Isnin, 3 September 2012

BPL Review: MU vs Southampton


Keputusan perlawanan:

Manchester United 3
Van Persie 23', 87', 90+2'

Southampton 2
Lambert 16'
Schneiderlin 55'

Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

Robin Van Persie


Ulasan perlawanan:

 MU perlu menarik nafas lega apabila tidak berputih mata di St. Mary's Stadium selepas berjaya mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Southampton (Soton) dengan memperoleh dua gol berharga dalam masa lima minit tatkala perlawanan menuju ke wisel penamat. Kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke599 dalam 1000 perlawanan MU di bawah kendalian SAF.

Jika dilihat komentar ataupun ulasan sebelum sepak mula perlawanan, ramai yang menjangkakan bahawa MU mampu untuk mendapatkan kemenangan mudah ke atas Soton. Ternyata jangkaan tersebut silap apabila Soton benar-benar memberikan cabaran yang cukup sengit buat MU sepertimana yang telah mereka lakukan ketika bertemu Man City sebelum ini.

Soton seperti telah mempunyai pelan bagaimana untuk merobek MU walaupun barisan pertahanan MU menerima kembali Ferdinand untuk bergandingan dengan Vidic. Soton bijak mensasarkan hantaran silang ke tiang gol yang jauh sekaligus membolehkan penyerang mereka, Lambert hanya perlu dicabar oleh Rafael ataupun Evra. Ini memudahkan Soton untuk memburu gol terutamanya apabila kebelakangan ini, MU kerap menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan situasi bola tinggi.

Lambert menjaringkan gol pertama buat Soton selepas mudah mengatasi Rafael dengan menanduk masuk bola ke dalam gawang gol MU. Lindegaard yang menggantikan DDG untuk mengawasi gawang gol MU tidak berupaya untuk menepis bola tandukan tersebut dari menghasilkan gol.

 Gol pertama Soton menerusi tandukan Lambert

MU tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan apabila RVP bijak mendada bola hantaran Valencia seterusnya merembat masuk bola melepasi penjaga gol Soton. Sejurus gol tersebut, MU cuba untuk mengancam benteng pertahanan Soton tetapi segala percubaan tersebut berjaya dipatahkan dengan berkesan menerusi permainan yang penuh disiplin dan usaha keras para pemain Soton.

RVP menyamakan kedudukan menjadi 1-1

Pada separuh masa kedua, Soton menunjukkan persembahan yang amat bagus terutamanya bahagian tengah mereka yang bijak menguasai kawasan tengah padang. Gandingan Carrick dan Cleverly tidak begitu menjadi apabila mereka lambat untuk membuat hantaran kepada rakan-rakan. Ini sekaligus menyukarkan Kagawa untuk merencana pergerakan MU dan kurang memberikan impak kepada serangan MU serta sokongan kepada RVP.

 Soton sekali lagi berada di hadapan apabila Schneiderlin meledakkan gol menerusi tandukan selepas Evra yang seharusnya memberikan cabaran terjatuh akibat padang yang licin. Gol tersebut memberikan tekanan yang cukup tinggi buat MU memandangkan MU tidak pernah mengalami sebarang kekalahan dalam 16 pertemuan dengan kelab yang baru dinaikkan ke BPL.

SAF akhirnya membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Scholes, Nani dan Chicharito bagi menggantikan Kagawa, Welbeck dan Cleverly. Keputusan SAF tersebut telah membolehkan MU rancak untuk membuat serangan terutamanya Scholes yang bijak membuat hantaran-hantaran jauh dengan tepat bagi memulakan pergerakan MU.

MU kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas RVP dijatuhkan menerusi terjahan dari belakang Hooiveld dalam kotak penalti. Namun, sepakan penalti tersebut gagal disempurnakan oleh RVP yang hanya merembat perlahan dan berjaya ditepis keluar.

Namun, MU terpaksa menunggu sehingga minit-minit akhir perlawanan untuk merasai impak daripada kehadiran Scholes, Nani dan Chicharito apabila RVP mudah menolak masuk bola ke dalam gawang Soton selepas bola tandukan Ferdinand terkena tiang gol. Gol tersebut seolah-olah membangkitkan semangat pemain MU bagi memburu kemenangan.

Menerusi sepakan sudut Nani yang diperoleh pada masa tambahan, RVP bijak mencari ruang untuk menanduk masuk bola melepasi jangkauan penjaga gol Soton. Gol tersebut yang merupakan gol ke100 RVP dalam BPL diraikan dengan gembira memandangkan MU terpaksa berusaha keras bagi mengatasi Soton yang benar-benar menunjukkan kesungguhan.

Keputusan pengurus Soton, Adkins untuk mengeluarkan tiga pemain terbaiknya iaitu Lambert, Lallana dan Puncheon ketika mendahului 2-1 sedikit sebanyak menjadi punca kekalahan Soton. Ini adalah kerana ketiga-tiga mereka kerap mengucar-kacir pertahanan MU dan ketiadaan mereka telah membolehkan MU mula untuk mengancam pertahanan Soton.

Walaupun memperoleh tiga mata penuh, banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh MU terutamanya di bahagian pertahanan. Dengan saingan liga akan berehat sebentar untuk memberikan ruang kepada aksi antarabangsa, MU mesti menggunakan masa tersebut bagi memastikan benteng pertahanan MU agar tidak mudah bocor. Selain itu, formasi terbaik perlu segera dihasilkan kerana bahagian sayap kiri MU kelihatan terjejas akibat ketiadaan Young dan beberapa pemain lain seperti Nani perlu mengembalikan prestasi yang sebenar bagi membantu MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan