Keputusan perlawanan:
Manchester United 0
Manchester City 1
Vincent Kompany 45+1'
Ulasan perlawanan:
Peluang beraksi di halaman sendiri telah digunakan dengan baik oleh Man City (MC) untuk menewaskan MU sekaligus merampas kedudukan teratas BPL walaupun kedua-dua pasukan memiliki jumlah mata yang sama. Ini adalah kerana MU mempunyai perbezaan gol yang lebih banyak berbanding MU dan ini memberikan ruang kepada MC untuk mengecapi kejuaraan BPL pada musim ini.
Sepertimana yang dijangkakan, SAF menurunkan kesebelasan utama MU dengan menggunakan formasi 4-5-1 dan ini dilihat sebagai taktikal yang lebih defensif. Rooney bertindak selaku 'targetman' dan diberikan sokongan oleh Nani dan Giggs dari bahagian sayap. JSP pula lebih berfungsi selaku pengacau bagi mengganggu pergerakan MC manakala Scholes dan Carrick berperanan mengimbangi barisan tengah MC.
Percaturan yang digunapakai oleh MU seolah-olah memberikan gambaran bahawa MU cuba mengelakkan daripada mengalami kekalahan dan hanya menumpukan perhatian untuk mendapatkan keputusan seri. Kemenangan agak sukar untuk dikecapi memandangkan MC begitu mantap di Stadium Etihad tambahan pula mempunyai barisan pertahanan yang kental.
MU cuba mengasak kubu MC dengan melancarkan serangan tetapi MC kental bertahan dan menyebabkan MU tidak berupaya mengancam pintu gol MC dengan percubaan yang cukup merbahaya. MU lebih banyak membuat dan bertukar hantaran di kawasan tengah sekaligus menyebabkan Rooney agak keseorangan di bahagian atas. Ini menyukarkan Rooney mengepalai serangan MU apatah lagi mengancam pintu gol MC.
MC bijak menyerap tekanan yang cuba diberikan oleh MU dan perlahan-lahan memperkemaskan permainan dan mula menggerakkan serangan ke atas pintu gol MU. Kebanyakan pergerakan MC berpunca dari Silva dan Nasri yang gagal dikekang kemas oleh barisan tengah MU. Selain itu, pasangan penyerang MC iaitu Aguero dan Tevez berjaya membuatkan barisan pertahanan MU bekerja keras bagi menghalang larian mereka berdua.
Kehadiran Jones dan Smalling boleh dikatakan memberikan sedikit kesan kepada pertahanan MU. Smalling dilihat tidak mempunyai persefahaman yang baik dengan Ferdinand dan kerap berada di posisi tidak sepatutnya. Jones pula tertekan berhadapan dengan asakan sebelah kiri MC yang digerakkan oleh Nasri ataupun Clichy. Nani juga tidak banyak membantu Jones dari segi tugas bertahan.
Kelekaan ketika berhadapan dengan sepakan sudut MC mengakibatkan Smalling gagal menghalang kapten MC, Kompany untuk menanduk masuk bola ke dalam gawang MU seterusnya menjaringkan gol tunggal perlawanan yang memberikan kemenangan yang cukup manis buat MC. Seharusnya MU perlu bangkit dalam separuh masa kedua untuk memburu jaringan penyamaan, namun MU gagal berbuat demikian.
Keputusan tewas di tangan MC bukanlah sesuatu yang mendukacitakan buat MU sekiranya dua perlawanan sebelumnya MU mencatatkan kemenangan. MU gagal menggunakan kelebihan lapan mata yang diperoleh sebelum ini apabila mengurangkan kelebihan mata tersebut menerusi kekalahan di tangan Wigan Atletic dan keputusan seri dengan Everton. Sepatutnya MU boleh memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan tersebut.
Kini, MC berada dalam kedudukan selesa untuk merangkul kejuaraan BPL. MC hanya perlu mencatatkan kemenangan dalam baki dua perlawanan. Apa yang diharapkan oleh MU dan peminatnya adalah dua pasukan yang bakal bertemu MC mampu menampilkan aksi yang bagus sekaligus menyebabkan MC gagal mendapatkan tiga mata penuh.
Newcastle United yang akan beraksi di halaman sendiri menentang MC pastinya tidak mahu tewas kerana sedang bersaing untuk merebut slot terakhir ke UCL bagi musim hadapan. QPR pula berada dalam ambang penyingkiran dan akan cuba mencuri sekurang-kurangnya satu mata dengan MC bagi menghidupkan peluang untuk terus beraksi di BPL.
Selain mengharapkan dua keputusan daripada perlawanan tersebut, MU tidak boleh berputus asa dan perlu kembali mendapatkan kemenangan. Walaupun agak tipis, MU masih lagi berpeluang untuk mengejar kejuaraan liga buat kali ke 20.
Pemain terbaik perlawanan:
Vincent Kompany
Tiada ulasan:
Catat Ulasan