Isnin, 17 September 2012

Review: MU vs Wigan Athletic


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
Scholes 51'
Chicharito 63'
Buttner 66'
Powell 82'

WIGAN ATHLETIC 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

ALEX BUTTNER


Ulasan perlawanan:

Sepanjang minggu lalu, MU berhadapan dengan kerisauan apabila RVP dan Kagawa berkemungkinan tidak dapat beraksi hujung minggu lalu bertemu Wigan Athletic (Wigan) selepas mengalami kecederaan ketika mewakili negara masing-masing. Walaupun kecederaan RVP dan Kagawa tidaklah begitu serius tetapi SAF mengetepikan mereka berdua dalam kesebelasan utama MU.

Keputusan SAF tersebut diambil adalah bagi memastikan kecergasan RVP bagi aksi pertengahan minggu ini dalam saingan UCL. Ini adalah kerana SAF ingin pendekatan lebih selamat dalam saingan UCL musim ini dengan menurunkan pasukan terkuat bagi setiap perlawanan berbanding musim lepas bagi mengelakkan sebarang keputusan mengecewakan.
 
Jadi, bagi pertemuan dengan Wigan, dalam kesebelasan utama, SAF menurunkan Lindegaard di posisi penjaga gol dengan Vidic dan Ferdinand berpasangan di hadapannya. Di fullback kanan, Rafael dan di sebelah kiri, adalah Buttner yang membuat penampilan sulung bersama MU. Barisan tengah diisikan oleh Nani, Scholes, Carrick dan Giggs. Tugas di bahagian serangan diserahkan kepada Welbeck dan Chicharito.
 
Perlawanan bermula dengan MU mencipta peluang awal menghasilkan gol apabila Welbeck dijatuhkan oleh penjaga gol Wigan, Al Habsi dalam kotak penalti dan pengadil terus menghadiahkan sepakan penalti buat MU. Sepakan penalti tersebut yang diambil oleh Chicharito gagal menjelmakan gol selepas rembatan lemahnya berjaya ditepis keluar oleh Al Habsi.

MU kemudiannya terus mendominasi permainan, membina bermain dan mencari saluran untuk mengancam Wigan. Welbeck beraksi dengan berkesan dengan menjadikan dirinya kerap terlibat dengan serangan MU. Namun, MU gagal untuk merobek kekentalan pertahanan Wigan. Boleh dikatakan MU menguasai sebahagian besar permainan tetapi Wigan berjaya membuat beberapa serangan yang agak mengancam tatkala perlawanan menuju ke rehat separuh masa.
 
Sebaik separuh masa kedua bermula dan dengan hanya lebih lima minit bermain, Nani bijak melepasi kawalan Maloney sebelum membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti Wigan dan berlaku kekalutan. Al Habsi yang gagal menangkap kemas bola membolehkan Scholes mudah menolak masuk bola ke dalam gawang gol dan memberikan MU mendahului 1-0.
 
Selepas ketinggalan 0-1, Wigan mula mencuba untuk mencari jalan supaya mereka kembali ke dalam permainan, tetapi selepas sejam masa perlawanan, keputusan menjadi 2-0, setelah Chicharito bijak melepasi perangkap offside untuk menolak masuk bola hantaran Buttner, untuk memberikan kelebihan selesa buat MU.

Buttner kemudiannya meneruskan kecemerlangannya apabila meledakkan gol ketiga MU selepas menggelecek empat pemain Wigan sebelum merembat masuk bola dari kawasan sudut sukar yang gagal diselamatkan oleh Al Habsi. Buttner memberikan impak dalam penampilan sulungnya dengan larian yang pantas dan kerap naik ke atas melakukan hantaran silang.
 
RVP, Powell dan Evans dimasukkan selaku pemain gantian tatkala perlawanan berbaki 10 minit. Walaubagaimanapun, dalam tempoh masa yang singkat itu, MU berjaya memperoleh gol keempat apabila Powell merembat bola dari luar kotak penalti yang menerjah jaring gol Wigan. 

Kemenangan besar dan tiada sebarang bolos memberikan keyakinan buat MU serta persiapan yang baik sebelum memulakan saingan eropah musim ini. MU tidak boleh lagi memandang mudah terhadap kekuatan sebarang pasukan jika tidak ingin dimalukan sepertimana musim lepas apabila MU gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan