Akhirnya dapat
juga untuk aku memberikan ulasan peribadi terhadap pencapaian MU untuk musim
ini selepas tidak berkesempatan sebelum ini. Dengan kekangan kerja di samping
sibuk dengan isu-isu pilihanraya, aku tidak dapat memberikan sedikit tumpuan
serta mencari idea untuk mengarang (hehe).
Pada musim ini,
sepertimana yang disasarkan oleh SAF, MU mesti kembali menjadi juara dan
sasaran itu berjaya dicapai dengan cemerlangnya. Sepertimana yang diketahui,
kejuaraan BPL menjadi kemestian buat MU pada setiap musim.
Terdapat
beberapa faktor yang membolehkan MU menggapai kejuaraan BPL musim ini. Pada
aku, sekurang-kurangnya ada empat faktor utama yang memberikan kesan terhadap
prestasi MU. Yang pertama adalah kehadiran penyerang berkelas dunia iaitu RVP.
Walaupun MU sudahpun dilihat mempunyai kekuatan di bahagian serangan (Rooney,
Welbeck dan Chicharito) berdasarkan pencapaian musim lepas, SAF mengambil
keputusan berani untuk mendapatkan RVP dari Arsenal.
Pembelian RVP yang cukup berbaloi oleh MU
Keputusan
tersebut nyata memberikan hasil yang cukup lumayan apabila RVP muncul sebagai
penyumbang utama gol MU musim ini. Kemasukannya ke MU memastikan MU tidak lagi
kecewa dengan perbezaan gol pasukan lawan. Selain itu, beban memburu gol yang
sebelum ini tampak digalas secara keseorangan oleh Rooney kini dikongsi bersama
dengan RVP.
Faktor kedua
adalah kecemerlangan Carrick mengemudikan bahagian tengah MU. Kita dapat lihat
bahawa Carrick memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan permainan
MU selain memberikan perlindungan yang baik kepada barisan pertahanan MU.
Carrick seperti telah bersedia mengambil tempat Scholes menjadi penggerak MU
menerusi hantaran jauh yang tepat, permainan mudah serta menunjukkan ketenangan
setiap kali beraksi di atas padang.
Musim 2012/2013 adalah terbaik buat Carrick
Peningkatan
prestasi DDG merupakan faktor ketiga buat MU. Jika musim lepas, DDG kerap
dikritik akibat beberapa kesilapan mudah, namun musim ini, DDG menampilkan aksi
yang cukup kemas. DDG tampak sudah dapat menyesuaikan diri dengan corak
permainan yang fizikal di England selain bijak berkomunikasi dengan bahagian
pertahanan MU. Peningkatan DDG ini boleh dikatakan membuat SAF melupakan hasrat
untuk mendapatkan penjaga gol baru buat MU.
Faktor terakhir
adalah prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh Ferdinand. SAF mengakui bahawa
prestasi Ferdinand musim ini adalah yang terbaik sepanjang kariernya bersama MU
dalam tempoh 10 tahun. Pada musim-musim sebelumnya, Ferdinand mengalami
beberapa isu kecederaan tetapi disebabkan penjagaan rapi dan keputusan tepat
oleh MU, Ferdinand berjaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada MU musim
ini.
Walaupun MU
menjadi juara musim ini, namun tidak dinafikan bahawa MU turut dihimpit
beberapa masalah di kalangan pemain. Antaranya yang paling ketara adalah
kemerosotan prestasi yang berlaku pada pemain sayap. Persembahan Young,
Valencia dan Nani tidak memberangsangkan terutamanya Valencia yang mengalami
penurunan yang banyak berbanding musim lepas di mana sebelum ini Valencia
ditabalkan sebagai pemain terbaik MU.
Rooney juga
boleh dikatakan menampilkan persembahan di bawah tahap sepatutnya. Sebagai
salah seorang dari dua pemain MU yang menerima gaji terbanyak, Rooney
seharusnya menjadi tonggak utama MU dengan memberikan sumbangan semaksima
mungkin dalam setiap perlawanan.
Walaubagaimanapun,
kehadiran RVP dan Kagawa tampak mempengaruhi persembahan Rooney. Ini dapat dilihat
apabila Rooney kerap bertukar posisi dalam kesebelasan utama. Jadi, oleh kerana
kehadiran RVP dan Kagawa, SAF sukar untuk meletakkan Rooney di posisi yang
benar-benar boleh memberikan impak kepada pasukan.
Rooney perlu mempertingkatkan prestasinya untuk musim hadapan
Terdapat
beberapa komentar yang mengatakan bahawa Rooney kini tampak lebih sesuai
beraksi di bahagian tengah MU dengan berfungsi sebagai playmaker. Tidak dapat
dinafikan bahawa Rooney sememangnya mempunyai kemahiran mengadaptasi yang
tinggi membolehkan dirinya mampu untuk beraksi dalam pelbagai posisi pemain.
Sejurus MU
ditabalkan sebagai juara, SAF dikatakan telahpun membuat perancangan bagi
memperkukuhkan MU untuk musim hadapan. Sepertimana yang telah dimaklumkan, SAF
mengakui yang MU telahpun memantau pemain yang disasarkan lebih dari empat
bulan dan dalam pendekatan untuk melakukan pembelian dengan secepat mungkin
bagi mengelakkan perebutan dengan pasukan lain yang memberikan kesan terhadap
peningkatan yuran perpindahan pemain.
MU dilihat bijak
apabila mendapatkan khidmat Zaha dengan lebih awal. Zaha dilihat mampu untuk
mengembalikan kecemerlangan di bahagian sayap MU. Zaha telah membuktikan
kemampuannya terutamanya musim ini apabila membantu Crystal Palace beraksi
dalam perlawanan kelayakan ke BPL musim depan selain dianugerahkan pemain
terbaik dalam Liga Kejuaraan England.
Bagi memberikan
ruang kepada pemain-pemain baru, MU perlu menilai prestasi pemain sedia ada dan
membuat keputusan untuk melepaskan mereka ke kelab lain. Anderson, Chicharito
dan Nani antara nama-nama yang disebut akan dijual manakala Scholes dan
Fletcher berkemungkinan besar akan bersara dari arena bola sepak.
Selain Zaha, MU
turut dikatakan berminat untuk mendapatkan semula Ronaldo dari Real Madrid.
Walaubagaimanapun, perpindahan tersebut tampak sukar direalisasikan memandangkan
Ronaldo kelihatan selesa beraksi di Sepanyol selain akan melibatkan jumlah wang
yang besar bagi pakej mengandungi yuran perpindahan dan gaji yang akan
ditawarkan.
Bale dan
Lewandowski juga dikaitkan dengan perpindahan ke MU. Aku merasakan Lewandowski
lebih berminat untuk menyertai Bayern Munich berdasarkan prestasi semasa
gergasi Jerman itu yang cukup cemerlang musim ini. Bale mempunyai sedikit
kebarangkalian untuk menyertai MU, itupun jika Spurs gagal melayakkan diri
beraksi dalam UCL musim hadapan.
Permata yang dicari-cari oleh MU?
MU sememangnya
memerlukan pemain-pemain baru yang ternama bagi membolehkan MU bersaing dengan
lebih kompetitif dalam UCL musim hadapan. Dengan pemain sedia ada, MU dilihat
tidak mampu memberikan persembahan yang benar-benar bertenaga yang mampu untuk
menggerunkan pasukan besar eropah yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan