Selasa, 4 September 2012

Kedah vs Kelantan - Piala Malaysia 2012



Perlawanan malam ini yang merupakan perlawanan kelima peringkat kumpulan bolehlah dianggapkan sebagai perlawanan hidup dan mati Kedah dalam saingan Piala Malaysia. Ini adalah kerana Kedah amat memerlukan kemenangan bagi terus menghidupkan peluang untuk melangkahkan kaki ke saingan suku akhir.

Kedah tidak dapat menurunkan Helmi yang menjalani pergantungan perlawanan kerana menerima layangan kad merah ketika beraksi di Kuala Terengganu selepas terbabit dalam insiden pergaduhan. Dengan Hadi yang belum pasti tahap kecergasannya, Kedah kini mungkin terpaksa bergantung harapan kepada penjaga gol muda bagi menghadapi serangan Kelantan nanti.

Muhymeen dan Baddrol pastinya menjadi taruhan Kedah untuk memberikan aksi bertenaga dan dibantu oleh kehadiran Safi dan Gerc. Walaupun beraksi di stadium keramat, SDA, Kedah bakal berhadapan tugas berat kerana Kelantan dirasakan memiliki keyakinan tinggi selepas berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan ATM baru-baru ini.

Barisan pertahanan Kedah juga seharusnya berwaspada dan perlu merantai setiap pergerakan pemain utama Kelantan seperti Norsharul dan Indra Putra. Walaupun nampak sukar, namun dalam dunia bola sepak, selagi belum tertiupnya wisel penamat, segalanya mungkin boleh terjadi.

Pada yang belum mendapatkan informasi, perlawanan Kedah dengan Kelantan akan bersiaran secara langsung di TV1 dengan sepak mula pada jam 8.45 malam. Aku berkemungkinan besar tidak akan pergi ke SDA dan menyaksikan perlawanan ini menerusi kaca televisyen.

Apa yang diharapkan, Kedah mampu untuk mempergunakan setiap peluang yang dihasilkan untuk menjaringkan gol. Ini adalah kerana aku menjangkakan Kedah akan kurang menghasilkan peluang kerana kekentalan pertahanan Kelantan. Yang penting, Kedah perlu menang dan bukan sekadar memaparkan corak permainan yang cantik sahaja.

Pulun KEDAH pulun!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan