Khamis, 10 Mei 2012

Review: MU vs Swansea City - BPL


Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Paul Scholes 28'
Ashley Young 41'

Swansea City 0


Ulasan perlawanan:

Selepas mengalami kekecewaan dalam tiga perlawanan terdahulu, MU berjaya bangkit untuk kembali mencatatkan kemenangan selepas menewaskan Swansea City (SC) dengan keputusan 2-0 di OT.

Valencia dan Young kembali semula ke kesebelasan utama selepas diketepikan sebelum ini dan ternyata keputusan untuk memberikan peluang beraksi kepada mereka berdua membuahkan hasil. Valencia dan Young benar-benar memberikan impak kepada serangan MU ketika bertemu SC.

Setelah mengetahui Man City berjaya mengatasi cabaran Newcastle United dengan memperoleh kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung sebelum perlawanan MU-SC, sedikit sebanyak mempengaruhi semangat dan mentaliti pada pemain MU memandangkan Man City tetap mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi juara BPL musim ini berbanding MU.

Di awal permainan, MU dilihat cuba bermain secara pantas dalam melakukan serangan ke arah pintu gol SC. Kemungkinan MU beranggapan mereka mampu untuk memburu lebih dari lima gol bagi mengurangkan defesit perbezaan gol dengan Man City. Namun, ianya bukan satu tugas yang mudah kerana walaupun baru layak beraksi dalam BPL musim ini, SC telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan menerusi corak permainan yang bagus.

MU membuka jaringan gol apabila Scholes menampan bola rembatan Carrick sekaligus mengelirukan penjaga gol SC, Vorm untuk gol pertama MU. Kebiasaannya apabila seseorang pemain menjaringkan gol, pastinya dia akan meraikan gol tersebut namun sebaliknya terjadi kepada Scholes. Scholes seolah-olah tidak gembira meraikan gol jaringannya memandangkan jika MU mengalahkan SC, MU masih lagi tidak berupaya memintas Man City dalam carta BPL.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Young menambahkan jaringan gol menerusi rembatan leret yang melepasi beberapa pemain SC termasuk penjaga gol selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti. Gol tersebut boleh dikatakan hasil yang cukup lumayan di atas usaha gigih Young sepanjang perlawanan.

Dalam separuh masa kedua, tiada sebarang gol yang berjaya dijaringkan oleh kedua-dua pasukan. Walaupun MU menguasai sebahagian besar permainan dan cuba merobek pertahanan SC, namun pujian seharusnya diberikan kepada SC kerana kental bertahan sehingga tamat wisel perlawanan.

Dengan berbaki satu perlawanan, MU perlu menewaskan Sunderland selain berharap QPR yang kini sedang bertarung untuk terus kekal dalam BPL untuk musim depan mampu untuk mengecewakan Man City. Jadi, masih terdapat 90 minit lagi sebelum kita semua mengetahui siapa yang akan ditabalkan sebagai juara BPL musim ini.


Pemain terbaik perlawanan:

Ashley Young

Tiada ulasan:

Catat Ulasan