Selasa, 22 Mei 2012

Tamat sudah untuk musim ini


Perlawanan akhir UCL yang berlangsung pada hujung minggu lepas merupakan acara penamat bagi saingan peringkat eropah musim ini. Boleh dikatakan pelbagai kejutan yang berlaku termasuklah penentuan kejuaraan bagi sesetengah liga yang memerlukan keputusan pada perlawanan terakhir.


Syabas dan tahniah buat Chelsea kerana ditabalkan juara UCL yang baru selepas berjaya menumpaskan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti. Ternyata bermain di halaman sendiri dan dilabelkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai UCL, itu belum cukup untuk memberikan kelebihan kepada Bayern Munich untuk menewaskan Chelsea.

Nampaknya pengorbanan, sama ada tenaga mahupun wang yang telah dicurahkan selama lapan tahun jutawan Rusia, Roman Abramovich telah memberikan hasil yang cukup bermakna. Cita-cita beliau untuk melihat Chelsea menjadi juara Eropah menjadi kenyataan pada musim ini. Kehadiran pengurus-pengurus yang memiliki reputasi yang cemerlang gagal memberikan kejuaraan UCL kepada Chelsea dan akhirnya bekas pemain sendiri juga iaitu Di Matteo yang mampu memberikan kenikmatan yang tidak terhingga buat Chelsea dan para peminatnya.

Kejuaraan UCL yang dimenangi oleh Chelsea membolehkan Chelsea layak untuk beraksi dalam UCL musim hadapan walaupun terpaksa bersaing di peringkat kelayakan terlebih dahulu. Ini merupakan hak ekslusif yang diberikan oleh UEFA kepada juara untuk beraksi dalam UCL walaupun menamatkan saingan liga di kedudukan yang tidak sepatutnya melayakkan diri ke UCL.

Spurs pastinya merasakan kekecewaan selepas slot mereka ke UCL musim hadapan telah diambil oleh Chelsea. Untuk musim hadapan, Spurs akan beraksi dalam Europa League dan pastinya kegagalan untuk ke UCL bakal memberikan kesan kepada skuadnya. Ini adalah kerana beberapa pemain Spurs akan dipancing oleh kelab-kelab yang beraksi dalam UCL dan akan menyebabkan Spurs gagal mengekang hasrat pemain tersebut untuk berhijrah. Mungkin Bale dan Modric bakal menjadi sasaran kelab-kelab tersebut, antaranya Barcelona dan Real Madrid.

Newcastle United pula berputih mata kerana tidak akan bersaing langsung dalam saingan eropah musim hadapan. Newcastle United sepatutnya mampu untuk menamatkan saingan BPL di tangga ketiga sekiranya mereka tidak mengalami kemerosotan prestasi pada pertengahan liga di mana ketika itu, Newcastle United hanya mampu mencatatkan keputusan seri dan kalah sahaja.

Nasib gergasi Jerman, Bayern Munich tidak begitu baik pada musim ini kerana peluang untuk menjuarai tiga piala telah dihancurkan oleh Borussia Dortmund dan Chelsea. Dortmund berjaya mengekalkan kejuaraan Bundesliga yang dikecapi pada musim lepas apabila menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan pada musim ini. Pada pendapat aku, Dortmund bijak untuk 'menternak' pemain tengah berkaliber sejak dari dahulu lagi.

Jika suatu ketika dulu, Dortmund pernah memiliki Rosicky yang kini beraksi di Arsenal, pada musim lepas, Sahin menjadi tonggak penting Dortmund dalam memburu kejuaraan liga. Namun pada musim ini, pastinya nama pemain muda dari Jepun iaitu Kagawa menjadi perancang utama Dortmund. Namun, Kagawa telah menyatakan hasrat untuk berhijrah ke kelab lain untuk musim hadapan dan telahpun berjumpa dengan SAF bagi membincangkan peluang dan tawaran yang diberikan oleh MU.

Juara baru Ligue 1, Montpellier telah membuat kejutan pada musim ini apabila mengetepikan cabaran daripada kelab-kelab yang lebih hebat. Sebagai contoh, PSG yang telah berbelanja besar membeli pemain ternama hanya mampu berada di tangga kedua sementara Lille yang dibarisi dengan pemain berbakat seperti Hazard berada di kedudukan ketiga. 

Juventus menamatkan saingan dalam Serie A dengan penuh gemilang dengan menjadi juara baru selain mencatatkan rekod apabila langsung tidak tewas dalam 38 perlawanan liga musim ini. Satu pencapaian yang amat memberangsangkan dan bakal memberikan sesuatu yang baik terhadap pasukan Itali dalam saingan Euro nanti. Ini adalah kerana sejak dari dahulu lagi, tatkala Itali menjadi pasukan yang hebat sama ada juara eropah ataupun dunia, skuadnya akan ditunjangi oleh kebanyakan pemain yang beraksi untuk Juventus. Jadi, tidak mustahil Itali mampu untuk mencabar kejuaraan Euro pada bulan Jun ini.

Sepertimana Chelsea yang berusaha gigih dalam tempoh masa yang lama, Real Madrid juga mengecapi kejuaraan La Liga yang telah diimpikan selama hampir empat musim. Perbelanjaan besar yang telah dilakukan seperti mendapatkan dua pemain termahal dunia akhirnya membolehkan Real Madrid merampas kejuaraan La Liga daripada Barcelona yang telah dilabelkan sebagai pasukan yang hebat di kala ini.

Kekuatan Real Madrid agak seimbang dalam semua bahagian dan ini memberikan kelebihan kepada Real Madrid untuk memperoleh prestasi yang memberangsangkan. Ronaldo memainkan peranan yang penting dalam meledakkan gol buat Real Madrid selain diberikan bantuan yang cukup berkesan oleh Ozil, Benzema dan Higuain. Untuk musim hadapan, Real Madrid pastinya akan berbelanja besar lagi bagi memperkuatkan skuadnya dan antara sasarannya adalah penyerang Man City, Aguero.

Sepertimana Ligue 1, La Liga dan Serie A yang memperoleh juara baru, BPL juga telah dijuarai oleh kelab baru iaitu Man City. Jika dilihat secara keseluruhannya, sesebuah pasukan yang menjadi juara kebanyakannya telah berbelanja besar dengan mendapatkan pemain-pemain berbakat yang mahal harganya. 

Jadi, kepada kelab-kelab lain yang ingin merampas kejuaraan pada musim hadapan, apa yang perlu dilakukan adalah pelaburan wang yang banyak. Sehubungan itu, Euro 2012 ini bakal menjadi 'pasar malam' buat kelab-kelab serata eropah untuk melihat dan membeli pemain-pemain yang berjaya menampilkan persembahan yang bagus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan