Khamis, 9 Mei 2013

Kisah aku: BPL, MU dan SAF


Rasanya, aku mula berminat untuk menonton bola sepak di kaca televisyen adalah pada sekitar penghujung 80an, iaitu ketika aku bersekolah rendah. Pada ketika itu, aku hanya mengenali beberapa kelab sahaja antaranya Liverpool dan Nottingham Forest. MU tidak lagi wujud dalam kotak fikiran aku memandangkan televisyen lebih kerap menyiarkan perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan tersebut.

Minat aku terhadap bola sepak semakin melonjak apabila berlangsungnya Piala Dunia 1990 Itali. Oleh kerana kebanyakan perlawanan dilangsungkan pada lewat malam, aku kerap menonton secara sembunyi bagi mengelakkan pengetahuan daripada ibu bapa aku. Tetapi kadang-kala terkantoi juga.

Aku turut menyediakan 'scrap book' berkenaan Piala Dunia 1990 dengan menggunting gambar-gambar pasukan dan pemain bertanding sebelum melekatkannya ke dalam buku latihan sekolah. Oleh kerana Piala Dunia 1990 inilah menyebabkan aku menyokong pasukan Jerman sehingga ke hari ini walaupun Jerman yang ketika itu dikenali sebagai Jerman Barat tumpas di perlawanan akhir kepada Argentina.

Kalau tidak salah, ketika di darjah tiga, aku berkawan dengan Sharzany yang menjadi individu yang memperkenalkan MU kepada aku. Banyak majalah dan barangan MU yang dimiliki oleh Sharzany ditunjukkan kepada aku. Oleh kerana ingin mengetahui sejauh mana kehebatan MU sehingga seorang sahabat aku benar-benar menyokongnya, aku mula menonton perlawanan membabitkan MU.

Selepas dua tiga kali menonton, aku mula tertawan dengan corak permainan MU walaupun sewaktu itu, aku tidaklah memahami sepenuhnya. Persembahan MU tampak menarik terutamanya serangan menerusi bahagian sayap yang merupakan kegemaran SAF. Kanchelskis, Sharpe dan Giggs menjadikan bahagian sayap MU cukup mantap, larian pantas dan hantaran silang yang tepat.


Aku memang cukup terpesona dengan kelibat Cantona yang bijak menggelecek pemain lawan serta kemampuannya menjaringkan gol-gol menarik. Barisan pertahanan MU yang dikepalai oleh Bruce di samping Palister, Irwin dan Parker tampak mantap. Hughes yang menjadi penyerang utama MU turut menarik perhatian dengan semangat juang yang tinggi.

Kemudian tiba pula zaman kecemerlangan generasi emas MU iaitu kembar Neville, Butt, Beckham, Scholes dan pastinya Giggs. Mereka menjadi tunjang utama MU untuk beberapa musim yang membawa pelbagai kejuaraan kepada MU. Kemuncak kecemerlangan mereka adalah ketika MU menjulang tiga kejuaraan pada tahun 1999. 


Aku cukup mengagumi cara pengurusan SAF yang bijak membentuk skuad MU supaya menampilkan prestasi konsisten setiap musim. Setiap keputusannya secara majoritinya memberikan kesan yang positif kepada MU, sama ada dari segi taktikal permainan sehinggalah kepada pembelian pemain.

SAF terus mengemudi MU memasuki era 2000 di mana MU mengalami sedikit kemerosotan. Walaubagaimanapun, SAF dengan tenang menghadapi tekanan terutamanya ketika isu pembelian MU oleh keluarga Glazer. Kehadiran jutawan Rusia yang menjadikan Chelsea sebagai pencabar kejuaraan BPL berjaya diatasi menerusi kebijaksanaan SAF.

Walaupun pada hakikatnya, ramai peminat dan penyokong MU termasuk diri aku, tidak ingin melihat SAF meletakkan jawatan, tetapi mungkin kini adalah masa terbaik buat dirinya untuk mengundurkan diri. Dengan usia telahpun menjangkaui 70 tahun, kekuatan fizikal SAF semakin berkurangan walaupun mentalnya masih lagi berupaya. 

Walaubagaimanapun, SAF merupakan individu yang menaikkan dan menjadikan MU gah sehingga ke tahap sebegini. SAF sememangnya tidak boleh mengurus MU buat selamanya. Pengundurannya tidak dapat dielakkan dan keputusanya harus dihormati. Namun begitu, jasanya mesti dikenang sampai bila-bila. 

TERIMA KASIH SIR ALEX FERGUSON.............



Tiada ulasan:

Catat Ulasan