Selasa, 15 Mei 2012

Review: MU vs Sunderland - BPL



Keputusan perlawanan:

Manchester United 1
Wayne Rooney

Sunderland 0



Ulasan perlawanan:

Walaupun MU mencatatkan kemenangan, tiga mata yang diperoleh tidak berupaya untuk menidakkan jiran setempar MU iaitu Man City untuk menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun. Hasrat MU untuk menjadi juara dinafikan oleh Man City tatkala perlawanan mereka tinggal beberapa saat sahaja lagi untuk tamat.

MU ternyata sedikit optimis apabila bertemu dengan Sunderland dengan berharap QPR mampu untuk beraksi cemerlang sekaligus mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari Man City. Dengan kesemua 10 perlawanan BPL berlangsung serentak pada masa yang sama, boleh dikatakan hampir kesemua peminat berdebar-debar menantikan keputusan setiap perlawanan terutamanya melibatkan MU dan Man City.

Sepertimana yang telah aku katakan sebelum ini, MU perlu menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan untuk mengekalkan trofi kejuaraan BPL di OT dan bukannya meletakkan kesalahan terhadap QPR yang gagal mengekang Man City walaupun suatu ketika mendahului 2-1.

Dalam pertemuan dengan Sunderland, SAF menurunkan kesebelasan utama dengan formasi 4-5-1 dengan cuba mengaplikasikan pendekatan selamat tanpa mengurangkan sengat di bahagian serangan. Ternyata taktikal dan strategi yang diterapkan berhasil dan memberikan kemenangan 1-0 kepada MU walaupun terdapat peluang-peluang yang mampu untuk menambahkan jaringan.

Rooney sekurang-kurangnya mampu mencatatkan nama selaku penjaring hatrik. Namun, dua percubaannya gagal menerjah jaring gol Sunderland di mana salah satunya menyinggah palang gol menerusi sepakan percuma sementara satu lagi peluang terbuka selepas menerima umpanan Young. 

Kekecewaan jelas terpapar di riak wajah Rooney kerana jika peluang-peluang yang dihasilkan mampu diterjemahkan kepada gol, bukan sahaja dalam perlawanan tersebut, Rooney mampu untuk mencabar Robin Van Persie dalam perebutan kasut emas BPL.

Peluang demi peluang dihasilkan oleh MU tetapi gagal untuk merobek pertahanan kental Sunderland. Kegagalan MU untuk menambahkan jaringan menyebabkan para peminat MU berdebar-debar setiap kali Sunderland cuba melancarkan serangan bagi memburu gol penyamaan.

Walaupun pengadil perlawanan telah meniupkan wisel penamat, SAF kelihatan gusar menantikan keputusan daripada perlawanan Man City dan QPR yang tamat sedikit lewat. Ternyata kerisauan yang ditunjukkan menjadi mimpi ngeri apabila Man City berjaya menjaringkan dua gol dalam masa tambahan seterusnya membolehkan mereka menewaskan QPR dengan keputusan 3-2. 

Jadi, bagi menghadapi musim hadapan yang pastinya lebih mencabar, SAF seharusnya bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan pemain-pemain yang dapat memperkuarkan MU. Ini adalah kerana Man City pastinya akan terus mendapatkan pemain baru menerusi kekuatan kewangannnya dan kelab lain seperti Arsenal, Chelsea dan lain-lain tidak akan berdiam sahaja.

Kegagalan menjulang kejuaraan akibat perbezaan gol merupakan sesuatu yang amat pedih buat MU. Namun, ianya bukan jalan penamat dan menjadi pemangkin dan azam untuk memastikan kejuaraan liga kali ke20 menjadi kenyataan.


Pemain terbaik perlawanan:

Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan