pembelian bijak Laundrup kerana dengan harga yang murah, Michu berjaya menjadi antara penyerang berbahaya BPL musim ini.

Walaupun baru beraksi semula dalam BPL musim ini selepas layak dari Liga Kejuaraan, prestasi WHU agak memberangsangkan dengan berjaya berada di kedudukan ke-10 BPL. Reid dan Carroll menjadi tonggak utama WHU musim ini dengan persembahan yang cukup bertenaga. Walaubagaimanapun, seperti kebiasaannya apabila sesebuah kelab di bawah pengurusan Allardyce, corak permainan WHU dilihat keras dan gemar membuat hantaran-hantaran jauh.


(Part II akan bersambung nanti..............)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan