Isnin, 4 November 2013

Review: MU vs Fulham (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 3
Valencia 9'
v. Persie 20'
Rooney 22'

FULHAM 1
Kacaniklic 65'



Pemain terbaik perlawanan:

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Smalling >> Evans
Fellaini >>Rafael
Kagawa >> Cleverley


Ulasan perlawanan:

Tiga gol yang dijaringkan dalam jangka masa tidak sampai 30 minit permainan membolehkan MU mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Fulham dalam perlawanan yang berlangsung di Craven Cottage. Sekali lagi, duo penyerang MU iaitu Rooney dan RVP masing-masing meledakkan satu gol manakala satu gol MU lagi diperoleh menerusi Valencia.

Walaupun Fulham tidak berada di kedudukan yang baik dalam liga, MU ternyata tidak memandang mudah dengan cabaran yang akan diberikan oleh Fulham. Maka, DM menurunkan skuad terbaik MU tetapi mengetepikan Carrick dari kesebelasan utama MU selepas mengalami sedikit kecederaan.

Akibat ketiadaan kapten pasukan, Hangeland yang turut merupakan pemain pertahanan kental, Fulham menampakkan kerapuhan dan kerap melakukan kesilapan. Peluang tersebut dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh MU untuk merobek pertahanan Fulham dengan mudah.

Valencia memulakan tirai jaringan MU apabila mudah menolak masuk bola ke dalam gawang gol Fulham selepas menerima umpanan Rooney. Sebelum itu, Rooney bijak melepasi perangkap off-side Fulham dan menghidu larian Valencia.

MU tidak menunggu lama untuk menambahkan jaringan apabila Januzaj berjaya merampas bola dari kaki Parker sebelum membuat lorongan kepada RVP. Dengan berada di kedudukan terbaik, RVP tanpa berlengah melepaskan rembatan kaki kirinya yang padu bagi menewaskan penjaga gol Fulham untuk mendapatkan gol kedua MU.

RVP sekali lagi bertindak cemerlang apabila melepasi perangkap off-side Fulham dan tanpa berhadapan sebarang masalah, membuat lorongan cantik kepada Rooney dalam kotak penalti Fulham. Tanpa dikawal ketat setelah berjaya membuatkan pertahanan Fulham keliru, Rooney mudah menolak masuk bola ke dalam gawang gol Fulham.

Sebaik memperoleh tiga gol, MU mengendurkan sedikit permainan tetapi menunjukkan penguasaan bola yang baik sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua pula menyaksikan Fulham cuba untuk bangkit manakala DM pula terpaksa membuat tiga pertukaran pemain sekali gus akibat kecederaan yang menimpa Rafael, Evans dan Cleverley dengan Kagawa, Fellaini dan Smalling mengambil tempat masing-masing.

Keputusan pertukaran pemain tersebut sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan MU apabila menjadi terlalu perlahan dan bola hanya kerap berada di kawasan tengah padang tanpa kecenderungan untuk ke hadapan. Jelas, MU tampak berpuas hati dengan tiga gol yang diperoleh dan cuba untuk bermain secara senang tanpa melibatkan cabaran yang terlalu fizikal.

Ini adalah kerana MU mempunyai perlawanan pertengahan minggu ini apabila akan berkunjung ke Sepanyol bagi bertemu Real Sociedad dalam saingan UCL. Kurangnya tekanan daripada MU membolehkan Fulham melancarkan beberapa serangan yang agak berbahaya dan hasilnya Fulham berjaya mendapatkan gol tunggal menerusi sepakan jarak jauh Kacaniklic.

Sejurus gol Fulham tersebut, MU memperkemaskan permainan dan cuba untuk mengawal bola dengan lebih lama. Fulham yang sedikit tertekan, kerap melakukan kekasaran dan Januzaj merupakan salah seorang pemain MU yang menjadi mangsa kekasaran Fulham. DM ternyata gembira dengan tiga mata yang diperoleh dan kini, MU berada di landasan terbaik selepas berjaya memanjangkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan yang dilalui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan