Jumaat, 10 Mei 2013

Kenapa Moyes dipilih


MU tidak mengambil tempoh masa yang lama untuk melantik pengurus baru bagi menggantikan SAF yang bersara. David Moyes yang kontraknya bersama Everton akan tamat akhir bulan Jun ini akan mengambil kerusi panas MU tersebut pada 1 Julai ini. Perlantikan Moyes ini menamatkan spekulasi beberapa nama besar lain termasuk Mourinho mengambil alih tugas dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh SAF.



Moyes sebenarnya telah dicadangkan sendiri oleh SAF untuk menjadi pengganti dirinya. Lembaga pengarah MU dikatakan bersetuju secara majoriti dengan cadangan tersebut. Percubaan kali kedua oleh SAF untuk mendapatkan Moyes untuk menyertai MU akhirnya berjaya selepas kali pertama, iaitu kira-kira 15 tahun lalu gagal direalisasikan memandangkan ketika itu Moyes menolak pelawaan SAF untuk menjadi penolong pengurus.

Moyes menjadi pilihan SAF dan MU atas beberapa faktor, antaranya:

1. Memiliki etika kerja yang cukup tinggi di mana Moyes dikatakan mempunyai minat terhadap bola sepak yang cukup mendalam dan hidupnya ketika ini berkisarkan dengan bola sepak sahaja.

2. Mempunyai pengalaman yang padat dalam BPL memandangkan dirinya telah mengemudikan skuad Everton lebih dari satu dekad.

3. Tidak cenderung dengan satu corak permainan sahaja. Ini dapat dilihat bahawa Moyes berkemampuan untuk mempelbagaikan taktikal permainan dan strategi pasukan berdasarkan kekuatan pasukan lawan.

4. Berani mengambil keputusan yang drastik terhadap pemain yang melakukan kesilapan. Sebagai contoh, Fellaini yang didapati menanduk Shawcross ketika perlawanan Everton bertemu Stoke City telah diketepikan daripada beraksi perlawanan selanjutnya.

5. Mampu untuk membimbing dan memberikan ruang kepada pemain-pemain akademi bola sepak kelab beraksi dalam skuad utama.

6. Menunjukkan kesetiaan dalam mengemudi sesebuah pasukan dengan berada untuk satu tempoh yang lama.

7. Menerapkan latihan yang cukup berkesan kepada pemain bagi memastikan kecergasan pemain berada di tahap terbaik dan bermain dalam semangat satu pasukan.

8. Berupaya membentuk pasukan yang konsisten dengan jumlah perbelanjaan yang sedikit.

Terdapat beberapa faktor lagi yang melayakkan Moyes untuk menggantikan SAF. Perisian permainan Championship Manager 13 diberitakan telah melakukan simulasi bagi membandingkan prestasi Moyes, Mourinho dan beberapa nama lain yang bertindak sebagai pengurus MU yang baru. Berdasarkan simulasi tersebut, Moyes lebih berjaya daripada orang lain apabila MU merangkul beberapa kejuaraan.

Secara peribadi, aku teruja untuk melihat pendekatan yang akan diterapkan oleh Moyes dalam MU untuk musim depan. Aku percaya keputusan MU dan SAF untuk melantik Moyes sebagai pengurus MU yang baru tidak salah dan akan memberikan kesan yang cukup positif untuk sekali lagi tempoh masa yang panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan