Rabu, 5 September 2012

Kedah 0 - Kelantan 0


"Sayang seribu kali sayang", "nasi sudah menjadi bubur", dan bermacam lagi pepatah Melayu yang boleh digunapakai bagi menggambarkan kegagalan Kedah untuk memperoleh kemenangan ke atas Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kedah sebenarnya boleh dikatakan tidak bernasib baik untuk mencatatkan kemenangan memandangkan Kedah berjaya mencipta beberapa peluang yang boleh menghasilkan gol. Namun, dari kecekapan penjaga gol Kelantan sehinggalah bola singgah ke tiang gol, Kedah kempunan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol di samping menampilkan corak permainan yang benar-benar mengujakan.

Pada aku, pemain pertahanan Kedah, Khairul Helmi layak untuk ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan kerana persembahan yang cukup mantap. Khairul Helmi berjaya mengekang serangan Kelantan dengan mengikat pergerakan penyerang berbisa, Nor Sharul sama ada menerusi bentesan atau pintasan yang kemas. Walaubagaimanapun, pujian juga harus diberikan kepada pemain pertahanan Kedah yang lain seperti Sabree, Fazliata dan Fikqry yang melindungi kubu Kedah yang hanya diawasi oleh penjaga gol muda, Muhaimin.

Bahagian serangan Kedah tidak mengecewakan walaupun penyerang import, Gerc seharusnya menjaringkan gol ketika hanya berhadapan dengan Khairul Fahmi dalam situasi satu lawan satu. Muhymeen amat mantap pada 60 minit pertama tetapi prestasinya sedikit merudum tatkala menuju baki 30 minit perlawanan.

Baddrol tampak berusaha keras menggerakkan serangan Kedah. Safi pula memperlihatkan perubahan dari segi corak permainan apabila tidak terlalu lama mengawal bola. Amar yang kembali beraksi bijak memberikan perlindungan tambahan kepada pertahanan Kedah. Persembahan pemain pinjaman, Sabri turut memberangsangkan apabila yakin mengawal bola dan melakukan hantaran serta berani melakukan terjahan.

Amat mengecewakan apabila Kedah menunjukkan prestasi yang cemerlang tatkala saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia semakin menghampiri penamatnya. Dengan hanya mengumpulkan lima mata dari lima perlawanan dan berada di tempat ketiga ketinggalan tiga mata di belakang Kelantan, hanya keputusan luar biasa pada perlawanan terakhir kumpulan sahaja yang mampu untuk melayakkan Kedah ke saingan suku akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan